Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, April 20, 2011

Wahai Gadis Muda... Engkau Semakin Tua...



Kehidupan manusia sentiasa bergerak ke hadapan, tanpa melihat ke belakang dan masa itu tidak boleh berundur. Sekiranya kalam itu sudah tertutur, tidak mampu untuk ditarik balik. Sekiranya perbuatan itu sudah terlanjur, juga tidak mampu untuk ditarik balik. Wahai gadis muda, engkau semakin hari semakin tua. Engkau tidak mampu menahan masa daripada terus bergerak sepertimana engkau tidak dapat menahan bumi ini daripada beputar.

Engkau juga tidak mampu menahan matahari daripada terbit atau tenggelam. Semua inilah yang menggerakkan masa itu. Kehidupan muda hanya sementara, dan kecantikan semasa muda itu akan hilang dengan cepat. Sekiranya engkau merasakan umur 22 tahun itu ialah paling cantik, ia akan hilang apabila engkau berumur 23 tahun. Tempoh kecantikan itu hanyalah setahun.

Adakah engkau merasakan kecantikan itu berterusan? Wajah muda itu tidak selamanya begitu. Engkau tidak dapat menahan umur itu daripada meningkat. Engkau tetap akan tua, atau mati ketika masih muda. Apakah bekalan engkau ketika itu? Wajah muda engkau? Segalanya langsung tidak berguna. Muka itu tetap dimakan ulat, dan badan itu tetap dimamah tanah.

Sekiranya engkau diberikan umur oleh Allah supaya dipanjangkan lagi, muka muda itu pasti akan hilang dan digantikan dengan muka tua. Sekiranya engkau berusaha mengekalkannya, engkau hanya muda pada cermin, sedangkan tubuh engkau tetap mengakui bahawa engkau adalah orang tua yang terasa muda.

Walaupun begitu, petua untuk mengekalkan muda itu tetap ada. Walaupun umur itu semakin tua, iman itu tidak pernah tua. Bahkan ia semakin tebal dan matang. Iman itu tidak akan berkurangan disebabkan kurangnya umur, tetapi ia kurang disebabkan kurangnya amalan. Kalau engkau hanya gilakan kecantikan dengan mengenakan pelbagai lotion, ia akan hilang dengan mudah. Tetapi sekiranya kecantikan itu kurniaan Allah dan ia dihiasi oleh iman di dalam diri, ia akan kekal selamanya.

Carilah kecantikan yang sebenar. Ia tidak ada pada lotion yang bertimbun, tetapi ia milik Allah Yang Maha Cantik, dan Allah sukakan benda yang cantik dengan Iman. Tetapi, engkau jangan lupa wahai gadis muda, walaupun hari ini engkau merasa engkaulah orang paling cantik pada pandangan manusia yang buta, Allah mampu menghilangkannya dengan cepat.

Seorang gadis cantik pada mata manusia, apabila mengalami kemalangan dan mengubah mukanya. Seorang gadis cantik pada mata manusia, apabila terkena penyakit kulit, terus mengubah mukanya. Tetapi, sekiranya ia mempunyai iman, dia masih cantik dan terus cantik pada pandangan Allah, dan Allah berkuasa untuk mencantikkan rupanya kembali!

Oleh itu, sekiranya engkau tidak mahu mencantikkan diri dengan iman, engkau akan hodoh disebabkan dosa. Kecantikan pada pandangan manusia yang buta itu akan hilang sekelip mata, dan Iman di dalam hati itu bukanlah diukur dengan mata manusia yang buta itu, dan inilah kecantikan sebenar.

No comments:

Post a Comment