Anas  r.a. menceritakan bahawa seorang lelaki badwi bernama Zahir, seorang  yang buruk rupa parasnya tetapi sangat mulia akhlaknya serta sangat  dikasihi oleh Rasulullah s.a.w.
Sekiranya Zahir datang ke Madinah, beliau akan menghadiahkan Rasulullah s.a.w. barang-barang yang dibawa dari kampungnya. Apabila dia hendak pulang, Rasulullah s.a.w. akan membekalkan barang-barang keperluannya pula sambil baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya Zahir orang kampong kita dan kita orang kotanya.”
Pada  suatu hari Rasulullah s.a.w. pergi ke tempatnya. Ketika itu dia sedang  menjalankan urusan perniagaannya. Dengan perlahan-lahan Rasulullah  s.a.w. datang dari belakang dan memeluknya kuat-kuta. Dia tidak  menyedari bahawa yang memeluknya itu adalah Rasulullah s.a.w. Dia  meronta-ronta minta dilepaskan. Rasulullah s.a.w. membiarkan saja Zahir  meronta-meronta sehinggalah Zahir menoleh ke belakang dan didapati yang  memeluknya itu adalah kekasihnya, Rasulullah s.a.w. Maka dengan  bahagianya dia membiarkan belakangnya tersandar di dada Baginda.
Rasulullah s.a.w. masih tidak melepaskan pelukannya. Sebaliknya dengan keadaan tangannya yang mulia yang tetap memeluknya Zahir itu baginda berkata: “Siapa nak beli hamba ini? Siapa nak beli?”
Zahir yang memahami gurauan Rasulullah s.a.w. itu berkata: “Ya Rasulullah! Saya ini tak laku untuk dijual, saya barang yang tidak berharga!”. Lantas Nabi s.a.w. berkata kepada Zahir: “Tetapi kamu di sisi Allah berharga. Kamu mahal di sisi-Nya!” Musnad Ahmad
Masya-Allah! Demikianlah tingginya pekerti Nabi s.a.w. dan betapa kasihnya baginda kepada sahabatnya tanpa mengira kedudukan, rupa dan harta. Baginda menegaskan dengan perbuatan, bukan sekadar kata-kata bahawa manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa.

No comments:
Post a Comment