Saya amat tertarik dengan isi khutbah jumaat yang telah disampaikan oleh  Prof. Dr. Mu'thi Bayumi di Masjid yang  dikenali dikalangan rakan-rakan dengan Masjid Tantowi (kerana Syeikh  al-Azhar sekarang, Prof. Dr. Muhammad Sayyed al-Tantawi pernah menjadi  khatib di situ setahu saya).
Beliau  yang juga merupakan anggota Majma' Buhuth (Akademi Penyelidikan)  Al-Azhar telah mengulas tajuk keamanan yang diberikan oleh Islam kepada  bukan Islam sekiranya mereka berada dalam negara Islam. Kata beliau,  "Islam bukanlah agama kekerasan, kezaliman dan penindasan bahkan Islam  adalah agama keamanan untuk seluruh penduduk dunia". Beliau berkata  lagi, "Sejarah telah mencatatkan bahawa Islam telah bersama  dengan  masyarakat yang pelbagai, bukan hanya masyarakat Kristian, bahkan juga  bersama masyarakat penyembah berhala, penyembah bintang, bulan dan  banyak lagi. Semuanya telah mendapat keamanan apabila hukum Islam  ditegakkan dalam negara." 
Beliau menjelaskan apabila masyarakat  bukan Islam dapat memahami risalah Islam itu sendiri tidak mustahil  mereka sendiri yang akan menuntut supaya hukum Islam ditegakkan kerana  yakin dengan keamanan yang dapat  diperolehi dengannya.   
Perkara tersebut dinyatakan berdasarkan pengalaman beliau sendiri  apabila menjadi utusan ulama Azhar untuk menyampaikan satu ceramah  berkaitan perlaksanaan Islam dan  kedamaian yang dapat dicapai melalui  perlaksanaannya di satu majlis yang dianjurkan oleh Parti Wafd (salah  satu parti utama di Mesir) dimana terdapat anggota parti tersebut yang  beragama Kristian. Kebetulan juga ada dikalangan penganut agama Kristian  tersebut yang menghafal al-Quran( ini adalah satu kebiasaan di Mesir,  bahkan ada yang menghafal al-Quran sejak kecil lagi, bila beliau sebut  hal itu saya merasa begitu malu kerana saya yang muslim ini pun belum  hafal al-Quran sepenuhnya). Setelah selesai daripada ceramah tersebut,  lantas bangun salah seorang hadirin dari penganut agama Kristian tadi  menyatakan, " Sekiranya inilah Islam yang sebenar, maka kamilah orang  yang pertama menuntut supaya undang-undang Islam dilaksanakan!"
Nah! Lihat betapa Islam mampu untuk difahami dan dihayati oleh bukan  Islam sendiri. Tak timbul masyarakat majmuk atau tidak. Islam adalah  untuk semua bermula dari sekecil-perkara sehinggalah pemerintahan  negara. Islam agama yamg mudah bukan menyusahkan orang. 
Seterusnya beliau meneruskan bicara, "Apa yang menyedihkan kita ialah  mereka yang  takut akan undang-undang Islam, menghalang usaha memberikan  kefahaman Islam yang sebenarnya kepada masyarakat bukan Islam, bahkan  menghalang perlaksanaan undang-undang Islam dalam negara adalah orang  Islam itu sendiri! Mereka adalah terdiri daripada masyarakat golongan  sekularisma Mesir yang berotakkan barat!" (beliau khususkan orang Mesir  dalam khutbahnya itu).
Dalam khutbah tersebut beliau  menceritakan bahawa masyarakat bukan Islam tidak akan takut terhadap  Islam sekiranya mereka boleh memahami hakikat dan realiti Islam  sebagaimana yang berlaku kepada seorang peguam Kristian yang terkenal  ketika dahulu di Mesir iaitu Makram 'Abiid (sehingga sebuah jalan di  Madinah Nasr dinamakan dengan nama beliau). Makram Abiid ialah seorang  peguam kristian yang menghafal 30 juzuk al-Quran. 
Beliau  menceritakan bahawa pernah satu ketika dalam perbicaraan mahkamah paguam  tersebut telah mewakili anak guamannya yang merupakan seorang muslim.  Dalam perbicaraan tersebut beliau telah berhujjah menggunakan al-Quran  untuk mempertahankan hak anak guamannya. Walau bagaimanapun, si hakim  cuba untuk menolak hujjah tersebut dengan berkata, "Bagaimana kamu boleh  berhujjah dengan al-Quran sedangkan kamu sendiri tidak beriman  dengannya?" Lalu beliau dengan pantas menjawab, "Walaupun saya tidak  beriman dengannya, tetapi saya mewakili orang yang beriman dengannya!"  (iaitu saya ingin mewakili hujjahnya. Sekiranya dia berada di tempat  saya nescaya dia juga akan menggunakan ayat kerana al-Quran itu sendiri  adalah hujjah).
Begitulah apa yang dinyatakan oleh al-Fadhil Dr.  Mu'ti Bayumi dalam khutbah beliau. Apa yang dinyatakan olehnya itu  sebenar merupakan realiti yang berlaku di Malaysia sekarang. Kita boleh  melihat bahawa mereka yang ingin bersama Islam adalah dikalangan bukan  beragama Islam. Dalam masa yang sama, ada orang Islam yang jahil  bermati-matian menghalang Islam dari difahami oleh bukan Islam dan  sengaja mencetuskan sensitiviti perkauman serta agama (macam kes kepala  lembu, isu gereja, penggunaan kalimah Allah dan sebagainya). 
Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas tadi, kita mengharapkan selepas  ini lebih banyak lagi suara bukan Islam menggunakan Islam dan al-Quran  sebagai hujjah sama ada di pentas ceramah, parlimen, dewan rakyat, media  massa dan lain-lain supaya Islam lebih terbuka untuk dikaji dan lebih  difahami oleh mereka sendiri dan membuka mata pihak yang tidak mahukan  Islam. Selain itu usaha untuk memberikan kefahaman Islam kepada bukan  Islam seperti seminar hudud yang dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan  contohnya dan dialog antara Islam dan bukan Islam sememangnya perlu  diperbanyakkan dan wajib dilaksanakan. Para ulama berkata, "Allah adalah  tuhan untuk semua makhluk.  Maka Islam yang diturunkan oleh Allah untuk  manusia layak untuk dipakai oleh semua manusia kerana Allah pencipta  mereka."

No comments:
Post a Comment