Dalam  menongkah era milenium, Islam sentiasa dikaitkan dengan keganasan.  Setiap perkara dan amalan yang benar-benar menepati syara’ dilabelkan  dengan ekstrim dan teroris. Semangat jihad yang seharusnya menyinari  jiwa syabab al-Islam mulai kabur dek kerana kefahaman terhadap jihad  telah dikelirukan dengan penafsiran palsu oleh musuh-musuh Islam. 
Label  teroris terhadap para da’ie telah berjaya menjauhkan al-syabab dari  berintima’ dengan gerakan dakwah yang merupakan perjuangan suci di dalam  Islam.
Tempias  dari penafsiran kotor dan keji ini telah membasahi pemikiran kebanyakan  mahasiswa Islam seluruh dunia. Kehadiran mereka ke institusi pengajian  tinggi adalah semata-mata untuk memberikan penumpuan seratus peratus  dalam pembelajaran, tanpa sekelip pun memandang ke arah masalah global. 
Kebersamaan  dalam aktiviti persatuan lebih-lebih lagi yang berorientasikan tarbiah  dan dakwah bukan lagi satu signifikan keberadaan mereka di kampus  pengajian. Malah, ada yang beranggapan, aktiviti ini merencatkan proses  kematangan ilmu yang sedang digali di sini.
Senario  ini merupakan ghazwah al-fikr (serangan pemikiran) yang direncanakan  oleh musuh-musuh Islam dalam memastikan kekangan terhadap gerakan dakwah  dapat direalisasikan. Di sinilah peranan kita sebagai mahasiswa Islam  yang telah ditarbiah dalam suasana biah solehah untuk memastikan  masyarakat sekitar kita nanti tidak terkena tempias pemalsuan ini.
Sedarlah,  mahasiswa Islam adalah dai’e yang menjunjung amanah Allah bagi menjana  ummah gemilang dengan memikul peranan besar sebagai penggerak dan  pembangun masyarakat untuk mengembalikan semula kecemerlangan Islam.  Yakin serta percayalah, masyarakat sedang menanti penangan kita selaku  tholib al-ilmi yang diharap mampu memimpin umat ke arah syurga Allah SWT  dengan ilmu pengetahuan yang telah kita pelajari.
Tanamkanlah  dalam diri kita bahawa syurga Allah bukan untuk kita seorang.  Berusahalah dengan sekerasnya-kerasnya dalam lapangan dakwah agar setiap  hamba Allah yang mengucap dua kalimah syahadah dapat bersama-sama kita  di dalam syurga Allah kelak.
Di  sini,  saya ingin menegaskan bahawa da’ie bukanlah teroris. Gerakkan  dakwah bukannya ekstremis. Dakwah yang kita dokongi ini, digerakkan  melalui muzakarah berkelompok yang dipimpin oleh fasilitator dengan  berkonsepkan nasihat dan teguran bagi mencapai hadaf dan tujuan.  Menyentuh perspektif humanistik dari segi akhlak agar mampu  memanifestasikan tugas dan kewajipan kita dalam usaha mengubah situasi  kehidupan masyarakat.
Qudwah  yang ditonjolkan oleh para fasilitator merupakan aset penting untuk  kejayaan muzakarah berkelompok yang kita gerakkan. Menyatukan jiwa-jiwa  kita dengan ikatan ukhuwwah Islamiyyah dan dikemaskan lagi dengan ribath  al-Aqidah yang senantiasa harum subur di hati. Dimanakah yang dikatakan  ekstrimis dan teroris pada dakwah kita? Inilah antara konspirasi barat  dalam menjerat aktivis Islam.
Dr.  Yusuf al-Qardhawi menyatakan : “Keganasan harus diperangi dengan  perdebatan yang merupakan aktiviti pemikiran. Jika kita memerangi  keganasan dengan melakukan keganasan yang serupa, kita memerangi  pengganas dengan senjata dan cara yang sama, maka bererti kita juga  adalah pengganas” (Antara Pengganas Dan Mujahidin Tulen).
Nabi  s.a.w berjihad untuk menegakkan syiar Islam selama dua puluh tiga tahun  dengan ketajaman semangat yang tidak pernah tumpul. Jihad yang sedikit  pun tidak dinodai dengan perasaan malas walaupun baginda jarang benar  berehat demi untuk memastikan umatnya yang dicintai, terlepas dari  ancaman neraka. 
Kesungguhan  dan keutuhan jihad baginda ini adalah bertunjangkan keyakinan baginda  bahawa untung nasib umatnya di akhirat terletak atas kepatuhan mereka  kepada Allah atau sebaliknya.
Saya  memohon kepada Tuhan yang membolak-balikkan hati agar menetapkan  hati-hati kita thabat dalam agama ini serta mejadikan kita penyambung  gerakkan dakwah Rasulullah agar penghayatan cara hidup Islam kembali  menjadi kelaziman bagi umat Islam seluruhnya.


No comments:
Post a Comment