Diceritakan bahawa seorang ibu telah datang menemui Nabi Daud a.s. lalu berkata:
Ibu – Wahai Nabi Allah! Adakah Tuhanmu zalim atau adil?
Nabi Daud – kenapa kamu ini wahai perempuan? Tuhan itu Maha Adil dan  tidak pernah melakukan kezaliman! Apa yang telah berlaku ke atas dirimu?
Ibu – Aku seorang balu. Bersamaku tiga orang anak perempuan yang masih  kecil. Aku menjaga mereka seorang diri dengan hasil tenunan tanganku.  Semalam aku mengikat kemas-kemas tenunanku dalam sehelai kain berwarna  merah dan membawanya ke pasar untuk dijual kemudian membeli  barang-barang keperluan anak-anakku. Di pertengahan jalan, tiba-tiba  seekor burung menyerangku, lantas menyambar tenunanku dan terbang entah  ke mana. Kini tiada lagi yang tinggal untukku menyara anak-anakku.
Belum sempat Nabi Daud menjawab kata-kata ibu tersebut, tiba-tiba pintu  diketuk dan Nabi mengizinkan orang yang mengetuk pintu itu masuk. Tetamu  yang baru tiba itu terdiri daripada 10 orang saudagar yang di dalam  tangan masing-masing terdapat wang sebanyak 100 dinar. Mereka berkata:
Saudagar – Wahai Nabi Allah, ambillah wang dinar ini dan berilah kepada orang yang berhak menerimanya!
Nabi Daud – Apa yang menyebabkan kamu menyerahkan wang ini kepadaku?
Saudagar – Wahai Nabi Allah, semalam kami berada di atas kapal layar  untuk pergi berniaga. Tiba-tiba angin bertiub sangat kencang sehingga  kapal layar kami hampir pecah dan kami hampir-hampir akan karam.  Tiba-tiba seekor burung mencampakkan sehelai kain berwarna merah yang  terdapat di dalamnya hasil tenunan. Maka kami gunakan kain dan benang  itu untuk mengikat kapal layar kami dan menampung kebocorannya. Dengan  itu kami dapat mengharungi angin rebut itu dengan selamat. Kami telah  bernazar dengan Nama Allah bahawa setiap orang daripada kami  mengeluarkan 100 dinar sebagai sedekah kerana Allah. Dan inilah wang  tersebut. Ambillah dan berilah kepada sesiapa yang berhak pada pandangan  Nabi.
Nabi Daud a.s. berpaling kepada ibu tadi seraya berkata:
Nabi Daud – Tuhan yang berniaga untuk kamu di darat dan di laut, sedang  kamu menuduh-Nya zalim? Ambillah wang ini dan belanjakannya untuk  anak-anakmu. 

No comments:
Post a Comment