Assalamualaikum..
Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan yang menjadikan alam ini sebagai ujian bagi hamba-hambaNya. Selawat dan salam buat kekasih hati, junjungan mulia nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
Golongan pemuda dan pemudi merupakan tonggak kepada sesuatu perubahan. Sama ada keadaan masyarakat akan berubah ke arah yang lebih baik atau berubah ke arah kejahilan.
Hal ini kerana golongan pemuda mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada pada mereka yang berumur. Kehebatan yang Allah SWT beri ini, sekiranya diarahkan ke sudut yang betul, maka satu perubahan besar akan terjadi.
Tetapi sekiranya kehebatan ini disalurkan ke arah keburukan, maka perubahan masyarakat ke arah kejahilan akan terjadi.
Pada hakikatnya, pemuda dianugerahkan pelbagai kelebihan dan kehebatan oleh Allah SWT. Saya datangkan contoh kelebihan tersebut.
SEMANGAT YANG TINGGI DAN DARAH YANG BERGELORA
Antaranya ialah pemuda dan pemudi mempunyai semangat yang tinggi. Lihat saja pemuda yang menunggang motosikal. Mereka menunggang dengan lagak yang membahayakan. Lebih mudah saya nyatakan di sini sama ada "wikang" atau "wili".
Selain itu, lihatlah bagaimana sikap pemuda apabila membantah atau tidak bersetuju dengan sesuatu perkara. Mereka menjerit kuat-kuat. Bergaduh menjadi perkara yang biasa. Sehinggakan ada yang sanggup membakar rumah ibadah agama lain demi semata-mata untuk menunjuk perasaan.
Saya datangkan contoh di zaman Nabi Ibrahim Alaihis Salam. Allah SWT merekodkan di dalam al-quran tentang dialog antara Nabi Ibrahim AS dan kaumnya.
Apabila Nabi Ibrahim berkata kepada ayah dan kaumnya "Patung berhala apakah yang kamu semua sembah ini?".
Dialog tersebut menunjukkan bahawa dengan semangat yang ada pada golongan pemuda, mereka berani untuk melaksanakan amar ma'ruf dan nahi mungkar.
PANDANGAN IDEA YANG BERNAS
Golongan pemuda sering dikaitkan dengan pembangunan masyarakat di masa hadapan. Hal ini kerana mereka selalu memberikan pandangan idea yang bernas serta relevan dengan keadaan suasana sekeliling.
Lihat saja kebanjiran blog-blog mahasiswa. Apabila timbul sesuatu isu, maka mereka inilah yang sering memberikan pandangan masing-masing. Ada yang berpandangan positif dan ada pula yang berpandangan negatif. Malahan ada juga yang berada di atas pagar, tidak mampu untuk menilai isu yang berlaku.
TUBUH BADAN YANG SIHAT DAN KUAT
Golongan yang diberikan anugerah ini, mampu melakukan 10 kerja dalam satu-satu masa malahan lebih daripada itu. Saya datangkan contoh seseorang pemuda yang sudah bernikah. Dalam masa yang sama, dia masih lagi menuntut ilmu. Selain itu, kebajikan kepada masyarakat juga tidak ditinggalkan. Kuliah pengajian tetap dia jalankan.
Maka ini adalah kelebihan yang ada pada pemuda tetapi tidak diberikan kepada golongan yang sudah berumur.
Sebab itulah kelebihan yang ada ini ini perlu dididik supaya ianya menuju ke arah perjuangan Islam. Bekalan-bekalan untuk menjadi pejuang Allah perlu disebatikan dalam jiwa golongan pemuda.
Apa bekalan yang dimaksudkan?
Ya...itulah bekalan yang dikenal sebagai TARBIYAH RUHIYYAH. Golongan pejuang Islam memerlukan kepada Solat Tahajjud kerana ianya merupakan sumber kekuatan.
Pejuang Allah memerlukan Al-Quran sebagai panduan untuk berjalan melalui liku-liku hidup di dunia. Zikir harian juga tidak boleh ditinggalkan kerana ianya merupakan nadi untuk bergerak dalam perjuangan Islam.
Selain itu, TUNJUK AJAR HIKMAH juga diperlukan oleh golongan pemuda. Pengalaman inilah yang banyak diperolehi daripada orang-orang terdahulu. Pengalaman ini juga banyak dipelajari daripada sirah Nabi Muhammad SAW.
Saya juga menyarankan supaya golongan pejuang Allah ini mengambil pengalaman hikmah daripada usrah yang diikuti. Tentu naqib yang membawa usrah tersebut lebih berpengalaman dalam dunia dakwah.
Semangat semata-mata tidak mampu untuk membuahkan hasil yang sempurna. ILMU DAN KEFAHAMAN perlu diterapkan dalam pemikiran golongan pemuda. Biar fikrah mereka jelas. Matlamat pembawakan mereka nampak di hadapan. Jalan yang mereka tempuh merupakan jalan yang benar. Bukan jalan yang mengaburi penglihatan.
Sekiranya bekalan ini disalurkan ke dalam jiwa para pemuda, sudah tentu sikap menunggang motor dengan laju tersebut akan berubah menjadi menunggang motor untuk melaksanakan usrah.
Semangat untuk membakar rumah ibadah kristian akan berubah menjadi tindakan yang lebih profesional dan bertimbang rasa. Pandangan idea untuk mengadakan konsert akan berubah menjadi pandangan idea untuk mengadakan ceramah forum di malam kemerdekaan.
Akhir sekali ciri-ciri mukmin yang sejati akan semakin jelas berada pada masyarakat. Serta sikap untuk memperjuangkan agama Islam itu akan tersebar luas ke seluruh peringkat masyarakat.
Ciri-ciri inilah yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-quran Surah Al-Maidah ayat 54.
"Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang keluar daripada agamanya (Islam) maka Allah SWT akan menggantikan dengan suatu kaum dimana Allah SWT mencintai mereka dan mereka juga mencintai Allah SWT, mereka bersikap lembut sesama muslim, mereka bersikap keras dan tegas terhadap golongan kafir, mereka berjihad di jalan Allah SWT, dan mereka tidak takut dengan celaan orang kafir. Yang demikian itu merupakan kelebihan yang Allah berikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah SWT mempunyai kelebihan yang maha agung"
Ciri-ciri inilah yang akan timbul sekiranya golongan pemuda tadi ditarbiyah dan dicanai dengan memahami erti perjuangan Islam.
No comments:
Post a Comment