InsyaAllah, dalam post kali ini, suka  untuk saya menulis tentang  beberapa perkara yang berkaitan dengan gerak  kerja Islam yang sering  dipandang sebelah mata oleh beberapa pihak yang  tidak memahami tentang  Konsep Syumul dalam Islam.
Kisah
Satu kisah yang diceritakan oleh Dr Yusof al Qaradhawi di dalam bukunya, "Ainal Khalal" - Di manakah kesilapan - :
Satu   hari seorang ustaz mengajar seperti biasa di sebuah masjid. Setelah   selesai mengajar, seorang daripada hadirin bangun dan berkata "Sudah 30   tahun berlalu, sedangkan kamu masih lagi berkata-kata.. Apa yang kamu   buat untuk kemenangan Islam? Ustaz tersebut menjawab : Sudah 30 tahun   berlalu, sedangkan kamu hanya mendengar.. Apa yang kamu buat untuk   kemenangan Islam?
Kisah  di atas adalah salah satu  contoh pengajaran bagi kita. Kadangkala kita  begitu suka mempertikaikan  gerak kerja orang lain, sedangkan kita hanya  bergoyang kaki. Sibuk  mengatakan itu tak kena, dan ini tak kena,  sedangkan apa usaha kita  untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut?
Di dalam kisah tersebut juga menerangkan 2 peranan yang perlu dimainkan :
1. Peranan Ulama
2. Peranan Masyarakat
Bahkan   semua  pihak perlu berperanan dalam mengislah umat. Antara yang lain,   pimpinan juga terlibat sama dalam gerak kerja ini. Bukan hanya tahu   menunding jari kepada orang lain, tetapi diri sendiri hanya tahu   menggoyangkan kaki.
Empat Perkara
Empat perkara yang ingin saya tekankan :
1. Memikirkan tentang Islam
Sebagai   seorang yang bergelar umat Islam, kita perlulah berfikir untuk Islam.   Gunakan beberapa minit untuk berfikir tentang umat manusia, berfikir   tentang perancangan dalam membangunkan Islam dan lain-lain. Kita   menghadapi masalah apabila umat Islam malas berfikir!
Mereka hanya tahu memikirkan tentang periuk nasi sendiri. Hanya tahu memikirkan kejayaan sendiri.. sambil berkata "tengok.. inilah hasil usaha aku" sedangkan hasil tersebut adalah anugerah Allah.
Lihat   kisah ulama mazhab. Mereka memainkan peranan untuk menghidupkan   golongan yang mampu berfikir tentang Islam. Mereka sendiri berfikir   untuk Islam. Imam Syafie ketika bermalam di Rumah Imam Ahmad, berfikir   pelbagai masalah sehinggakan wudhu Isya digunakan untuk subuh   keesokannya. Kita bagaimana?
2. Bekerja untuk Islam
Tidak   cukup dengan hanya berfikir untuk Islam, perlu juga bekerja untuk   Islam. Ramai juga golongan yang hanya tahu berfikir, tetapi malas untuk   bekerja. Tetapi lebih teruk sekiranya terdapat golongan yang malas   berfikir, dan malas bekerja.
Ingat,  ramai orang mampu  berfikir, tetapi tidak ramai yang mahu bekerja  walaupun dia mampu. Ada  juga yang hanya tahu bekerja untuk periuk nasi  sendiri.. sambil berkata  : Lantaklah apa nak jadi.. asalkan aku bahagia.
Lihat   pula sejarah ulama Hadis. Kita hanya tahu mereka ini bersungguh-sungguh   dalam mendapatkan hadis. Hakikatnya, apa yang kita nak daripada sejarah   kesungguhan mereka ialah "mereka bekerja untuk Islam". Hari ini, kita   hanya tahu berkata : Saya nak jadi ulama Hadis.. lalu dia akan   menuntut ilmu, tetapi tidak mahu bersama dengan gerakan Islam. Pelik,   sedangkan ulama'-ulama hadis tersebut bekerja untuk Islam, bukan untuk   periuk nasi mereka.
3. Berkorban untuk Islam
Tidak   cukup dengan hanya berfikir dan bekerja untuk Islam.. Tingkatkan lagi   dengan "berkorban untuk Islam". Ada juga yang sanggup berfikir dan   bekerja untuk Islam, tetapi belum sanggup untuk berkorban.
Lalu   golongan ini akan meninggalkan kerja tersebut (tidak istiqamah)  apabila  diancam atau menerima rintangan dalam gerak kerja tersebut.  Lihat kisah  Asy Syahid Abdullah Azzam, meninggal dunia dalam dunia  jihadnya.
Beliau pernah berkata : "Kita tanpa jihad umpama ikan tanpa air.." 
Ikan akan mati tanpa air, dan roh seorang muslim akan hilang sekiranya malas berjihad, tidak mahu berkorban untuk Islam.
4. Ithar untuk Islam
Ithar   adalah melebihkan kepentingan orang lain berbanding kepentingan   sendiri. Contohnya kita telah meletakkan bahawa masa tidur aku adalah 5   jam. Tetapi disebabkan kewajipan terhadap umat yang begitu besar, maka   saya sanggup tidur 3 jam sahaja kerana 2 jam lagi adalah untuk Islam.
Cuba   lihat sejarah salafussoleh, mereka bukan hanya tahu berzikir seorang   diri, beruzlah, bahkan mereka mengeluarkan harta mereka untuk Islam. Asy   Syahid Abdullah Azzam sanggup melepaskan kerja sebagai pensyarah yang   bergaji 20 000 sebulan, semata-mata untuk berjihad. Kita bagaimana?
Sudahlah   sukar berkorban, apatalah lagi ithar? Sanggupkah kita tak tidur malam   untuk memberi ruang kepada orang lain untuk tidur? Ramai yang mampu   berkata : Kita kena berkorban.. kita kena itu dan ini.. Kemudian orang yang berkata ini balik rumah, minum susu dan tidur.
Kesimpulan
Perkara   yang perlu diingatkan kepada kita termasuk diri ini ialah empat  perkara  yang disebutkan. Mengabaikan salah satu daripada empat perkara  tersebut  menampakkan kerompangan dalam perjuangan. Seolah-olah ada yang  tak kena  sekiranya salah satu daripadanya terabai.
Berfikirlah   untuk Islam, bekerjalah untuk Islam, berkorbanlah untuk Islam dan   itharlah untuk Islam. Janganlah kita berfikir, bekerja, berkorban dan   ithar untuk memecahbelahkan Islam, atau meruntuhkannya.
Tidak   perlu berpaling tadah, cukuplah dengan hanya kita malas, sudah   menyebabkan kita tergolong dalam golongan yang merosakkan Islam.
Di dalam buku "Ainal Khalal" karangan Dr Yusof al Qaradhawi menukilkan kalam dari Syeikh Jamaluddin al Afghani, beliau berkata :
"Kalaulah   jutaan kamu ini adalah lalat yang menghinggapi telinga Inggeris, sudah   pasti kamu akan merosakkan telinga-telinga mereka!"
Cukup   dengan kita ini hanya kumpulan lalat yang bersatu, kita boleh  menghalau  penjajah dari negara kita. Lihatlah bagaimana Raja Namrud  yang mati  dengan hanya seekor nyamuk. Lihatlah bagaimana tentera  bergajah Abrahah  yang mati disebabkan serangan burung. Lihatlah  bagaimana tentera Yakjuj  dan Makjuj akan musnah disebabkan serangan  wabak.
Cukup  dengan kita memainkan peranan sebagai  kumpulan lalat.. Kita hari ini  bagaimana? Bilangan kita ramai, tetapi  kita tidak bersatu..
1. Fikrah tidak  satu.. masing-masing membawa agenda masing-masing sambil  berkata :  "Lantaklah Islam itu berpecah.. Lantaklah Islam itu tak  menang..  asalkan kamu bersama kami.." Bukan kerana Allah.
2.  Gerak kerja tidak satu.. Jemaah yang kedua sibuk dengan gerak kerja   mereka.. "Lantaklah gerak kerja Islam tak selaras (disebabkan   perpecahan).. Asalkan kamu bersama kami.. " Bukan kerana Allah.
Adakah matlamat kita "menyeru kepada kami"? Tidak.. Matlamat kita adalah menyeru kepada Allah.

No comments:
Post a Comment