PENDAHULUAN
Permasalah   bidaah-membidaah dan sesat-menyesatkan di dalam masyarakat Islam kini   amatlah parah dan berbahaya sekali. Masalah seperti ini timbul semula   dengan membawakan kembali persoalan-persoalan khilafiyah yang telah   sekian lama dibahaskan dan diselesaikan oleh para ulama muktabar   terdahulu. Golongan yang sewenang-wenangnya membidaah ini cuba   menafsirkan nas-nas dari al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. dengan   hawa nafsu sendiri sehingga pelbagai tafsiran yang tidak munasabah   diperolehi. Maka kucar-kacirlah masyarakat Islam dengan pembawakan   golongan ini yang kononnya berjuang untuk membersihkan perkara-perkara   bidaah.
Keadaan menjadi semakin parah apabila isu ini  dipandang  sebagai isu besar yang perlu diperdebatkan sehingga mereka  lupa dan alpa  akan isu-isu yang lebih besar untuk kemaslahatan umat  Islam sejagat.  Ini semua berpunca daripada kesalahan mereka dalam  memahami maksud  bidaah sesat dalam ertikata yang sebenarnya. Semoga  ulasan dan  penerangan ringkas ini dapat dijadikan panduan kepada semua  di dalam  usaha kecil saya untuk memperbetulkan salah faham masyarakat  terhadap  isu ini.
DALIL YANG DIGUNAKAN 
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
…Seburuk-buruk   perkara ialah perkara yang direka-reka (muhdathatuha) dan setiap yang   direka itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.
(Riwayat Muslim).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang direka ialah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat ke dalam neraka.
(Riwayat al-Nasaie).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang mengada-adakan sesuatu pada ajaran kami ini sedang ia bukan darinya maka ianya tertolak.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
PENERANGAN DAN PEMAHAMAN PARA ULAMA TERHADAP HADIS BIDAAH 
Berkata Saidina Umar al-Khattab R.A. bermaksud:…Baik bidaah ini…
(Riwayat Bukhari).
Saidina Umar al-Khattab R.A. berkata demikian ketika melihat para jemaah bersolat terawih berimamkan seorang imam sahaja .
Berkata   Imam Abu Umar Yusuf al-Andalusi: Adapun kenyataan Saidina Umar R.A.   ‘baik bidaah ini’ maksudnya bidaah mengikut orang Arab ialah mencipta   sesuatu yang belum pernah ada dan tidak pernah bermula. Ia tidaklah   mempunyai apa-apa percanggahan dengan sunnah (dari segi agama) seperti   yang diamalkan selama ini. (Kitab: Al-Istizkar Syarah al-Muwatta).
Berkata   Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah: Kata-kata Saidina Umar R.A. ‘baik   bidaah ini’ adalah: Penyandaran baik kepada bidaah ialah kerana   kebaikkannya dan penamaannya dari segi bahasa bukan syarak. Bidaah dari   segi bahasa menyentuh setiap perbuatan yang tidak pernah dilakukan   sebelum ini. Adapun bidaah menurut syarak ialah perbuatan yang tidak   berasaskan dalil syarie.
Amalan yang mempunyai sandaran  kepada  al-Quran dan al-Sunnah bukanlah bidaah dari segi syarak meskipun  ianya  bidaah dari segi bahasa. Perkataan bidaah lebih umum dalam  bahasa  daripada bidaah dalam syarak. (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).
Berkata   Imam al-Ghazali: Bukanlah semua perkara bidaah adalah dilarang tetapi   perkara yang dilarang ialah bidaah yang bercanggah dengan sunnah yang   tetap dan sabit dan membuang segala arahan syarak. (Kitab: Ihya Umul   al-Din).
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani: Bidaah  asalnya  ialah sesuatu yang baru diada-adakan iaitu sesuatu yang tidak  pernah  dilakukan sebelum ini. Ia di dalam syarak ialah lawan kepada  sunnah dan  dicela. Sebenarnya sesuatu yang baru diadakan itu sekiranya  tidak  bercanggah dengan syarak adalah baik dan sebaliknya jika buruk  mengikut  syarak maka ianya buruk kecuali termasuk bab harus. Bidaah  adalah  terbahagi kepada lima hukum. (Kitab: Fathul Bari).
Berkata  Imam  Abu Sulaiman al-Khitabi: Adapun sesuatu yang baru itu jika  bersandarkan  kepada kaedah Usul dan dirujuk kepadanya maka itu bukanlah  bidaah dan  bukanlah menyesatkan. (Kitab: Maalim al-Sunnah Syarah  Sunnan Abi Daud).
Berkata  Syeikh Bakhit Muthi: Bidaah  syarie ialah yang sesat dan yang tercela.  Adapun bidaah yang  dibahagikan oleh ulama kepada bidaah wajib, haram dan  sebagainya adalah  bidaah dari sudut bahasa dan ia lebih umum  pengertiannya daripada  bidaah syarie kerana bidaah syarie adalah satu  bahagian daripada bidaah  dari sudut bahasa. (Kitab: Ahsanulkalam Fi  Mayataallaqu Bil Sunnah Wal  Bidaah Minal Ahkam).
PENGERTIAN BIDA'AH 
Setelah   melihat perbincangan para ulama dalam memahami maksud hadis ‘setiap   bidaah adalah sesat’ maka disimpulkan bahawa setiap amalan yang disokong   oleh syarak walaupun ia berbentuk nas umum dan tidak pula bertentangan   dengan syarak serta tidak membawa kepada keburukkan maka ia tidak   termasuk di dalam pengertian bidaah yang sesat. Dan tidak juga boleh   dikatakan kepada sesuatu perbuatan baik yang di bawahnya terdapat nas   yang umum adalah sebagai bidaah sesat. Adapun makna bidaah secara syarie   kesemuanya adalah tercela dan bidaah dari sudut makna syarie adalah   salah satu cabang daripada bidaah dari sudut bahasa.
Berkata  lagi  Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah: Sesuatu yang tidak wujud di zaman  Nabi  Muhammad S.A.W. maka apa yang dilihat orang-orang Islam sebagai   perkara-perkara baru yang tidak berlaku di zaman Nabi S.A.W. maka ia   adalah perkara yang harus dilakukan selama mana menjadi keperluan.   (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).
PEMBAHAGIAN BIDAAH KEPADA HASANAH DAN DHALALAH
Dari   Imam Baihaqi maka berkata Imam Shafie: Bidaah ada dua: Bidaah terpuji   (mahmudah) dan bidaah yang dicela (mazmumah). Maka apa yang sesuai   dengan sunnah tetap dipuji dan yang mencanggahinya tetap dicela.
Imam Shafie berkata lagi bahawa perkara-perkara baru (al-muhdathat) ada dua jenis:
Pertama: Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak dan ini dikira sebagai bidaah sesat.
Kedua:   Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi mana-mana daripada   keempat-empat sumber (al-Quran, sunnah, athar dan ijmak) adalah perkara   baru yang tidak dicela. (Riwayat Abu Nuaim. Kitab: Hilyah al-Auliya).
Berkata   Imam Izzuddin Abdus Salam: Bidaah terbahagi kepada bidaah wajib,  bidaah  haram, bidaah sunnah, bidaah harus. (Kitab: al-Qawaid).
Imam al-Nawawi dalam mengulas hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ berkata:
Hadis   ini adalah makhus dan dikehendaki dengannya ialah kebanyakkan bidaah.   Berkatalah ahli bahasa: Ia (bidaah) adalah sesuatu yang baru dilakukan   tanpa ada contoh sebelumnya.
Berkata ulama:
Bidaah ada lima   bahagian iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Antara yang  wajib  ialah merangka dalil-dalil oleh para mutakallimin dalam menolak  para  mulhid (yang tidak percayakan kewujudan tuhan) dan menolak kaum  bidaah  (mubtadiin) dan seumpamanya. (Kitab: Fi Tahzib al-Asma Wa  al-Lughat).
Berkata  Imam Ibnu Athir: Bidaah terbahagi dua  bahagian iaitu bidaah petunjuk  dan bidaah kesesatan. Sesuatu perkara  yang bercanggah dengan arahan  Rasulullah S.A.W. maka ia adalah perkara  yang tercela manakala perkara  yang berada di bawah arahan baginda  secara umum maka ia adalah terpuji.
Bidaah  hasanah pada  hakikatnya adalah sunnah. Maka di atas tafsiran ini bahawa  maksud hadis  ‘setiap bidaah adalah sesat’ ditafsirkan kepada perkara  yang  bercanggah dengan usul-usul syarak dan tidak bertepatan dengan  sunnah.  (Kitab: al-Nihayah).
MEMBETULKAN SALAH ANGGAP TERHADAP MAKSUD IMAM SYATIBI 
Saya   melihat pandangan dari Imam Syatibi (antara ulama yang mula-mula   mengatakan bidaah tidak wujud dhalalah dan hasanah) serta bebeberapa   ulama terkini antaranya ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh   Prof. Dr. Wahbah Zuhaili mengenai persolalan bidaah ini adalah suatu   yang mesti dihormati oleh semua orang Islam.
Namun  perlulah  difahami bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa bidaah  terbahagi  kepada hasanah (baik) dan dhalalah (sesat). Inilah yang  dikatakan khilaf  antara ulama dalam mentafsirkan sesuatu dalil. Dalam  kita menghadapi  khilaf di antara ulama ini maka beberapa perkara dan  adab mestilah kita  fahami. Namun saya tidaklah bercadang untuk  membincangkan mengenai  adab-adab yang perlu ada dalam diri seseorang  itu bagi menghadapi khilaf  para ulama ini.
Jika kita  perhatikan secara ikhlas bahawa mereka  (ulama-ulama yang tidak  bersetuju untuk membahagikan bidaah kepada  dhalalah dan hasanah) tidak  pula menghalang atau mengatakan haram dan  sesat bagi sesiapa yang  melakukan perkara-perkara baik seperti sambutan  maulidur rasul,  menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat,   tahlil dll. Malah  mereka menyokongnya sepertimana Syeikh Dr. Yusuf  al-Qaradhawi  mengatakan bahawa sambutan maulidur rasul adalah baik. Dan  Syeikh Prof.  Dr. Wahbah Zuhaili turut memperakukan bahawa menyebut lafaz  niat  ketika hendak mengerjakan solat adalah sunat.
Jadi  bolehlah  kita simpulkan di sini bahawa mereka membenarkannya pada   persoalan-persoalan dan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan   akan tetapi mereka hanya tidak besetuju bahawa bidaah dibahagikan kepada   dhalalah dan hasanah. Perkara yang baik adalah dipuji dan perkara yang   buruk (melanggar sunnah) adalah dikeji lagi bidaah. Inilah yang   dimaksudkan oleh para ulama ini.
DI ANTARA BIDAAH PADA MASA KINI 
Mendakwa   boleh berijtihad oleh orang yang tidak berkelayakan merupakan di  antara  seburuk-buruk bidaah dan kerosakan serta kemungkinan yang paling   merbahaya yang mengancam syariat Islam. Mereka menolak mazhab-mazhab  dan  mengingkari imam-imam mujtahid bahkan mereka mengangap imam-imam   sebagai penentang syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Mereka   mendakwa bahawa imam-imam ini kononnya cuba mengalihkan perhatian   manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasululluh S.A.W. kepada   mazhab-mazhab tajaan diri sendiri dan sesiapa sahaja yang bermazhab   adalah tergolong sebagai ahli bidaah. Pemikiran seperti ini adalah   pemikiran yang didasari oleh orientalis yang ingin menghancurkan Islam.
Syeikh   Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi berkata: Bermazhab ini adalah   bermaksud seorang awam atau orang yang tidak sampai ke taraf untuk   berijtihat cuba mengikut mazhab seorang imam mujtahid samada dia   memegang satu mazhab tertentu atau berpindah dari satu mazhab ke mazhab   yang lain. Sementara tidak bermazhab pula ialah tidak bertaqlid (orang   awam atau orang yang tidak sampai taraf mujtahid) kepada seseorang imam   yang mujtahid tanpa terikat untuk mengikutnya sepanjang masa.
Syeikh   Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi menambah lagi: Kita amat gembira   menyandarkan bahawa mereka yang tidak bermazhab kononnya menyandarkan   kepada golongan Salafiyyah (atau mana-mana kumpulan yang membawa maksud   sama dengan Salafiyyah) sebenarnya itulah mazhab mereka. Mengapa   tidaknya justeru mereka pun bertaqlid dengan salah seorang imam-imam   mujtahid di mana pandangan-pandangan para imam ini dipindahkan dengan   penuh amanah, tidak kiralah samada mereka itu sentiasa berpegang dengan   pandangan-pandangan para imam tersebut atau tidak, juga samada mereka   mengakui demikian itu ataupun sebaliknya. (Kitab: alLa Mazhabiyyah   Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah).
BIDAAHKAH AMALAN KEBANYAKKAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA? 
Pada   masa kini terdapat sebahagian kumpulan ini yang terlalu melampau lalu   menjadikan setiap perkara baru seperti amalan-amalan kebaikan dan   ketaatan yang tidak pernah wujud di zaman Rasulullah S.A.W. adalah   bidaah lagi sesat. Mereka berkata demikian konon-kononya untuk   menyucikan amalan-amalan umat Islam sekarang dari sebarang penambahan   dan penyelewengan yang tidak pernah dirakamkan di dalam al-Quran dan   al-Hadis. Namun mereka tidak sedar (atau mungkin sengaja lupa) bahawa   para sahabat Rasulullah S.A.W. dan para alim ulama adalah lebih memahami   dan mengetahui dalam segala urusan agama Islam ini.
Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya ahli zikir seandainya kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Nahl: ayat 43).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sebaik-baik manusia kurun aku kemudian orang orang yang mengikutnya kemudian orang-orang yang mengikutnya…
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sahabat-sahabat aku seperti bintang. Sesiapa sahaja dari kalangan mereka yang kamu turuti kamu mendapat hidayah.
(Riwayat al-Darqutni, al-Baihaqi, al-Hakim dan ramai lagi).
Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Ke atas kamu sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin…
(Riwayat Adu Daud dan al-Tarmizi).
Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Turutilah orang-orang selepasku Abu Bakar dan Umar.
(Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan Abu Daud).
Sepatutnya   persoalan yang tidak membawa sebarang kesan kepada tertolaknya akidah   dan syariah Islam tidaklah boleh dikatakan sebagai bidaah lagi sesat   terhadap sekiranya seseorang itu ingin mengamalkannya. Antara masalah   yang cuba diketengahkan di dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia   adalah seperti tahlil, bacaan al-Quran kepada mayat, bilangan rakaat   solat tarawih, bacaan surah Yasin pada malam Jumaat, talkin, berzikir   dengan biji tasbih, berzikir beramai-ramai, sambutan maulid nabi,   tawasul, tarikat dan banyak lagi.
Permasalah seperti  inilah yang  cuba diketengahkan dengan berdalilkan hadis ‘setiap bidaah  adalah sesat’  tanpa melihat dahulu kepada ulasan para ulama muktabar  terlebih dahulu.  Jika amalan-amalan seperti itu adalah bidaah yang  menyesatkan maka  sudah pastilah majoriti ulama-ulama akan bangun untuk  menjelaskan dan  menolak segala amalan-amalan itu kerana mereka  (ulama-ulama) tidak akan  bersepakat atau berdiam diri dengan kesalahan  dan kesesatan yang  dilakukan oleh umat Islam. Namun perlulah diingatkan  janganlah sampai  beriktikad bahawa amalan-amalan seperti ini adalah  mesti atau wajib  dibuat oleh umat Islam dalam apa jua keadaan  sekalipun. Juga janganlah  sampai terdapat unsur-unsur yang menyalahi  syarak ketika membuat segala  amalan ini yang mana boleh menjadi illah  kepada pengaharaman sesuatu  amalan itu.
Kemungkinan besar  golongan ini perlu mendalami ilmu  usul al-fiqh terlebih dahulu sebelum  mengatakan sesuatu amalan itu  bidaah ataupun tidak. Saya tidaklah  bercadang untuk memperincikan  tulisan ini dengan perbahasan usul  al-fiqh pula. Contohilah akhlak para  ulama muktabar kita yang sentiasa  berlapang dada di dalam  masalah-masalah khilafiyah seperti ini kerana  khilaf di kalangan ulama  adalah rahmat bagi umat Islam. Janganlah mudah  untuk kita mengatakan  seseorang itu ahli bidaah atau sesat tanpa ada  penelitian yang  sepatutnya.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Mana-mana  orang  yang berkata kepada saudaranya wahai kafir sesunggungnya dia  terkena  satu darinya kecuali engkau kembali ke atasnya.
(Riwayat muslim).
PERINGATAN PENTING 
Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:
Tidak   boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha.   Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh   para ulama di atas pengharamannya. (Kitab: Al-Asybah Wa al-Nazair Fi   Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).
Maksud   kaedah ini (di atas) secara lebih jelas ialah kita tidak boleh   menafikan, membantah, atau menuduh bidaah lagi sesat dan sebagainya   kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara agama   yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat   fenomena hari terdapat segelintir golongan yang menceburi lapangan   dakwah Islamiah menyanggah kaedah ini. Mereka dengan sewenang-wenangnya   mengeluarkan perkataan yang kesat kepada orang yang berpegang dengan   perkara khilafiyyah yang tidak sealiran dengan mereka dengan   mengkafirkan, memfasiqkan dan membidaahkan golongan tersebut. Malah   mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat   mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan   tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah antara masalah terbesar yang   menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam semenjak sekian  lama.
PENUTUP 
Setelah   meneliti segala hujah di dalam perbincangan ini maka bolehlah kita   katakan bahawa janganlah terlalu mudah untuk membidaahkan amalan orang   lain sebelum meneliti dahulu kata-kata para ulama. Adapun amalan-amalan   yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia seperti kenduri   tahlil, berzikir ramai secara nyaring dan pelbagai lagi amalan bukanlah   tergolong di dalam maksud bidaah yang dimaksudkan oleh al-Hadis. Saya   ingin menasihati agar golongan yang begitu mudah membidaah dan   mensyirikkan amalan-amalan orang lain ini (walaupun sekadar   amalan-amalan seperti tahlil dll) supaya kembali ke pangkal jalan dengan   mendalami ilmu agama secara ikhlas. Semoga kita semua berada di bawah   lindungan Allah Taala setiap masa dalam menghadapi situasi ini.
‘Memberi dan Berbakti’
Wallahualam

No comments:
Post a Comment