Wednesday, April 27, 2011
Cinta Selepas Berkahwin
Cinta bersemarak dengan nilai yang suci murni dari dosa dan noda akan menumbuhkan kebahagiaan dan kepuasan yang hakiki . Cinta sebelum perkahwinan adalah dengusan perasaan yang sering membawa imej yang pura - pura dan keterlaluan .
Luahan perasaan dan rengekan suara antara pasangan yang belum halal hanyalah membentuk cinta bernoda dan dikuasai oleh helah syaitan . Sungguh pun batas syariat cuba di pelihara namun menjadi suatu hal yang perlu dibimbangi apabila berlangsung hubungan cinta antara dua pasangan yang bukan mahram .
Sikap merahsiakan perhubungan antara pasangan bukan mahram ini antara api syubhat yang bakal membakar hangus benteng syariat antara mereka . Cinta di peringkat ini juga memberi kesan negatif kepada psikologi individu yang terlibat lantaran angan - angan dan khayalan yang sering menghantui .
Perkahwinan sebagai satu penyelesaian kepada konflik “ cinta lutong ” ini. Ianya akan mengajar erti realiti sebuah cinta . Cinta sejati adalah kemuncak rasa yang sukar dicapai . Pengorbanan dan ketabahan sebagai modal pokok kearah pencapaiannya .
Merentasi cabaran dan menyelami perasaan masing - masing ( antara kedua - dua pasangan ) akan menjelaskan nilai cinta murni yang suci dari penipuan dan khayalan bahkan penuh keinsafan dan tanggungjawab .
Tips cinta untuk kebahagiaan Bait Muslim
Marhalah Amal Islami
1. Pembentukan peribadi muslim
2. Pembinaan rumahtangga muslim
3. Membimbing masyarakat menuju Ilahi
4. Membebaskan tanahair dari belenggu penjajahan kuffar
5. Memulihkan kerajaan dari sampukan thoghut .
6. Penguasaan alam .
( Seringkali isu kegagalan rumahtangga di perkatakan sehingga ia memberi kesan buruk kepada pasangan yang akan berkahwin . Dapat disaksikan di negara - negara barat apabila muda mudi mulai bosan dengan perkahwinan lantas mengamalkan free sex .)
Rumahtangga yang berjaya ialah yang memiliki suasana asas sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam firmanNya :
و من ءاياته أن خلق لكم من أنـفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة و رحمة إن فى ذلك لأيات لقوم يتفكرون
( الروم 21 )
“ Dan diantara tanda - tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk mu isteri - isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang . Sesungguhnya pada yang demikian itu tanda - tanda bagi kaum yang berfikir .”
Pendakian ke puncak amal Islami iaitu Ustaziatul Alam ( Penguasaan Alam ) mestilah melalui beberapa marhalah dan aqabah . Bait muslim sebagai marhalah kedua merupakan aqabah yang sukar didaki dengan penuh jaya dan gemilang . Ketabahan , kesabaran dan kebijaksanaan antara prinsip untuk berjaya .
Rumahtangga pejuang Islam
Aktivis gerakan Islam ( samaada pihak suami atau isteri ) sewajarnya memandang serius urusan mengenderai rumahtangga muslim agar ia tidak menjadi sebab gugurnya seorang aktivis . Penegasan ini dibuat memandangkan keaktifan pejuang memungkinkan rumahtangga terabai , sedang rumahtangga muslim adalah markaz terbaik untuk pengkaderan generasi akan datang yang bernaung di bawah lembayung Al-Quran dan jihad .
Kedua dua pihak ( pasangan suami isteri ) mesti memahami penglibatan aktifnya dalam gerakan Islam tanpa ia sendiri turut memahami bahawa rumahtangga muslim adalah salah satu agenda gerakan Islam , mencetuskan ketegangan atau kehambaran dalam hidup berumahtangga .
Kebijaksanaan menyusun program menurut prioriti mampu menyelamatkan keadaan . Suatu noktah penting yang memerlukan sebuah keinsafan bersama , bahawa rumahtangga yang gagal dan hambar adalah antara jalan rentas menuju ke garis penamat bagi episod perjuangan seorang aktivis .
Tips cinta untuk suami
1) Bersikap baik dan lembut dengan isteri
2) Menjaga kehormatan rumahtangga dan tidak terburu menerima fitnah
3) Jangan sekali - kali memukul isteri dan penuhi keinginannya dengan baik
4) Bersabar terhadap karenah isteri
5) Mengendali nafkah dengan ( tidak bakhil dan boros )
6) Bergurau senda dengan anak dan isteri ( berkasih sayang dan mesra )
7) Membantu tugas - tugas isteri dirumah
8) Jujur dan menepati janji dengan anak dan isteri
9) Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga
10) Tidak bermesra dengan wanita lain
11) Menjaga rahsia isteri
12) Tidak merendah - rendahkan isteri di hadapan orang lain
13) Tidak makan hasil kerja isteri .
Tips cinta untuk isteri
1) Berterima kasih diatas pemberian suami dan senantiasa mengenang jasanya walaupun kecil .
2) Segera memenuhi permintaan suami
3) Bertindak diatas keizinan suami , jangan sekali kali mengangkat suara .
4) Pastikan suami tidak menemui sesuatu yang buruk pada isteri
5) Pastikan suami tidak mencium melainkan bau yang wangi
6) Jaga hartanya dengan sebaik - baik tadbir
7) Jaga maruahnya dengan sebaik - baik taqdir
8) Jangan mengingkari suami dan merahsiakan sesuatu daripadanya
9) Membantu urusan perjuangannya
10) Berkhidmat ikhlas dan aktif untuk ketenangan suami
11) Berlembut apabila dimarahi dan senyum apabila digembirakan
12) Mengekalkan sifat malu terhadap suami dan bijak menutur kata dihadapannya .
13) Menghormati keluarga suami
14) Menjaga rahsia suami
Tips cinta untuk kedua suami isteri
1) Persefahaman2) Ta'awun ( bekerjasama )
3) Wujudkan suasana romantis
4) Atasi bebanan kerja
5) Kepuasan seks
6) Elakkan sikap suka mengkritik pasangan
7) Saling percaya mempercayai diantara satu sama lai
8) Menghayati amal Islami
9) Kebijaksanaan mentadbir dan menyelesaikan masaalah rumahtangga .
Penutup
Hidup manusia menjadi pasif tanpa cinta bahkan bertaraf durjana tatkala tiada nilai cinta rabbani yang menjadi asas pergerakkan manusia membebaskan diri daripada kepungan api neraka Allah . Justeru itu cinta harus dipertemukan dengan fitrah demi kesejagatan Al hayah ( kehidupan ) anugerah Ilahi .
Manusia wajib menyintai Allah swt , Rasul saw dan sesama mukmin sebagai teras pembinaan Daulah Islamiyyah Al Fadhilah . Tanpa cinta berperspektif Islam , dunia akan binasa dan musnah dek kemarau nusrah ( pertolongan ) dan hidayah Ilahi serta permusuhan manusia akan berpanjangan.
Nilai cintalah , ummat menjadi satu Izzah ( keunggulan ) menjadi milik mereka. Firman Allah swt :
و اعتصموا بحبل الله جميعا و لا تفرقوا و اذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعدآء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا و كنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها كذلك يبين الله لكم ءاياته لعلكم تهتدون .
( ال عمران 103 )
“ Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulu bermusuh - musuhan , maka Allah menyatukan hati - hati kamu , lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah bersaudara dan kamu telah berada di jurang api neraka , lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya . Demikianlah Allah menerangkan ayat - ayatnya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk .”
Labels:
Baitul Muslim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
minta izin share ye saudara =]
ReplyDeletetafadhol...
ReplyDeletesilakan...^_^