Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, April 27, 2011

Anai-Anai Menuduh PAS Hanya Parti Politik, Suka Jatuh Menjatuh





Insya Allah, kali ini suka untuk saya mengulas tuduhan beberapa “golongan anai-anai” terhadap Parti Islam Semalaysia (PAS). Antara tuduhan yang biasa didengari ialah :


“PAS hanyalah memperjuangkan politik semata-mata dan gila untuk merebut kuasa.. sanggup jatuh menjatuh sesama Melayu .. berpecah dan lain-lain..”


Berdasarkan tuduhan oleh golongan anai-anai yang sedang membina rumah ini, suka untuk saya menjelaskan satu persatu, supaya kekeliruan ini dapat diperjelaskan. Fitnah demi fitnah dilemparkan kepada PAS oleh golongan anai-anai ini.

Ikhwanul Muslimin Pun Dituduh Berpolitik

Tuduhan bahawa PAS hanya memperjuangkan politik.. dan gila merebut kuasa. Perkara yang sama telah terjadi kepada Ikhwanul Muslimin di Mesir, apabila mereka juga dituduh hanya suka berpolitik.

Imam Hassan al Banna berkata :

Ada yang berkata Ikhwan al-Muslimin adalah orang-orang politik dan dakwah mereka bercorak politik. Mereka sebenarnya ada tujuan-tujuan tertentu. Kita tidak tahu sampai bila masyarakat kita akan terus melemparkan pelbagai tuduhan, prasangka dan kecaman yang tiada kesudahan ini. Mereka tidak mahu menerima suatu yang sahih dan disokong oleh kenyataan sebaliknya mereka terus menerus dengan pelbagai wasangka? (Majmu’ Rasa’il)


Sebelum itu, beliau pernah menyatakan bahawa terdapat 4 golongan yang bakal kita hadapi, iaitu :

1. Golongan yang yakin dengan dakwah kita
2. Golongan yang sangsi dengan dakwah kita, atau belum memahami perjuangan kita
3. Golongan yang berkepentingan, iaitu golongan yang bersama kita atas dasar kepentingan
4. Golongan yang berprasangka..

Golongan Yang Bersangka Buruk Dengan Politik Ini

Imam Hassan al Banna menyifatkan golongan berprasangka ini sebagai :

Orang ini prejudis dengan kita dan terlalu dikuasai oleh prasangka buruknya terhadap kita. Orang ini melihat kita dengan pandangan yang sangat buruk. Mereka hanya memperkatakan tentang kita dengan kata-kata yang memburuk-burukkan kita. Orang ini begitu degil dengan kesilapannya dan masih mahu mempertahankan salah fahamnya. (Majmu’ Rasa’il)


Maka, saya melihat perkara ini juga dihadapi oleh PAS. Golongan yang paling liat sekali untuk diperbetulkan ialah golongan keempat ini. Mereka juga bangsa Melayu.. Golongan pertama tersebut diisi oleh pelbagai bangsa dan agama.. Mereka yakin dengan dakwah PAS. Tiba-tiba, golongan keempat yang berprasangka ini mula mengemukakan ideologi “kebangsaan” bertujuan melemahkan kekuatan golongan pertama yang diisi oleh pelbagai bangsa.

Kita Dan Politik Mengikut Kacamata Ikhwan

Di dalam menjelaskan tentang tuduhan “PAS memperjuangkan politik semata-mata” suka untuk saya jelaskan pandangan Imam Hassan al Banna tentang “Kita dan Politik”

Wahai bangsa kami, kami menyeru kamu dengan al-Quran yang ada di kanan kami dan sunnah yang ada di kiri kami serta amalan salafussoleh yang menjadi teladan kami. Kami menyeru agar kamu mengamalkan Islam, ajaran Islam, hukum-hakam Islam dan petunjuk Islam. Jika ini kamu rasakan sebagai politik maka inilah politik kami. Jika orang yang mengajak kamu ke arah prinsip ini kamu anggap sebagai ahli politik maka syukur kepada Allah kami adalah orang yang paling memahami tentang politik. Jika kamu mahu gelarkan itu sebagai politik maka katakan apa yang ingin kamu katakan. Gelaran-gelaran ini tidak akan menggugat kami jika hakikat dan matlamat sebenarnya telah jelas.

Wahai bangsa kami, janganlah istilah-istilah ini menutup mata kamu daripada menilai kenyataan. Janganlah nama-nama yang digunakan ini menutup semua kebenaran. Janganlah luaran itu menutup segala kebenaran. Islam sememangnya mempunyai dasar politik untuk membawa kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Inilah politik kami dan kami tidak ada pilihan lain. Oleh itu ketengahkanlah politik ini dan ajaklah orang lain berlandaskan politik ini nescaya kamu akan beroleh kemuliaan di akhirat. Kamu pasti akan memahaminya bila sampai masanya. (Majmu’ Rasa’il)

Kenapa “Wahai Bangsa Kami”?

Saya tertarik dengan pendekatan yang digunakan oleh beliau, “Wahai bangsa kami”. Saya juga tertarik untuk menggunakan kalimah ini kerana :

Bangsa Melayu jugalah yang menuduh PAS hanya berpolitik kotor, hizbiah.. Bangsa Melayu jugalah yang menuduh pendekatan dakwah PAS tidak berhikmah.. Bangsa Melayu jugalah yang tidak mahu bersama dengan gerakan Islam ini, lalu menubuhkan “kesatuan anai-anai” dan Bangsa Melayu jugalah yang berjuang atas nama bangsa yang menyebabkan mereka mengenepikan hak bangsa lain yang turut hidup di bumi Malaysia.

Ikhwan Pun Parti Politik Juga

Apa yang boleh disaksikan dengan mata kasar, sehingga ke hari ini, kewujudan Ikhwanul Muslimin di bumi Mesir berproksikan kepada sebuah “parti politik”. Sama seperti PAS di Malaysia, menggunakan saluran “parti politik” untuk memerdekakan tanahair daripada pemerintah taghut. Tiba-tiba beberapa ekor anai-anai datang dengan menghujum PAS tanpa membaca sejarahnya terlebih dahulu.

Golongan anai-anai ini mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang berpegang dengan manhaj Ikhwanul Muslimin, tetapi mereka mengatakan bahawa perjuangan PAS di dalam arena politik adalah tak betul. Sedangkan Ikhwanul Muslimin juga sebuah Parti Politik di Mesir.

Maka, benarlah apa yang disebut oleh Imam Hassan al Banna :

Inilah politik kami dan kami tidak ada pilihan lain. Oleh itu ketengahkanlah politik ini dan ajaklah orang lain berlandaskan politik ini nescaya kamu akan beroleh kemuliaan di akhirat. Kamu pasti akan memahaminya bila sampai masanya. (Majmu' Rasa'il)


Politik Jatuh Menjatuh?

Selain daripada itu, PAS juga dituduh suka jatuh menjatuh sesama Melayu? Imam Hassan al Banna telah menyebut :

Budaya berpuak dan berparti

Jika patriotisme yang mereka maksudkan ialah memecah belahkan ummah ini kepada beberapa puak yang saling bertelagah, saling berhasad dengki, saling caci-mencaci, saling tuduh-menuduh dan saling dendam-mendendam, bersatu dan berpecah berlandaskan fahaman ciptaan manusia yang didorong oleh hawa nafsu, diatur oleh matlamat yang berbeza, digerakkan oleh fahaman yang hanya berlandaskan kepentingan peribadi. Dalam masa yang sama pihak musuh mengambil kesempatan dengan menyemarakkan lagi api permusuhan. Musuh memecah belahkan mereka dalam perkara yang sepatutnya mereka bersatu dan menyatu padukan mereka dalam perkara yang tidak betul. Musuh akan menghalang mereka daripada saling berhubung dan bekerjasama. Sebaliknya musuh mahu mereka hanya berhubung dan berpaut padanya. Dengan ini mereka akan sentiasa bertandang ke negara musuh dan akan sentiasa berhimpun di tempat musuh. Patriotisme seperti ini adalah karut dan tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada para pendokong dan juga orang ramai.

Dengan ini anda dapat saksikan sendiri kita sependapat bersama pendokong patriotisme. Malah kita juga turut bersama golongan fanatik patriotisme dalam mendokong semua nilai baik yang dapat membawa kebaikan kepada negara dan manusia. Anda juga dapat saksikan bagaimana seluruh nilai patriotisme tidak lain hanyalah sebahagian daripada ajaran Islam. (Majmu’ Rasa’il)

Perkara ini perlu difahami dengan baik. PAS pernah bersama UMNO satu ketika dahulu, atas dasar untuk tanahair (patriotisme). Tetapi, UMNO telah menyingkirkan PAS dengan menggunakan alasan “krisis dalaman”.

1973 PAS Bersama UMNO Atas Dasar Patriotisme, Hasilnya?

Saya menukilkan apa yang telah disebut di dalam kertas kerja yang bertajuk Dewan Pemuda PAS : Tokoh dan Gerakan, karangan Mohd Fadli Ghani :

Di Malaysia, perkembangan politik selepas 13 Mei 1969 telah mendsak PAS menyertai Kerajaan Campuran pada 1973. Dewan Pemuda PAS yang pada awalnya menolak pembentukan Kerajaan Campuran ini kemudiannya telah berjaya memanfaatkan kedudukan PAS dalam kerajaan untuk menyemarakkan lagi kebangkitan Islam.....(diringkaskan)

Melalui penyertaan beberapa pimpinan Dewan Pemuda PAS sebagai menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, exco negeri, Ahli Parlimen, Adun, ahli lembaga pengarah badan-badan kerajaan dan sebagainya, pelbagai program penerapan nilai-nilai Islam berjaya dilaksanakan. PAS telah berjaya memperkenalkan kesenian Islam, menghapuskan arak dalam majlis-majlis rasmi kerajaan, menghapuskan tempat minum arak (bar) di Parlimen dan memperkenalkan kuliah agama di jabatan-jabatan kerajaan. Badan dakwah seperti YADIM dan PERKIM digerakkan, tentangan terhadap arak, perjudian dan filem lucah ditingkatkan, mengadakan seruan-seruan Islam kepada kakitangan kerajaan, meningkatkan prasarana pendidikan Islam, menggesa rakyat bersemangat al Quran, menanamkan semangat tauhid dan keimanan sebagai asas disiplin anggota tentera serta menambahkan rancangan bercorak Islam di radio dan televisyen. Maktab Perguruan Islam dan Bank Islam juga wujud di atas cadangan PAS. Perkembangan ini merupakan fasa pertama penerapan nilai-nilai Islam dalam kerajaan.

................................... (diringkaskan)... Setahun kemudian (1975), Ustaz Amaluddin Darus pula memisahkan dirinya daripada PAS dan mengasaskan parti Ikatan Melayu Insaf Malaysia (IMAM). Bertolak dari “power game” ini juga, PAS telah berpecah lagi pada 1977 apabila kumpulan yang menyokong Datuk Mohammad Nasir menubuhkan Barisan Jamaah Islamiah Malaysia BARJASA) untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan dengan sokongan UMNO. Akhirnya setelah PAS dibuang daripada Barisan Nasional pada 1977, PAS telah kehilangan Kelantan dalam Pilihanraya Umum 1978.

Adakah sejarah ini akan berulang pada tahun ini dengan kewujudan anai-anai dalam PAS? Pada hari ini, anai-anai ini pula yang mendakwa bahawa PAS sibuk dengan politik kotor.. berpecah belah sesama Melayu .. dan sebagainya. Adakah golongan anai-anai ini tidak membaca sejarah?

PAS Menjatuhkan Sekularisme

Sekularisme di Malaysia tak perlu dihurai begitu panjang. Cuma, ingin saya tekankan bahawa PAS bukanlah mengajar untuk menjatuhkan itu menjatuhkan ini dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya PAS menjatuhkan pemerintahan taghut, yang jelas bertentangan dengan syariat. Pemerintahan ini berslogankan kepada semangat kebangsaan (nasionalisme) sehingga menindas hak bangsa lain untuk wujud di bumi Malaysia.

Insya Allah, dalam menjelaskan tentang nasionalisme ini, telah saya terangkan di dalam artikel lalu “Perjuangan Memartabatkan Bangsa Versi isma”, dan insya Allah di dalam artikel akan datang, ulasan terhadap kenyataan Presiden isma dalam KOBANNA.

Persoalan saya, adakah menjatuhkan sekularisme itu dianggap sebagai “tidak berpatutan”? Adakah memperjuangkan kesejagatan bangsa-bangsa dianggap menghina bangsa sendiri? Adakah memperjuangkan hak dikatakan sebagai “menghina bangsa sendiri dan mengangkat bangsa lain”? Inilah persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh kelompok anai-anai ini.

Hari ini, Golongan Sekularisme ini sedang menjahanamkan Malaysia satu persatu melalui medium sebagai pemerintah dan politik. Adakah kita membiarkan mereka merosakkan Malaysia? Disebabkan kecintaan kita kepada tanahair inilah, kita sama-sama berganding bahu dengan semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, untuk menyelamatkan tanahair ini.

Imam Hassan al Banna berkata :

Jika patriotisme yang dimaksudkan oleh para pejuang patriotisme ialah cintakan tanahair, rasa kasih dan rasa rindu atau seumpamanya, perasaan ini sememangnya sedia tertanam dalam fitrah manusia dan bertepatan dengan perintah Islam. (Majmu’ Rasa’il)


Golongan anai-anai sering menyalahanggap usaha PAS untuk menyelamatkan negara. Mereka menganggap PAS memang suka jatuh menjatuhkan sesama bangsa? Eh, salahkah menjatuhkan orang yang menggelapkan duit negara berjuta-juta? Salahkah kita menjatuhkan orang yang mempersilakan maksiat berleluasa di Malaysia? Salahkah kita menjatuhkan pemerintah yang berusaha merosakkan pemikiran orang-orang Islam?


No comments:

Post a Comment