Perang Uhud berlaku pada 17 Syawal, 3 Hijrah. Ia berpunca daripada   dendam pihak Quraisy Mekah terhadap kekalahan mereka di Perang Badar,   Sariyyah Zaid bin Harithah dan beberapa peristiwa lagi, yang menyebabkan   banyak kerugian yang dialami oleh mereka, dan terbunuhnya beberapa   orang kenamaan di kalangan mereka.
Untuk melancarkan  perang  kepada umat Islam di Madinah, mereka telah membuat tawaran  kepada  puak-puak lain seperti Habsyah, Kinanah dan Tihamah, dengan  menawarkan  sejumlah wang. Mereka juga sanggup mengeluarkan kos yang  tinggi untuk  membantu dalam peperangan terhadap umat Islam ini.  Antaranya mereka  menjual 1000 ekor unta dan 50 000 dinar.
Tentera  Quraisy  mengumpulkan sebanyak 3000 orang dari kalangan mereka,  orang-orang  Habsyah, dan lain-lain. Mereka menggunakan 3000 ekor untuk  sebagai  pengangkutan logistik, 200 ekor kuda tempur dan 700 baju besi.
Abbas   bin Abd Muthalib menghantar utusan kepada Rasulullah tentang hal   tersebut. Utusan tersebut bergerak pantas ke Madinah sehingga dapat   sampai ke sana dalam masa 3 hari, sedangkan jaraknya ialah 500 km.   Setelah berita tersebut sampai, umat Islam berada dalam keadaan berjaga   dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan.
Dalam pada  itu, Nabi  SAW mengadakan mesyuarat tergempar bersama majlis tertinggi  untuk  membincangkan strategi tersebut. Ahli mesyuarat bersetuju untuk   mengadakan pertempuran di luar Madinah, iaitu Uhud. Sementara tentera   Islam, sedang bersiap sedia dengan kelengkapan yang ada.
Tentera   Islam seramai 1000 orang, 400 daripadanya berbaju besi, dan 50   menggunakan kuda tempur. Tentera Islam mulakan perjalanan dan bermalam   di antara Uhud dan Madinah. Seramai 50 orang diminta berkawal yang   diketuai oleh Muhammad bin Maslamah al Ansari yang merupakan pahlawan   handal, dan juga pengawal peribadi Baginda SAW.
Keesokan  paginya,  mereka meneruskan perjalanan sehinggalah mereka bertemu dengan  musuh.  Ketika itu, Abdullah bin Ubay berpaling tadah, lalu menarik  kira-kira  300 orang dari kalangan mereka, supaya tidak turut berperang.  Bani  Harithah mula merasa lemah semangat dengan tindakan itu. Tetapi  umat  Islam yang lain masih teguh untuk terus berperang dengan bilangan   sekitar 700 orang sahaja.
Seramai 700 orang, tentera  Islam  menggunakan jalan pintas menuju ke Bukit Uhud dengan melalui  kebun dan  lembah. Sehinggalah mereka menghadap Madinah, dan Quraisy  terkepung di  antara Madinah dan tentera Islam. Seramai 50 orang telah  ditugaskan  sebagai pemanah, yang berada di atas Bukit Uhud, untuk  menutup laluan  yang membolehkan tentera Islam diserang dari belakang.
Peperangan   tercetus disebabkan cabaran Talhah bin Abi Talhah yang merupakan   “Kambing Jantan” tentera Quraisy dan juga pemegang panji mereka.   Akhirnya dia dibunuh, dan digantikan beberapa kali. Malangnya, kesemua   yang menyambar panji tersebut dibunuh.
Maka, tercetuslah   peperangan yang sengit di antara kedua-dua pasukan. 700 tentera Islam   telah menyebabkan tentera Musyrikin kucar-kacir, dan mereka   hampir-hampir kalah. Sehinggakah mereka lari meninggalkan pertempuran.   Setelah itu, pasukan pemanah sebanyak 50 orang tadi, mula meninggalkan   posisi mereka disebabkan ingin mengaut harta rampasan perang.
Tetapi   yang masih tidak berganjak hanya 9 orang sahaja. Ini membolehkan  Khalid  al Walid yang berada di bahagian belakang, membuat serangan. Ini  kerana  mereka tidak dapat melakukannya sebelum itu disebabkan serangan  balas  pasukan pemanah. Pasukan berkuda ini berjaya membunuh 9 orang  pasukan  pemanah yang berbaki, dan menyerang tentera Islam dari  belakang.
Maka,  tentera Islam berkecamuk apabila  mendengar seruan musuh daripada  belakang, sehinggakan mereka tidak  dapat membezakan antara musuh dan  kawan yang berada di lapisan  belakang. Nabi SAW yang berada di belakang  terdedah dengan serangan,  dan seramai 9 orang bersama Baginda SAW ketika  itu.
Dalam  masa yang sama, tentera Musyrikin yang sudah  bertempiaran tadi,  kembali ke tempat asal apabila mendapati tentera  Islam diserang  daripada belakang oleh tentera berkuda. Mereka kembali  mendapatkan  panji mereka, dan melancarkan serangan semula. Ketika inilah  tentera  Islam berpecah, dan tidak tentu arah, melainkan beberapa orang  yang  berbaki.
Apabila mendapat tahu keselamatan Baginda SAW   terdedah, beberapa sahabat Baginda SAW yang berada di barisan hadapan,   segera berundur mendapatkan Baginda SAW. Orang yang paling awal sampai   kepada Baginda SAW ialah Saidina Abu Bakar RA. 9 orang yang bersama   Baginda SAW telah dibunuh 7 orang daripadanya. 2 orang yang berbaki   tersebut ialah Talhah bin Ubaidillah dan Saad bin Abi Waqas.
Beberapa   orang lagi tiba mendapatkan Baginda SAW. Mus’ab bin Umair yang   mempunyai rupa paras seperti Baginda SAW, datang mempertahankan Baginda   SAW. Ketika itu beliau memegang panji tentera Islam. Ibnu Qam’ah datang   membunuh beliau, dan disangkanya dia telah berjaya membunuh Baginda  SAW.
Lalu,  dia pun menghebohkan kepada orang ramai bahawa  Baginda SAW telah  berjaya dibunuh. Tentera Islam yang sudah berpecah,  kembali tidak  bersemangat. Namun, disebabkan kata-kata semangat  beberapa orang, mereka  kembali bangun, dan meneruskan peperangan.
Setelah  beberapa  orang mendapatkan Baginda SAW, Baginda SAW menyusun strategi  supaya  kembali berundur ke Bukit Uhud. Nabi SAW meluru ke arah tentera   Musyrikin bersama tentera Islam yang lain, sehinggalah mereka berjaya   menembusi barisan tentera Musyrikin yang sudah menyangkan Nabi SAW sudah   dibunuh.
Setelah mereka berjaya berada di Bukit Uhud,  tentera  Musyrikin masih lagi ingin membuat serangan. Namun, usaha  mereka telah  digagalkan oleh tentera Islam yang berbaki. Abu Sufyan  yang pada mulanya  menyangka bahawa Nabi SAW sudah dibunuh, akhirnya  sedar bahawa Baginda  SAW masih hidup ketika itu.
Setelah  gagal membuat serangan kepada  umat Islam yang berbaki, yang berada di  atas bukit, akhirnya mereka  beransur pulang. Setelah itu, para Syuhada’  dikumpulkan dan peperangan  ini menyaksikan kematian yang besar.  Syuhada dari kalangan Muhajirin  seramai 4 orang, 65 orang dari kalangan  Ansar, dan seorang Yahudi yang  mengetahui kewajipan melindungi  Rasulullah berdasarkan perjanjian yang  telah dibuat sebelum ini.

No comments:
Post a Comment