Firman Allah dalam ayat berikut:
وَلَوْ   شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلا يَزَالُونَ   مُخْتَلِفِينَ (١١٨)إِلا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ   وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لأمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ   وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ (١١٩)
Dan   kalaulah Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia   semuanya umat yang satu. Tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat.   Kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan untuk   itulah Allah menciptakan manusia. (  Hud 11:118-119.)
Ketika Rasulullah SAW masih hidup lagi  telah berlaku perselisihan pendapat di kalangan para sahabat iaitu   peristiwa ketika mana Rasulullah SAW mengirimkan tentera untuk menyerang   Bani Quraizah, Baginda berpesan:
“Sesiapa  yang  beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia bersolat  Asar  melainkan apabila sampai di kawasan Bani Quraizah”.
Kisah   perbezaan pendapat para sahabat r.a. dalam menafsirkan dan  melaksanakan  arahan Rasulullah SAW ini masyur di dalam kitab-kitab  hadis, perbezaan  pendapat tersebut iaitu ada yang solat asar sebelum sampai di kawasan Bani Quraizah kerana sudah masuk   waktu asar manakala sahabat lain menunaikan solat asar apabila sampai   di kawasan Bani Quraizah sepertimana pesanan Rasulullah SAW walaupun hampir luput waktu asar. Kedua-dua ijtihad para sahabat yang berbeza itu tetap diakui kebenarannya oleh Rasulullah SAW. Begitu juga berkenaan perselisihan terhadap tawanan perang badar dan sebagainya.
Demikian juga selepas wafat baginda SAW,   para sahabat Baginda SAW berselisih pendapat pada persoalan-persoalan   furu’iyah. Tetapi perselisihan itu tidaklah membawa perpecahan hati,   mengutuk, bermusuhan atau salah menyalahkan antara satu sama lain.
Pada zaman tabii’n Imam Az Zahabi menceritakan dalam kitabnya daripada Yunus As Sadafi katanya:
“   Aku belum pernah melihat orang yang berakal tinggi lebih dari Imam   Syafie. Aku pernah bermujadalah dengannya mengenai satu masalah,   kemudian kamipun berpisah dan tak lama selepas itu kami bertemu semula,   lalu dia memegang tanganku, seraya berkata : “ Kita tetap bersaudara   mara, walaupun kita tidak bersetuju di dalam sesuatu masalah”.
Imam   Ahmad bin Hanbal pernah berselisih pendapat dengan gurunya, Ishak b.   Rahawaih, namun sedikitpun tidak menghalangnya daripada memuliakan dan   menghormati gurunya itu.
Khilaf/perselisihan  pendapat di  dalam masalah feqah merupakan perkara biasa kerana tuntunan  keadaan,  masa dan situasi yang dituntut mengikut keupayaan yang menjadi  rahmat  dan kemudahan kepada umat Islam. Salah satu contoh ialah  berkaitan  permasalahan batal wudhu’, persentuhan lelaki dan perempuan  ketika  mengerjakan tawaf dan haji yang bersesakan lelaki perempuan.  Dalam  keadaan ini muslim dituntut mengikut imam mazhab yang berdalilkan   persentuhan lelaki dan perempuan yang mendatangkan syahwat sahaja yang   membatalkan wudhu’ sebagai rahmat dan kemudahan daripada Allah SWT.   Begitu juga dalam hal-hal lain mengikut situasi dan tuntunan keadaan   yang dibenarkan syarak.
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya : “ Bersabda Rasulullah SAW:
“Apa   sahaja yang didatangkan kepada kamu daripada kitab Allah(Al-Quran),   maka beramal dengannya wajib, tidak ada keuzuran bagi seseorang untuk   meninggalkannya. Sekiranya tidak terdapat di dalam kitab   Allah(Al-Quran), maka hendaklah beramal dengan sunnahku, Sekiranya tidak   terdapat di dalam sunnahku, maka hendaklah kamu berpegang dengan   pandangan(ijtihad) para sahabatku. Sesungguhnya para sahabatku umpama   bintang-bintang di langit, mana-mana sahaja kamu ambil (untuk dijadikan   pedoman), kamu akan dapat petunjuk dan perselisihan sahabatku adalah   rahmat bagi kamu”. 
(Imam Al-Baihaqi: Sunan Kubra),
Abu   Nuai’m, di dalam kitab hilyatul auliya’daripada Abdullah b Abdul Hakam   katanya: Aku pernah mendengar Imam Malik b Anas berkata:
“   Harun Ar Rasyid pernah berbincang denganku untuk menggantungkan kitab   Al Muwattha’ di kaabah dan memaksa manusia menerima isi kandungannya”.   Maka aku memprotes: “Jangan buat begitu, sesungguhnya para sahabat   Rasulullah SAW  telah berselisih pendapat dan  mereka bertebaran di  merata negeri. Setiap mereka adalah benar”. Maka  berkata Harun Ar  Rasyid: “ Semoga Allah sentiasa memberi taufik  kepadamu, wahai Abi  Abdillah”.
Juga  Ibnu Saad meriwayatkan dariapada  Al Waqidi melalui kitab Tabaqat Kubra  memberi maksud yang sama  sepertimana di atas iaitu permintaan  khalifah Al Mansur terhadap Imam  Malik B Anas.
Allah SWT berfirman :
“Allah SWT menghendaki untuk kamu kemudahan”. (Al Baqarah: 185)
 “Allah SWT tidak menjadikan kesusahan ke atas kamu dalam agama”. ( Al Haj: 78)
Rasulullah SAW bersabda :
“ Aku diutuskan dengan membawa agama yang mudah lagi bertolak ansur”.
 Ringkasan petikan :
 Rahmat Allah di sebalik perbezaan Mazhab
 Al Hafiz imam Jalaluddin As sayuti
 Terjemahan : Ustaz Muhammad Fadli Ismail

No comments:
Post a Comment