Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, January 2, 2013

Gelagat ketika memperolehi result peperiksaan??



بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
أما بعد

السلام عليكم ورحمة اللهِ وبركاته

20 Safar 1434 bersamaan 2 Januari 2013


Alhamdulillah.. Bersyukur kehadrat Allah swt atas limpah dan kurnianya masih lagi kita hidup di atas dunia ini dan dapat melangkah ke tahun baru. Bersyukur juga atas limpah dan karunia daripada Allah swt masih lagi kita dapat mengecapi dua nimat terbesar iaitu nikmat iman dan Islam. Tidak lupa. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita baginda Rasulullah saw kerana atas usaha gigih Baginda dan para sahabatlah baru kita dapat mengecapi nikmat berada di dalam Islam. Selamat tahun baru, selamat memasuki alam persekolahan dan selamat menduduki peperiksaan kepada semua sahabat yang dikasihi.

Baiklah.. Walaupun masih dalam musim peperiksaan tapi saya nak berkongsi pasal gelagat kita selepas memperoleh result exam pada penulisan kali ini.

Gelagat apabila lulus dengan cemerlang.

Si A : Wah!! Powernye ko dapat A dalam subjek ni.. Susah kot nak score subjek ni.
Si B : Tengok orang la.. Aku study 4 jam sehari bla bla bla.. Aku fokus dalam kelas bla bla bla... =D

Gelagat apabila gagal dengan cemerlang...

Si A : Ko fail ke exam yang lepas??
Si B : Ha ah... Fail... Nak buat mcm mana Allah dh bagi setakat tu je... Dah takdir nak fail maka fail lah.. :'(

~Amboi3!! Bila lulus dengan cemerlang rasa bangga diri, anggap mcm sbb lulus tu kerana usaha sendiri.. Tapi bila fail nak salahkan takdir plak.. Nak salahkan Allah lah tu...

Tapi jarang sekali kita melihat gelagat seperti ini...

Gelagat ketika lulus dengan cemerlang.

Si A : Pandainya ko dapat score A subjek ni.
Si B : Alhamdulillah haza min fadhli rabbik. Semua nikmat ni datangnya dari rahmat Allah... Aku cuma mampu berusaha tapi untuk lulus ni dan score A ni adalah pemberian daripada Allah...^_^

Dan bila fail...

Si A : Ko fail ke subjek ni?
Si B : Ha ah.. Fail... Nak buat mcm mana usaha aku masih belum cukup...

~Haa... mcm ni baru betul.. Allah swt berfirman :

مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ

Maksudnya : Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, Maka dari (kesalahan) dirimu sendiri. 
(An-Nisa' : 79)

Kepada sahabat-sahabat semua semoga berjaya dalam exam yang akan dilalui. Tapi ingatlah dalam kita exam jangan kita lupa untuk menjaga hak2 Allah swt yang telah dituntut ke atas diri kita.. Moga2 keberkatan ada di situ..

احفظ الله يحفظك ، احفظ الله تجده تجاهك

Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul...
Wallahua'lam bis shawab...

Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.

Wednesday, October 3, 2012

Letih Berdakwah Dan Berjuang??



بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
أما بعد

السلام عليكم ورحمة اللهِ وبركاته

18 Dzu al-Qa'idah 1433 bersamaan 4 Oktober 2012


Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi atas limpah dan kurnianya masih lagi diberikan kesempatan kepada kita untuk hidup di dunia ini dan masih lagi diberikan peluang untuk kita bertaubat atas dosa-dosa yang telah kita lakukan dan menyemai benih iman dan takwa untuk menjadi bekalan di akhirat kelak.

Walaupun dengan keadaan yang tidak berapa sihat dan juga kesibukkan dalam menghadapi PRK ulangan di UIA, hati ini begitu tergerak untuk menulis dan akhirnya Alhamdulillah diberikan kesempatan ini untuk berkongsi sedikit nasihat dan juga mutiara-mutiara hikmah yang diilhamkan kepada hamba yang hina ini.

Persoalan Yang Biasa Hadir Dalam Diri Pendakwah

Ketika menghadapi saat yang begitu padat dengan segala gerak kerja yang perlu dilakukan kadang-kadang terkeluar di dalam onak fikiran kita sesuatu yang mampu menjatuhkan semangat dakwah di dalam diri setiap pejuang.

“Kenapa aku je yang kene buat semua kerja dan orang lain mampu bersenang lenang?” 
 “Kenapa aku je yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan gerak kerja dakwah sedangkan orang lain yang bersama aku boleh berehat dan bersuka ria?” 
 “Kenapa jemaah terlalu mengharapkan aku dan memberikan banyak kerja kepada aku sedangkan ada lagi orang lain yang lebih senang dan lebih baik berbanding aku?”

Inilah antara persoalan-persoalan dan keluhan-keluhan yang sering muncul menemani kita ketika kita di dalam keletihan dan kepenatan dalam melaksanakan gerak kerja dakwah. Dan kerana bisikan-bisikan daripada syaitan inilah yang akhirnya membuatkan seseorang itu semakin jauh dan lari dari jemaah dan agenda-agenda dakwah.

Berjuang Tak Pernah Senang

Ingatlah di dalam perjuangan tidak ada erti kesenangan, tidak akan dibentangkan dengan permaidani merah dan tidak juga dikalungkan dengan kalungan bunga tanda dihormati dan disanjungi. Jika nama, harta dan pangkat yang dicari, maka ini bukan jalan buat golongan-golongan seperti ini. 

Tapi orang yang berjuang atas jalan Islam ini pasti akan dibentangkan dengan onak dan ranjau yang berduri, mehnah dan tribulasi menjadi makanan seharian juga cabaran dan dugaan datang silih berganti. Pasti akan ada musuh di kiri, kanan, depan dan belakang yang cuba menyerang dan cuba menjatuhkan dakwah Islam.

Hal ini dibuktikan di sepanjang zaman bahawa setiap yang berjuang untuk menaikkan syiar Islam tidak pernah akan senang. Lihat sahaja Rasulullah saw ketika mana Baginda membawa Islam. Baginda di caci, dihina malah disakiti oleh kafir Quraisy semata-mata ingin menyelamatkan manusia dari jahiliyyah. Sedangkan Baginda Rasulullah saw yang dikasihi oleh Allah swt itu menerima ujian yang begitu kuat tapi datangnya giliran kita inginkan perjuangan yang senang dan mudah? 

Malah adalah sesuatu yang amat melucukan jika ada sesetengah pihak yang dikatakan ingin memperjuangkan Islam tidak pernah menerima sebarang ancaman dan kecaman dari pihak yang ingin melihat kejatuhan Islam. Malah tidak terlalu keterlaluan jika mengatakan mereka-mereka yang ingin berjuang menaikkan syiar Islam tapi tidak mahu dihujani dengan mehnah dan tribulasi adalah mereka yang retorik semata-mata. Kerana sunnatullah orang yang berjuang tidak akan terlepas dari dugaan dan ujian. Hal ini disebutkan oleh Allah swt :

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين

Ertinya : Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]

Kelebihan Mereka Yang Berjihad Untuk Menaikkan Syiar Islam

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Tidak mungkin susah-payah dan kepenatan kita bekerja untuk menaikkan agama yang diredhai Allah ini tidak memberi sebarang nilai kepada diri kita. Sedangkan kesusahan dan kepayahan yang Allah datangkan kepada para pejuang agamaNya adalah untuk memberi nilaian dan ganjaran yang tidak terhingga kepada kita. Allah telah berfirman :

وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Ertinya : Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta. 
[Al-Ankabut : 6]

Ketahuilah kita berjihad untuk kepentingan diri kita sendiri. Allah sekali-kali tidak memerlukan kita untuk berjihad dan berjuang untuk menaikkan agamanya tapi kitalah yang mengharapkan kepada Allah swt untuk mendapat kelebihan di sisi Allah dengan berjihad menegakkan agama yang diredhai Nya, iaitu Islam.

Orang yang berjihad dan berjuang di jalan Allah sebenarnya sedang melakukan proses jual beli dengan Allah swt. Allah swt berfirman :

إنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللّهِ فَاسْتَبْشِرُواْ بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. [At-Taubah : 111]

Maka hendaklah kita ketahui bahawa kita sedang menempah sesuatu yang sangat besar dengan berjuang di jalan Allah. Kita hanya perlu modal tenaga dan harta untuk menaikkan syiar Islam dan sebagai ganjarannya Allah memberika syurga kepada mereka yang berjihad di jalanNya. Siapa yang tidak mahu akan syurga Allah swt? Malah mereka yang berjihad dan berjuang di jalan Allah dengan bersungguh-sungguh akan dilepaskan dari neraka Allah swt. Firman Allah swt di dalam surah as-saff ayat 10 :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? [As-saff : 10]

Dan Allah melanjutkan pada ayat berikutnya dengan menerangkan perniagaan yang bagaimanakah yang dijanjikan dengan kelepasan daripada seksaan neraka yang amat pedih.



تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ


Ertinya : Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[As-Saff : 11]

Begitulah besarnya ganjaran yang disediakan kepada orang yang beriman dan berjuang serta berjihad di jalan Allah atas dasar keimanannya. Jadi apakah satu kerugian kepada kita jika diberikan sesuatu kerja yang mampu menaikkan syiar Islam? Jawapannya sudah tentu TIDAK. Malah kita beruntung jika hendak dibandingkan mereka-mereka yang hanya BERMAIN-MAIN atas nama perjuangan. Sebab segala kesusahan dan kepayahan yang kita lalui pasti akan diberi ganjaran. Ingatlah Allah tidak memerlukan kita untuk menaikkan agamaNya tapi kitalah sebenarnya yang memerlukan pertongan daripada Allah dengan menolong menegakkan agamaNya di muka bumi ini.

Akhirul Kalam,

Saya ingin berkongsi sedikit motivasi yang telah Allah turunkan buat para pejuang yang berjuang di jalanNya. Antara kata-kata semangat ialah di dalam surah al-Ahzab ayat ke 23:


 مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُواْ مَا عَاهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُواْ تَبْدِيلاً


Ertinya : Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. [Surah al-Ahzab : 23]

Ayat selepas itu memberikan gambaran kepada kita bahawa jika kita benar dalam perjanjian untuk menaikkan syiar Islam maka Allah akan membalas keikhlasan kita dalam berjuang.

لِيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِن شَاء أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Ertinya : Supaya Allah membalas orang yang benar kerana kebenaran mereka, dan menyeksa orang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah al-Ahzab : 24]

Selain itu, Allah memberi motivasi kepada kita dengan memberitahu bahawa orang yang beriman mempunyai darjat yang tertinggi. Maka kerja buat kita dalam mempertahankan syiar Islam adalah kerja yang tidak akan rugi dan tidak akan kalah. Sebab kekalahan yang sebenar ialah apabila kita menurut nafsu kita dan lari dari medan perjuangan maka saat itu kita sudah pun kalah. Ini dinyatakan di dalam surah Ali Imran :

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَانْتُمْ الْاعْلَوْنَ اِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Ertinya : Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang yang tertinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman. [Surah Ali Imran : 139]

Dan datang selepasnya ayat yang berikut :

وَكَايِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا اصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّبِرِينَ

Ertinya : Dan beberapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang yang sabar. [Surah Ali Imran : 146]


Ingatlah wahai pejuang, apabila kita berjuang menegakkan agama Allah maka sesungguhnya pertolongan Allah bersama dengan kita. Dan siapakah sebaik-baik penolong selain daripada Allah swt? Jika kita mengetahui hakikat ini pasti kita semakin hari semakin kuat berjuang tidak kira di dalam keadaan senang ataupun susah kerana mendambakan pertolongan Allah swt.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Ertinya : Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu. [Muhammad : 7]

Akhirnya marilah kita menghayati satu kata-kata khas buat pemuda yang dipetik di dalam buku Jalan Dakwah antara Qiyadah dan Jundiyah karangan As-syeikh Mustafa Masyhur :

"Wahai pemuda!! Sesungguhnya berhasil sesuatu fikrah itu apabila kuat keimanan terhadapnya dan mempunyai keikhlasan pada jalannya. Hampir empat rukun ini –iman, ikhlas, semangat dan kerja- menjadi ciri pemuda, kerana asas iman adalah hati yang bersih, asas ikhlas ialah ialah jiwa yang bersih, asas semangat ialah perasaan yang kuat dan asas kerja ialah keazaman yang kuat. Semua perkara ini tidak ada kecuali pada pemuda. Di sinilah maka pemuda dahulu dan kini merupakan tiang kebangkitan setiap umat serta rahsia kekuatan dalam setiap kebangkitannya dan dalam setiap yang diangkat benderanya. Sesungguhnya mereka sekumpulan pemuda yang beriman dengan Tuhannya, lalu kami tambahkan untuk mereka petunjuk."


Anak muda dan remaja
Warga pewaris dunia
Hargai jasa yang tua
Teruskanlah perjuangannya

Memang payah
Untuk membentuk hidup yang sempurna
Akan mudah jika kita berusaha
Demi kejayaan bersama


Allahua’lam.

Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.


Friday, August 24, 2012

Wanita Hiasan Dunia...




بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
أما بعد

السلام عليكم ورحمة اللهِ وبركاته

7 Syawal 1433 bersamaan 25 Ogos 2012

[Luahan Hati]

Wanita yang tak bertudung memang Nampak CANTIK, tapi kalau bertudung lagi CANTIK...

Walaupun wanita yang dah bertudung Nampak sangat CANTIK, tapi kalau pakai tudung labuh lagi bertambah keCANTIKkan mereka...

Tapi...

Wanita yang melabuhkan tudungnya memang Nampak sangat CANTIK, tapi kalau mereka mengenakan purdah pasti akan menyerlahkan lagi keCANTIKkan mereka malah keayuannya tiada tolok bandingnya...

Jadi benarlah sabda Rasulullah saw :


Mafhumnya : Dari Abdullah bin ‘Amr radiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shalallahu ‘alaihiwassalam bersabda  : “Dunia ini adalah perhiasan/kesenangan dan sebaik-baik perhiasan/kesenangan dunia adalah wanita yang solehah.” 
(Hadis Riwayat Muslim, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

~Sejuk je memandang wanita-wanita yang berpurdah. Harap2nya kecantikkan luaran itu adalah menifestasi dari kecantikkan hati2 mereka. Maka beruntunglah sesiapa yang mampu memiliki mereka...^_^

Allahua’lam.
Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.


Wednesday, August 22, 2012

Menipu Status Diri Di Laman Sosial?


بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
أما بعد

السلام عليكم ورحمة اللهِ وبركاته

4 Syawal 1433 bersamaan 22 Ogos 2012

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya yang tidak terhingga kerana masih lagi dikurniakan pinjaman nyawa kepada kita untuk terus hidup pada hari ini dan mampu untuk menghabiskan bulan Ramadhan serta masih berpeluang untuk menyambut Hari Raya Fitrah pada tahun ini. Bersyukur juga kita kepada Allah swt kerana masih lagi kita hidup di atas dua nikmat terbesarNya iaitu nikmat Iman dan Islam. 

Rasanya bagaikan sekejap sahaja masa berlalu, Ramadhan sudah pun pergi meninggalkan kita, dan hari ini sudah pun memasuki 4 Syawal. Rasanya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.

InsyaAllah dikesempatan ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu bersama sahabat-sahabat sekalian. Dan andai kata ada di dalam tulisan saya kali ini yang menyinggung hati sahabat-sahabat pembaca sekalian saya dahulukan dengan ucapan maaf. Dan andai kata ada yang tersilap, jangan segan silu untuk menegur. ^_^

Ketika sedang membaca status-status sahabat di faceboook pagi tadi terpandanglah satu status yang agak menarik. Statusnya berkenaan dia menukar status dirinya kepada "enganged" atau "tunang" semata-mata tidak mahu diburu dan melayan karenah lelaki yang mahu menguratnya.

Wah!!! Mungkin sahabat facebook saya ini terkenal dengan kecantikkannya sehingga ramai lelaki ingin mengurat dia. Takpe itu bukan topik utama yang ingin saya kongsikan...

[Jangan kita ingin menutup suatu kesalahan dengan kesalahan yang lain]

Kita perlu sedar bahawa di dalam kehidupan sebagai seorang Muslim kita tidak terlepas daripada hukum taklifi iaitu Harus, Sunat, Wajib, Makruh dan Haram. Jadi memang betul HARAM bagi seseorang wanita dan lelaki tidak menjaga muamalat sesama mereka walaupun di dalam alam maya. Dan juga umum mengetahui bahawa HARAM hukumnya bagi kita untuk berbohong atau menipu orang lain walaupun mengenai status diri kita.

الغاية لا تُبرر الوسيلة

Ertinya : ” Matlamat tidak menghalalkan cara”

Mungkin ada yang akan berkata bahawa ini adalah darurat. Maka kalau diikutkan, boleh melakukan perkara yang haram dalam keadaan darurat seperti kaedah :

الضرورات تبيح المحظورات
Ertinya : “keadaan terdesak (darurat) boleh mengharuskan yang haram”.

Lagipun niat baik untuk menghindarkan diri dari muamalat yang diharamkan. Bak kata Imam al-Alusi :


أن للوسائل حكم المقاصد

Ertinya : “Bagi hukum sesuatu jalan (cara), adalah mengikuti hukum objektif atau maqasidnya”


Jika dilihat dan diamati apa yang disebut oleh Imam al-Alusi ini ianya seolah-olah “matlamat menghalalkan cara”, kerana hukum jalan mengikuti objektif, jika objektifnya untuk sesuatu yang baik, maka jalannya juga turut diterima dan menjadi baik walaupun ia adalah cara yang haram. Betulkah begitu?

Disinilah kefahaman kita perlu diperbetulkan kerana kaedah keadaan terdesak (darurat) boleh mengharuskan yang haramsebenarnya ditujukan kepada mudharat yang begitu besar sehinggakan jika tidak dilakukan sesuatu mungkin ianya akan mengancam nyawa, akal, maruah dan agama kita. Tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan alasan darurat kepada semua perkara.

Begitu juga dengan kata-kata Imam al-Alusi : Bagi hukum sesuatu jalan (cara), adalah mengikuti hukum objektif atau maqasidnya” pula adalah ditujukan kepada matlamat yang ingin dicapai itu betul-betul besar.


الأمور بمقاصدها
Ertinya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat dan matlamat”.

Ini adalah kaedah feqah yang sangat mahsyur. Banyak sarjana feqah yang mengeluarkan hukum berdasarkan kaedah feqah di atas. Kaedah ini berdasarkan hadis sahih daripada Sayidina Umar Al-Khattab r.a.

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : ‘bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Hadis Shahih Riwayat Imam al-Bukhari no. 6553 dan Muslim no. 1907)


Selain itu disebut juga di dalam kitab Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, Ibnu Qudamah al-Maqdisi berkata :
“Ketahuilah bahawa amal perbuatan itu terbahagi kepada tiga jenis:

Pertama: Maksiat;

“ ia tidak berubah dengan berubahnya niat. Contohnya orang yang membina masjid dengan tujuan kebaikan, tetapi menggunakan wang haram. Sesungguhnya niat yang baik itu tidak memberi apa-apa kesan…”.

“…Sesungguhnya ketaatan itu boleh bertukar menjadi maksiat dengan sebab niat. Manakala maksiat tidak bertukar menjadi ketaatan dengan sebab niat”.

“Kedua: Ketaatan;

“ ia amat berkait rapat dengan niat, dalam konteks sah atau tidak sah di sisi Allah, juga dalam konteks menambah ganjaran dan kelebihannya…”

“…Ketiga: Perkara-perkara harus;

“Tiada satu perkara harus kecuali ia mempunyai satu niat atau beberapa niat…”


Jadi, melalui kata-kata Ibnu Qudamah al-Maqsidi itu jelas memberitahu bahawa walaupun niat kita baik untuk menghindarkan diri dari dosa atau untuk melakukan ketaatan, ianya bukanlah satu alasan untuk kita melakukannya dengan maksiat seperti menipu dan berbohong kepada orang lain tentang status diri kita. Sedangkan syarat amalan kita diterima bukan sahaja memerlukan niat yang ikhlas tetapi ianya juga dinilai melalui jalan atau perbuatan yang kita lakukan.
Contoh mudah, tidak boleh mencuri untuk menolong orang miskin jadi begitulah juga dengan situasi ini, tidak boleh berbohong untuk elak daripada diganggu oleh orang yang bukan mahram di dalam facebook. Ada banyak lagi cara yang lebih sesuai. Yang paling senang ialah dengan mengabaikan sahaja segala mesej yang diterima. Itu lebih baik jika dibandingkan dengan berbohong.
Allahua’lam.
Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.

Friday, July 20, 2012

3 Golongan Orang Yang Berpuasa



بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
أما بعد
Setelah lama tidak menulis, alhamdulillah akhirnya diberi juga kesempatan waktu dan juga kekuatan tubuh badan untuk berkongsi sedikit ilmu yang ada pada diri yang terlalu hina ini. Sebabnya sudah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk menyampaikan ilmu yang kita perolehi walaupun sedikit seperti mana sabda Rasulullah saw :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ.
Dari Abdullah bin 'Amr ra., dari Nabi saw, sabdanya: "Sampaikanlah (apa yang kamu dapat) dari ku walau satu ayat sekalipun; dan ceritakanlah (apa yang sampai kepada kamu) darihal Bani Israel dan (dalam pada itu) tidak ada salahnya (kalau kamu tidak ceritakan). Dan (ingatlah!) sesiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja,  maka hendaklah ia menyediakan tempatnya dalam neraka. 
[Hadith Riwayat Bukhari dan Tirmizi]
Sabda Rasulullah saw dalam riwayat yang lain seperti mana yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim :

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِيُبَلِّغ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ فَإِنَّ الشَّاهِدَ عَسَى أَنْ يُبَلِّغَ مَنْ هُوَ أَوْعَى لَهُ مِنْهُ.
Dari Abi Bakrah r.a., dari Nabi saw, sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir (mendengar hadis ku) menyampaikannya kepada orang-orang tidak hadir kerana sesungguhnya diharap orang yang disampaikan hadis itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham daripada yang menyampaikannya.
[Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]
Seperti yang kita tahu, puasa di bulan Ramadhan telah diwajibkan kepada kita sebagai umat Nabi Muhammad saw dan juga merupakan salah satu daripada rukun Islam. Firman Allah swt di dalam surah al-Baqarah ayat 183 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa”
Jadi insyaAllah pada malam 1 Ramadhan ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu saya mengenai tiga golongan orang yang berpuasa moga-moga member manfaat buat kita bersama.
3 Golongan Orang Yang Berpuasa
3 Kategori orang yang bepuasa yang telah dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali :

1)      Puasa Orang Awam

Puasa orang awam bermaksud orang yang berpuasa perut dan kemaluan sahaja. Tetapi mereka tidak menjaga pandangan, pendengaran, hati, kaki, tangan dan lidah mereka daripada perkara-perkara maksiat dan juga mungkar. Maka golongan ini sukar untuk mendapatkan taqwa kepada Allah sedangkan puasa yang disyariatkan oleh Allah swt adalah bertujuan untuk melatih diri kita supaya bertaqwa kepada Allah seperti mana dinyatakan dipenghujung ayat surah al-Baqarah ayat 183 di atas yang berbunyi “لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ” yang bermaksud “moga-moga kamu bertaqwa”.

Jadi sesiapa yang termasuk di dalam golongan ini hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja seperti mana sabda Rasulullah saw :
من لم يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ و الجهل فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ في أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ 

Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta, dan berbuat dusta, serta amal kebodohan,maka tiadalah Allah ingin melihat pada amalannya meninggalkan makan dan minumnya.

 [Hadith shahih riwayat Bukhari]

2)      Puasa Orang Khawas

Puasa orang khawas adalah peringkat pertengahan. Puasa orang khawas adalah puasa yang bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi mereka juga menjaga mata mereka daripada melihat perkara mungkar, menjaga lidah mereka daripada menuturkan perkara-perkara yang haram, menjaga kaki mereka daripada melangkah ke tempat-tempat maksiat dan menjaga seluruh pancaindera yang lain daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Inilah yang dimaksudkan puasa orang khawas.

Hal ini sesuai dengan sabda Rasulullah saw :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ الصِّيَامَ لَيْسَ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ فَقَطْ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغُوِ وَالرَّفَثِ فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهِلَ عَلَيْكَ فَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ 

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya puasa itu bukan menahan daripada makan dan minum saja, hanyalah puasa yang sebenarnya ialah menahan daripada ucapan sia-sia (lagha) dan lucah/ mencarut (rafath), maka apabila seseorang mencacimu atau berbuat sesuatu yang bodoh kepadamu katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.”  [Hadith shahih riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, dan Al-Hakim]

Puasa orang khawas ini lebih tinggi daripada puasa orang awam. Puasa orang khawas insyaAllah akan menjadi latihan untuk diri kita menjadi insan yang bertaqwa selepas melalui madrasah Ramadhan ini. Maka marilah kita mencuba dengan sebaik mungkin untuk mendapat puasa di dalam kategori ini.

3)      Puasa Orang Khassul / Khususul Khawas

Kategori ini adalah kategori yang paling tinggi dalam berpuasa. Inilah puasa puasa kalangan Nabi, as-Shiddiqin, orang soleh, para wali dan seumpamanya. Mereka bukan sahaja menjaga anggota zahir daripada melakukan maksiat dan boleh membatalkan puasa tetapi mereka juga menjaga anggota batin daripada melakukan perkara-perkara yang mungkar yang boleh menghilangkan pahala puasa.

Kategori ini agak sukar untuk dicapai oleh orang biasa seperti kita tetapi ianya juga bukanlah sesuatu yang mustahil. Sebab bila difikirkan kita mungkin boleh menjaga anggota zahir kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang mampu membatalkan puasa tetapi untuk menjaga hati kita supaya sentiasa ingat kepada Allah dan untuk menjaga hati kita daripada terbayang perkara-perkara yang sia-sia dan boleh mengurangkan pahala puasa adalah sesuatu yang sangat-sangat susah. Hanya mereka yang betul-betul menjaga hati mereka sahaja yang mampu sampai ke tahap ini.

Akhirul Kalam,

Marilah kita beribadat bersungguh-sungguh di dalam bulan yang di amalan digandakan dan untuk menampung kembali dosa-dosa yang telah kita lakukan selama 11 bulan yang lalu. Sabda Rasulullah saw :

"Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan ganjaran pahala, maka di ampunkan dosa-dosa yang lepas dan akan datang."

[Hadith Riwayat Imam Bukhari]

Dan marilah sama-sama kita menjadikan Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun yang lepas. Marilah kita sama-sama mengambil serius akan peringatan Rasulullah saw dengan sabdanya yang bermaksud :

 ''Ramai umat Islam berpuasa tetapi hasilnya ialah lapar dan dahaga sahajalah''.

[Hadith Riwayat Ibn Majah dan Nasai]

Moga-moga madrasah Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang terbaik di dalam kehidupan kita supaya kita menjadi hamba yang bertaqwa kepada Tuhannya kerana mungkin ini adalah Ramadhan yang terakhir buat diri kita dan menjadi bekalan buat diri kita ketika berada di Mahsyar kelak. Dan harapannya kita tergolong di dalam golongan yang mampu memasuki syurga melalui salah satu pintu yang khas buat golongan yang berpuasa yang bernama “al-Raiyyan” seperti sabda Rasulullah saw Sahal bin Sa'd :

Sesungguhnya dalam syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan al-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk nescaya ditutupnya.

[Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad]

Mungkin ramai yang sudah pun tahu tentang 3 golongan orang yang berpuasa ini. Jadi yang telah tahu diharapkan penulisan ini menjadi “tazkirah” atau peringatan kepada kita dan bagi yang mereka yang pertama kali membaca tentang hal ini boleh dijadikan ilmu yang baru buat kita semua.
Allahu A’lam.

Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.