Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, October 3, 2012

Letih Berdakwah Dan Berjuang??



بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه
أما بعد

السلام عليكم ورحمة اللهِ وبركاته

18 Dzu al-Qa'idah 1433 bersamaan 4 Oktober 2012


Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi atas limpah dan kurnianya masih lagi diberikan kesempatan kepada kita untuk hidup di dunia ini dan masih lagi diberikan peluang untuk kita bertaubat atas dosa-dosa yang telah kita lakukan dan menyemai benih iman dan takwa untuk menjadi bekalan di akhirat kelak.

Walaupun dengan keadaan yang tidak berapa sihat dan juga kesibukkan dalam menghadapi PRK ulangan di UIA, hati ini begitu tergerak untuk menulis dan akhirnya Alhamdulillah diberikan kesempatan ini untuk berkongsi sedikit nasihat dan juga mutiara-mutiara hikmah yang diilhamkan kepada hamba yang hina ini.

Persoalan Yang Biasa Hadir Dalam Diri Pendakwah

Ketika menghadapi saat yang begitu padat dengan segala gerak kerja yang perlu dilakukan kadang-kadang terkeluar di dalam onak fikiran kita sesuatu yang mampu menjatuhkan semangat dakwah di dalam diri setiap pejuang.

“Kenapa aku je yang kene buat semua kerja dan orang lain mampu bersenang lenang?” 
 “Kenapa aku je yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan gerak kerja dakwah sedangkan orang lain yang bersama aku boleh berehat dan bersuka ria?” 
 “Kenapa jemaah terlalu mengharapkan aku dan memberikan banyak kerja kepada aku sedangkan ada lagi orang lain yang lebih senang dan lebih baik berbanding aku?”

Inilah antara persoalan-persoalan dan keluhan-keluhan yang sering muncul menemani kita ketika kita di dalam keletihan dan kepenatan dalam melaksanakan gerak kerja dakwah. Dan kerana bisikan-bisikan daripada syaitan inilah yang akhirnya membuatkan seseorang itu semakin jauh dan lari dari jemaah dan agenda-agenda dakwah.

Berjuang Tak Pernah Senang

Ingatlah di dalam perjuangan tidak ada erti kesenangan, tidak akan dibentangkan dengan permaidani merah dan tidak juga dikalungkan dengan kalungan bunga tanda dihormati dan disanjungi. Jika nama, harta dan pangkat yang dicari, maka ini bukan jalan buat golongan-golongan seperti ini. 

Tapi orang yang berjuang atas jalan Islam ini pasti akan dibentangkan dengan onak dan ranjau yang berduri, mehnah dan tribulasi menjadi makanan seharian juga cabaran dan dugaan datang silih berganti. Pasti akan ada musuh di kiri, kanan, depan dan belakang yang cuba menyerang dan cuba menjatuhkan dakwah Islam.

Hal ini dibuktikan di sepanjang zaman bahawa setiap yang berjuang untuk menaikkan syiar Islam tidak pernah akan senang. Lihat sahaja Rasulullah saw ketika mana Baginda membawa Islam. Baginda di caci, dihina malah disakiti oleh kafir Quraisy semata-mata ingin menyelamatkan manusia dari jahiliyyah. Sedangkan Baginda Rasulullah saw yang dikasihi oleh Allah swt itu menerima ujian yang begitu kuat tapi datangnya giliran kita inginkan perjuangan yang senang dan mudah? 

Malah adalah sesuatu yang amat melucukan jika ada sesetengah pihak yang dikatakan ingin memperjuangkan Islam tidak pernah menerima sebarang ancaman dan kecaman dari pihak yang ingin melihat kejatuhan Islam. Malah tidak terlalu keterlaluan jika mengatakan mereka-mereka yang ingin berjuang menaikkan syiar Islam tapi tidak mahu dihujani dengan mehnah dan tribulasi adalah mereka yang retorik semata-mata. Kerana sunnatullah orang yang berjuang tidak akan terlepas dari dugaan dan ujian. Hal ini disebutkan oleh Allah swt :

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لا يفتنون. ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين

Ertinya : Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut: 2-3]

Kelebihan Mereka Yang Berjihad Untuk Menaikkan Syiar Islam

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Tidak mungkin susah-payah dan kepenatan kita bekerja untuk menaikkan agama yang diredhai Allah ini tidak memberi sebarang nilai kepada diri kita. Sedangkan kesusahan dan kepayahan yang Allah datangkan kepada para pejuang agamaNya adalah untuk memberi nilaian dan ganjaran yang tidak terhingga kepada kita. Allah telah berfirman :

وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Ertinya : Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta. 
[Al-Ankabut : 6]

Ketahuilah kita berjihad untuk kepentingan diri kita sendiri. Allah sekali-kali tidak memerlukan kita untuk berjihad dan berjuang untuk menaikkan agamanya tapi kitalah yang mengharapkan kepada Allah swt untuk mendapat kelebihan di sisi Allah dengan berjihad menegakkan agama yang diredhai Nya, iaitu Islam.

Orang yang berjihad dan berjuang di jalan Allah sebenarnya sedang melakukan proses jual beli dengan Allah swt. Allah swt berfirman :

إنَّ اللّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللّهِ فَاسْتَبْشِرُواْ بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Ertinya : Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. [At-Taubah : 111]

Maka hendaklah kita ketahui bahawa kita sedang menempah sesuatu yang sangat besar dengan berjuang di jalan Allah. Kita hanya perlu modal tenaga dan harta untuk menaikkan syiar Islam dan sebagai ganjarannya Allah memberika syurga kepada mereka yang berjihad di jalanNya. Siapa yang tidak mahu akan syurga Allah swt? Malah mereka yang berjihad dan berjuang di jalan Allah dengan bersungguh-sungguh akan dilepaskan dari neraka Allah swt. Firman Allah swt di dalam surah as-saff ayat 10 :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬

Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? [As-saff : 10]

Dan Allah melanjutkan pada ayat berikutnya dengan menerangkan perniagaan yang bagaimanakah yang dijanjikan dengan kelepasan daripada seksaan neraka yang amat pedih.



تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ


Ertinya : Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[As-Saff : 11]

Begitulah besarnya ganjaran yang disediakan kepada orang yang beriman dan berjuang serta berjihad di jalan Allah atas dasar keimanannya. Jadi apakah satu kerugian kepada kita jika diberikan sesuatu kerja yang mampu menaikkan syiar Islam? Jawapannya sudah tentu TIDAK. Malah kita beruntung jika hendak dibandingkan mereka-mereka yang hanya BERMAIN-MAIN atas nama perjuangan. Sebab segala kesusahan dan kepayahan yang kita lalui pasti akan diberi ganjaran. Ingatlah Allah tidak memerlukan kita untuk menaikkan agamaNya tapi kitalah sebenarnya yang memerlukan pertongan daripada Allah dengan menolong menegakkan agamaNya di muka bumi ini.

Akhirul Kalam,

Saya ingin berkongsi sedikit motivasi yang telah Allah turunkan buat para pejuang yang berjuang di jalanNya. Antara kata-kata semangat ialah di dalam surah al-Ahzab ayat ke 23:


 مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُواْ مَا عَاهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُواْ تَبْدِيلاً


Ertinya : Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. [Surah al-Ahzab : 23]

Ayat selepas itu memberikan gambaran kepada kita bahawa jika kita benar dalam perjanjian untuk menaikkan syiar Islam maka Allah akan membalas keikhlasan kita dalam berjuang.

لِيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِن شَاء أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Ertinya : Supaya Allah membalas orang yang benar kerana kebenaran mereka, dan menyeksa orang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Surah al-Ahzab : 24]

Selain itu, Allah memberi motivasi kepada kita dengan memberitahu bahawa orang yang beriman mempunyai darjat yang tertinggi. Maka kerja buat kita dalam mempertahankan syiar Islam adalah kerja yang tidak akan rugi dan tidak akan kalah. Sebab kekalahan yang sebenar ialah apabila kita menurut nafsu kita dan lari dari medan perjuangan maka saat itu kita sudah pun kalah. Ini dinyatakan di dalam surah Ali Imran :

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَانْتُمْ الْاعْلَوْنَ اِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Ertinya : Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang yang tertinggi (darjatnya) jika kamu orang yang beriman. [Surah Ali Imran : 139]

Dan datang selepasnya ayat yang berikut :

وَكَايِّنْ مِنْ نَبِيٍّ قَتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا اصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّبِرِينَ

Ertinya : Dan beberapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang yang sabar. [Surah Ali Imran : 146]


Ingatlah wahai pejuang, apabila kita berjuang menegakkan agama Allah maka sesungguhnya pertolongan Allah bersama dengan kita. Dan siapakah sebaik-baik penolong selain daripada Allah swt? Jika kita mengetahui hakikat ini pasti kita semakin hari semakin kuat berjuang tidak kira di dalam keadaan senang ataupun susah kerana mendambakan pertolongan Allah swt.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Ertinya : Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu. [Muhammad : 7]

Akhirnya marilah kita menghayati satu kata-kata khas buat pemuda yang dipetik di dalam buku Jalan Dakwah antara Qiyadah dan Jundiyah karangan As-syeikh Mustafa Masyhur :

"Wahai pemuda!! Sesungguhnya berhasil sesuatu fikrah itu apabila kuat keimanan terhadapnya dan mempunyai keikhlasan pada jalannya. Hampir empat rukun ini –iman, ikhlas, semangat dan kerja- menjadi ciri pemuda, kerana asas iman adalah hati yang bersih, asas ikhlas ialah ialah jiwa yang bersih, asas semangat ialah perasaan yang kuat dan asas kerja ialah keazaman yang kuat. Semua perkara ini tidak ada kecuali pada pemuda. Di sinilah maka pemuda dahulu dan kini merupakan tiang kebangkitan setiap umat serta rahsia kekuatan dalam setiap kebangkitannya dan dalam setiap yang diangkat benderanya. Sesungguhnya mereka sekumpulan pemuda yang beriman dengan Tuhannya, lalu kami tambahkan untuk mereka petunjuk."


Anak muda dan remaja
Warga pewaris dunia
Hargai jasa yang tua
Teruskanlah perjuangannya

Memang payah
Untuk membentuk hidup yang sempurna
Akan mudah jika kita berusaha
Demi kejayaan bersama


Allahua’lam.

Perkukuhkan Iman, Perbanyakkan Ibadah dan Perbaiki Akhlak.
Usrah Tunjang Kekuatan Tarbiyyah,
Tarbiyyah Tunjang Kekuatan Jemaah.

Disediakan oleh :
Muhammad Zulhilmi b. Mohd Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Kuantan.


No comments:

Post a Comment