MANUSIA dilahirkan dalam fitrah, dan sesuai menerima sesuatu pembalasan atau nikmat sesuai dengan fitrah kejadiannya. Penciptaan setiap yang hidup adalah mengikut sunnah Allah yang telah dipatri serasi dengan perjalanan alam, semua berhubung antara satu sama lain.
Kita perlu sedar, apa sahaja yang disyariatkan oleh Allah Taala sepertimana terkandung di dalam Quran adalah bertepatan dengan fitrah kejadian manusia. Kegerunan yang lahir bukan disebabkan kerana terasa kejam setiap hukuman dikenakan, tetapi kurang gerun kita kepada Tuhan Pencipta semesta alam. Bila sahaja ada pihak yang tegar menegakkan hukum Allah ini bermacam-macam alasan yang dibuat.
Kenapa saya berkata sedemikian?
Diri kita, lebih jauh mengjangkau sistem yang lahir hasil ciptaan manusia yang berani melawan sistem yang telah ditunjukkan oleh baginda Nabi s.a.w ketika mengepalai Kerajaan Islam Madinah. Cara kerja kotor ini telah diperluaskan dan ditanam jauh ke dasar dalam sistem cara hidup manusia. Pusat-pusat pengajian diajar sistem ini, silibus-silibus sekolah mendaulatkannya.
Penjajahan kotor ini bukan sahaja mengubah sistem politik, sosial dan ekonomi Islam kepada sistem ciptaan manusia, malah penjajah turut berjaya melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah melalui sistem pendidikan yang begitu memberi kesan besar hingga hari ini. Kerana itulah pada awal kewujudan sekolah aliran Inggeris ianya ditentang oleh golongan ulama’ terutama dari aliran pondok dan sekolah agama.
Golongan ulama’ ini telah nampak bahawa matlamat pendidikan Inggeris bukan sahaja menjurus ke arah memberi pendidikan secara formal tetapi turut menanam pemikiran agar lebih yakin kepada sistem penjajah berbanding Islam. Paling parah meracuni pemikiran umat Islam bahawa Islam hanya perkara yang berkaitan dengan ibadat khusus sahaja seperti solat, puasa, haji dan zakat tanpa mempedulikan masalah sosial, perundangan, politik, ekonomi dan sebagainya.
Pemikiran yang dikenali sebagai sekulerisme ini terus subur dalam diri umat Islam di negara ini dari dulu hingga kini dan ia semakin membarah sehingga suburnya fahaman Islam Liberal walaupun telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Oleh itu, hasil daripada pembawaan agama penjajah telah menyebabkan lahirnya begitu ramai umat Islam tidak lagi yakin kepada sistem Islam dan apa yang lebih malang lagi betapa ramai umat Islam yang telah murtad secara terang-terangan dan berani pula mencabar melalui mahkamah sivil untuk menukar agama.
Sistem penjajah semakin dijulang ketika sistem Islam semakin terhakis. Sistem penjajah menjadi pujaan ketika sistem Islam dijadikan bahan cacian, sistem ciptaan manusia dijadikan suatu kebanggaan manakala sistem Allah didakwa punca kemunduran.
Umat Islam lebih berbangga dan gembira berada di bawah sistem penjajah yang telah menghina bangsa mereka dunia dan akhirat.
“Kalau setiap hari orang mencuri dipotong tangan, alamatnya hari-harilah kita makan sup tangan”
“Daripada batu dibuat rejam pesalah zina, baik dibuat rumah banglo besar”
Apakah ada yang peduli? Tepuk dada tanya Iman.
HIKMAH TERSIRAT
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “Kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” al-Maidah (5:17)
Hanya hudud yang mampu menyelesaikan masalah jenayah. Negara barat terlalu takut dengan hudud, mereka bimbang Islam akan naik jika ada negara Islam yang menjalankan hukum hudud dengan betul serta mengamalkan sistem pentadbiran Islam, sebab itu mereka sentiasa memburuk-burukkan imej Islam dengan menggambarkan agama suci ini ekstrim.
Hudud adalah ubat terbaik untuk masyarakat yang kian parah dalam kerosakan.
Apa yang menghairankan, hukuman sivil tidak pernah pula sesiapa yang mempertikaikan walaupun hakikatnya lagi kejam. Ada yang beralasan, Hudud perlu diberi faham kepada masyarakat baru boleh dilaksanakan, namun undang-undang sivil yang ada hari ini, berapa keratkah dari kita yang memahaminya?
Kengerian hudud itulah tujuan sebenarnya diadakan. Melahirkan takut pada hati-hati yang ingin berbuat dosa. Belum difikirkan lagi kengerian hukuman neraka yang sudah tentu tidak terjangkau oleh akal manusia.
Jenayah seperti zina, arak, dan jenayah lain berleluasa menjadi perkara biasa kerana sudah tiada lagi rasa takut dalam hati-hati manusia. Bagi manusia yang lemah Imannya, kengerian hudud adalah antara satu peringatan terakhir yang kuat.
Allah Taala sentiasa berkomunikasi dengan para hamba-Nya, lebih cepat Tuhan berkomunikasi bilamana kita berjaya menolong agama-Nya. Allah Taala tahu apa yang terbaik buat para hamba-Nya.
Kita ini adalah makhluk. Makhluk sifatnya adalah ciptaan, daripada tiada kepada ada. Mestilah ada yang menciptanya, sudah pastilah yang pencipta itu Dzat lebih hebat, bijaksana, sempurna, serba-serbi tahu pasal bahan ciptaanya.
Seorang jurutera yang mencipta kereta, pastilah jurutera itu lebih pandai pasal kereta yang diciptanya sebab dia yang ciptakan kereta itu dengan segala kecanggihan model terkini, sudah pasti didirikan dari tiada kepada ada. Dia tahu selok belok, bahan sesuai dan sebagainya sebab dia mencipta, kalau jadi begini buat ini, jadi itu buat itu dan sebagainya.
Apatah lagi kita bahaskan tentang keupayaan Allah Taala, dan sistem yang dicipta oleh-Nya, untuk mendidik bukan mendera.
DEKAT DI HATI
Hati itu milik Allah. Ketakutan itu hadir bila kesedaran pada hukum Allah Taala. Hati itu mudah berbolak balik, sekali didekatinya pada kebaikan, sekali jatuh pada keburukan. Hanya teguran Allah yang menyelamatkan.
Membezakan antara fitrah hukuman Allah Taala dalam mendidik hamba-Nya dan kekejaman hukum ciptaan manusia yang dangkal.
Bila hukuman Allah Taala dibelakangkan, bila pertimbangan nafsu diletakkan di hadapan maka yang mulia jadi terduduk, yang bermuka sesat terus nampak warna keburukannya. Manusia lawan Allah Taala, hukum manusia lawan hukum Allah Taala. Manusia yang bertuhankan diri, dan membelakangkan Allah. Manusia yang berajakan nafsu, dan dipejamkan mata akan panduan dan seruan Allah Taala (al-Quran).
Benar, Islam itu kotor bukan kerana kotoran yang terpalit dari luar, namun kekotoran itu terzahir akibat manusia Islam yang bergelar muslim hilang muslimnya. Ini adalah pemahaman dakwah yang terus di serukan. Ini peluang pentas dakwah perlu terus dicerahkan dan dilaksanakan.
Dengan mengenal diri akan mengenal Pencipta, iaitu Allah Taala. Hati ibarat cermin melihat segala rahsia-rahsia dan segala hikmah alam yang tersurah mahupun tersirat dan mengenali Dzat Maha Agung ini. Dari hati akan membawa kepada The Ultimate, iaitu Allah Taala. Hati membawa kepada asal (fitrah), iaitu pencipta kita. Tanpa Allah Taala tiadalah kita.
Tanyalah hati kecil kita, siapakah kita, dan di manakah kita dikembalikan kelak.
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “Sebagai sunnatullah yang berlaku atas orang-orang yang telah terdahulu sebelum (mu), dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada sunnatullah” al-Ahzab (33:62)
No comments:
Post a Comment