Mengucap dua Kalimah Syahadah adakalanya tidak sempurna, dan beberapa  kaedah penyempurnaannya ialah dengan melengkapi tiga syarat ini :
1. Mengaku dengan lidah
Seseorang  yang menyebut dengan menggunakan lidahnya bahawa tiada Tuhan yang layak  disembah melainkan Allah SWT sahaja, dan Nabi Muhammad SAW itu adalah  pesuruh Allah.
2. Kepercayaan di dalam hati
Mempercayai  dengan sebenar-benar kepercayaan bahawa apa yang diucapkan dengan  lidahnya itu adalah satu perkara yang benar. Sekiranya seseorang itu  masih meraguinya, maka masih tidak sempurna syahadahnya.
3. Melakukan tuntutannya dengan anggota
Setelah  kedua-duanya (hati dan lidah) mengakui kebenaran tersebut (syahadah),  maka anggota tubuh badan akan melaksanakan segala tuntutan daripada  syahadah tersebut dengan rela.
Oleh itu, ucapan Kalimah Syahadah  tidak sempurna sekiranya hanya diucapkan dengan lidah sahaja. Ramai  orang yang mengucap dua Kalimah Syahadah, tetapi masih ramai lagi yang  masih meragui keimanannya. Begitu juga dengan melakukan tuntutan  tersebut dengan anggota, masih ramai lagi yang tidak mendirikan solat  walaupun sudah mengetahui bahawa Allah SWT itu wajib disembah.
Tuntutan  yang dilakukan dengan anggota tersebut seperti mendirikan sembahyang,  berpuasa dan sebagainya yang telah diwajibkan oleh Allah dan Rasulnya.  Inilah tuntutan yang perlu dilakukan dengan anggota oleh Dua Kalimah  Syahadah. Manakala sekiranya seseorang tersebut hanya mengucap, tetapi  tidak mendirikan solat, dia tidak dikatakan sebagai seorang kafir.
Begitu  juga orang yang mengucap, tetapi hatinya masih meragui kewujudan Allah,  kita tidak boleh mengatakan kafir kepadanya kerana kita tidak tahu  keraguan hatinya itu melainkan Allah SWT. Tetapi berbeza pula dengan  orang yang jelas menyebut bahawa Solat Zohor itu tidak wajib dilakukan,  maka jatuhlah syahadahnya.
Contoh 1
Sekiranya seseorang  tersebut menghalalkan sesuatu perkara yang jelas diharamkan oleh Allah,  maka ia juga dikatakan kafir, atau jatuh syahadahnya. Contohnya dia  membenarkan seseorang berzina, atau mengatakan zina itu adalah halal,  maka dia perlu mengucap dua Kalimah Syahadah semula.
Contoh 2
Sekiranya  seseorang tersebut mengkafirkan seseorang yang jelas islamnya, maka ia  juga dikatakan sebagai kafir. Begitu juga dia mengatakan seseorang yang  jelas kekafirannya, sebagai seorang Islam, maka dia juga telah jatuh  syahadahnya.
Contoh 3
Seseorang yang sengaja meninggalkan  solat, kerana kemalasannya, tidak dikatakan kafir kerana dia tidak  termasuk dalam “perbuatan yang menjatuhkan syahadah”. Seperti menyembah  patung, mengaku kekafirannya dengan jelas dan sebagainya.

No comments:
Post a Comment