بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد
GOLONGAN LELAKI
Lelaki mengikut definisi ulama' : Seseorang manusia yang melepasi tahap baligh dan mumaiyiz. Definisi ini tidak digunakan dalam perbahasan mirath (harta perwarisan). Dalam perbahasan tersebut penggunaan kalimah ini adalah secara umum iaitu tidak membezakan antara dewasa atau kanak-kanak.
DALIL AL-QURAN BERKENAAN GOLONGAN LELAKI
1) Firman Allah di dalam surah al-Nisa’ ayat 34
Maksudnya : Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha besar.
2) Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 228
Maksudnya : Dan isteri-isteri Yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) Dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
3)Firman Allah SWT dalam an-Nisa’ ayat 11
Maksudnya : Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, Iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti Yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
4) Firman Allah SWT dalam an-A’raf ayat 63
Maksud : "Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga supaya kamu beroleh rahmat?".
DALIL HADIS BERHUBUNG GOLONGAN LELAKI
Sabda nabi :
لو كنت آمرا أحدا أن يسجد لأحد لأمرت المرأة أن تسجد لزوجها
Maksudnya : Kalaulah aku disuruh untuk memerintahkan seseorang untuk sujud pada manusia, sudah tentu aku akan menyuruh wanita untuk sujud pada suaminya.
PERBAHASAN ULAMA' BERHUBUNG GOLONGAN LELAKI
Lelaki merupakan golongan yang diberi kelebihan oleh Allah SWT jika hendak dibandingkan dengan golongan wanita. Allah SWT menganugerahkan ilmu dan akal yang lebih kepada golongan lelaki. Bukan itu sahaja bahkan Allah SWT menetapkan kekuasaan lelaki itu melebihi kekuasaan wanita. Sebagai contoh lelaki dibenarkan oleh syariat untuk pergi berperang berlainan dengan golongan wanita. Lelaki juga merupakan ketua kepada wanita dalam kebanyakan bidang. Dari sudut rumahtangga pula, si suami berhak untuk memukul isteri demi untuk mentakdib (mangajar) sekiranya si isteri melakukan perbuatan yang melampaui batas. Kerana itulah tanggungjawab yang diletakkan di bahu lelaki melebihi tanggungjawab yang dipundakkan keatas bahu wanita.
Kata Dr. Wahbah Zuhaili, antara sebab golongan lelaki dilebihkan berbanding wanita adalah kerana 2 perkara:-
1) Lelaki mempunyai jasad dan tubuh yang lebih kuat.
2) Allah SWT memberikan kesempurnaan ciptaan, pemikiran yang tajam, kekuatan akal, perasaan yang sederhana kepada mereka. Kerana itulah lelaki mampu untuk memberikan pandangan yang tajam dan bernas. Kenabian dan Rasul juga dilantik dikalangan golongan lelaki kerana kelebihan tersebut. Mereka juga mampu untuk menjadi pemimpin, imam, qadi, dan sebagainya. Allah SWT juga menjadikan kuasa talak itu pada suami, mengharuskan seorang suami untuk berpoligami dan mengkhususkan golongan lelaki untuk menjadi saksi dalam kes-kes jenayah, hudud, mendapat bahagian yang lebih dalam harta perwarisan serta mendapat asobah dalam masalah faraid (pusaka).
Golongan lelaki juga dipertanggungjawabkan untuk memberikan nafkah kepada isteri, kaum kerabatnya, serta perlu untuk membayar mahar kepada isterinya sebagai tanda penghormatan.
Kata Imam Qurtubi, golongan lelaki dilebihkan oleh Allah SWT berbanding wanita dari segi nafkah, akal pemikiran, pewarisan dan mereka juga disyariatkan untuk keluar berperang serta melakukan amar makruf dan nahi mungkar melebihi berbanding golongan wanita.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228
Maksudnya : Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya)
Mengikut perbahasan ulamak berkenaan ayat tersebut, Allah SWT memberikan darjat kepada golongan lelaki melebihi wanita. Kalimah darjat di sini bermaksud penciptaan, akhlak, kekuasaan, nafkah, ketaatan serta kelebihan di dunia dan akhirat.
Terdapat beberapa tafsiran para ulamak berkenaan surah an-nisa’ ayat 34
Kelebihan lelaki berbanding wanita dari segi pengurusan rumahtangga serta kemuliaan.
Ketidakmampuan seseorang suami memberikan nafkah kepada isteri akan memberikan hak kepada isteri untuk menuntut fasakh nikah kerana hilangnya tujuan asal pensyariatan pernikahan. Firman Allah SWT
Maksudnya : Dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.
Seseorang suami tu berhak untuk mentakdib (mengajar) serta menghalang isterinya daripada keluar rumah. Dan isteri pula perlu memberi ketaatan kepada suami selama mana suaminya tidak menyuruhnya untuk melakukan perkara yang maksiat di sisi Allah SWT.
Kata Imam Ibnu Kathir, kalimah (qauwamun) bermaksud pemimpin. Ini bermaksud golongan lelaki merupakan pemimpin kepada golongan wanita.
Pernikahan bukanlah bermaksud agama Islam itu mengongkong golongan wanita, tetapi pernikahan bermaksud suatu akad yang mewajibkan perlaksanaan hak daripada kedua-dua pihak samada dari sebelah lelaki mahupun wanita. Firman Allah SWT
Maksudnya : Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.
Seorang wanita perlu memberi ketaatan kepada suaminya manakala seorang lelaki perlu mengutamakan ibunya 3 kali melebihi bapanya. Wanita menerima bahagian pusaka yang kurang daripada lelaki dan harta tersebut menjadi milik peribadinya , manakala lelaki pula menerima pusaka yang lebih dan perlu menggunakan harta tersebut untuk menyara isteri dan anak-anak.
Wanita bersusah payah mengandung dan melahirkan anak. Setiap saat ibu yang mengandung didoakan oleh segala haiwan, malaikat dan seluruh makhluk Allah SWT di muka bumi. Dan mati seorang ibu yang melahirkan anak adalah dikira sebagai syahid yang kecil.
Golongan lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita :
1. Ibunya
2. Isterinya
3. anak perempuannya
4. saudara perempuannya.
Manakala golongan wanita pula, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki
1. Suaminya,
2. Ayahnya,
3. Anak lelakinya
4. saudara lelakinya .
Seorang lelaki perlu keluar berperang manakala ketaatan seorang wanita kepada suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah SWT akan turut menerima pahala seperti pahala golongan lelaki yang keluar berperang di jalan Allah SWT tanpa perlu mengangkat senjata.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment