Perang Badar adalah peperangan pertama yang dilalui  oleh umat Islam.  Ia berpunca daripada sekatan ekonomi dan rampasan  harta penduduk Islam  di Mekah. Pada Jamadil Awal dan Jamadil Akhir 2  Hijrah bersamaan  November dan Disember 623 Masihi, pedagang Quraisy, Abu  Sufian,  bergerak ke Syam dengan membawa harta kekayaan milik mereka  untuk  diniagakan bersama 40 orang pengawal.
Lalu, Nabi SAW   mengambil kesempatan ini untuk membuat serangan kepada mereka bertujuan   melumpuhkan ekonomi mereka. Bahkan harta yang didagangkan oleh mereka,   antaranya hasil daripada rampasan terhadap umat Islam sendiri. Lalu,   Baginda SAW cuba membuat sekatan di Zil Usairah. Namun, pedagang Quraisy   sudah pun melepasi kawasan tersebut.
Namun, kesempatan  sekali  lagi diambil ketika pedagang Quraisy dalam perjalanan pulang  dari Syam.  Lalu Baginda SAW mengutuskan Talhah bin Ubaidillah dan Sa’id  bin Zaid  sebagai perisik. Setelah mengetahui kedudukan, lokasi dan  laluan mereka,  Rasulullah SAW bersedia dengan tentera seramai 313, 314,  atau 317  orang, dan 82, 83 atau 86 orang.
Mereka  bergerak dengan  sederhana, iaitu tanpa kelengkapan, 2 ekor kuda dan 70  ekor unta.  Setelah selesai bersiap, mereka mula bergerak ke Badar. Abu  Sufian agak  berhati-hati kerana bimbangkan sebarang serangan. Beliau  telah  dimaklumkan bahawa Rasulullah telah pun menghantar pasukan untuk   berhadapan dengannya.
Beliau segera mengupah Damdam bin  Amru  untuk meminta bangsa Quraisy menghantar tentera untuk menjejaki   Rasulullah dan tentera. Tentera Mekah seramai 1300 orang, di antaranya   ialah 100 ekor kuda, dan 600 pejuang yang memakai baju besi.
Tetapi   di pertengahan jalan, iaitu di al Juhfah, mereka menerima surat   daripada Abu Sufyan bahawa keselamatannya terjamin, dan tidak perlu   menghantar apa-apa bantuan. Tetapi Abu Jahal masih ingin meneruskan   perjalanan ke Badar, dan mengadakan pesta di sana.
Namun,   pandangannya tidak dipersetujui oleh sebahagian pembesar. Ini   menyebabkan Bani Zuhrah mengambil pendekatan dengan kembali pulang ke   Mekah mengikut arahan ketua mereka. Maka, tentera Musyrikin yang berbaki   meneruskan perjalanan ke Badar.
Apabila berita  kedatangan  tentera Musyrikin ini sampai kepada Baginda SAW, Baginda SAW  mengadakan  perbincangan, kerana situasi yang agak merbahaya dengan  kekuatan tentera  Islam yang ada. Namun, sidang perbincangan tertinggi  bersetuju untuk  meneruskan peperangan.
Setelah itu, Nabi  SAW mengatur strategi  dengan menyusun tentera Islam di tempat yang  strategik. Mereka telah  tiba di kawasan tersebut lebih awal, dan  berlakulah pertemuan di Badar  yang menyaksikan pertempuran yang dahsyat  di sana.
Peperangan  bermula dengan beradu kekuatan di  antara dua pihak. Ubaidah bin al  Harith berjaya membunuh Utbah bin  Rabi’ah, Hamzah membunuh Shaybah bin  Rabi’ah, dan Saidina Ali membunuh  al Walid bin Utbah. Ketiga-tiganya  ialah orang ternama di kalangan  Musyrikin.
Setelah ketiga-tiga  orang ternama ini  terbunuh, tentera Musyrikin semakin marah dengan  Islam, lalu peperangan  pun tercetus. Pada permulaan peperangan ini,  tentera Islam hanya  bertahan, sehinggalah sampai satu ketika, arahan  dikeluarkan untuk  melakukan serangan balas.
Ketika serangan balas  dibuat,  serangan tentera Musyrikin mula tumpul, disebabkan serangan  mereka yang  terlalu bertenaga pada permulaannya. Di dalam peperangan ini  juga,  tentera Malaikat turun membantu Islam, dan menyaksikan kekalahan  yang  teruk di pihak Musyrikin.
Ketika tentera Islam membuat   serangan balas, pertahanan tentera Musyrik semakin bolos, dan akhirnya   berjaya dibolosi sehinggalah sampai kepada Abu Jahal yang dibenteng   dengan pertahanan yang ramai. Tetapi akhirnya Abu Jahal telah dibunuh   oleh dua orang kanak-kanak iaitu Muaz bin Amru dan Mu’awwidh bin Afra.
Muaz   bin Amru berperang sehingga terputus tangannya, dan Mu’awwidh syahid   setelah kedua-duanya berjaya membunuh Abu Jahal. Tetapi, di akhir   peperangan, Abu Jahal masih hidup, dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Lalu   Abdullah bin Mas’ud memancung lehernya.
Demikianlah serba  ringkas  kisah Perang Badar, dan hasil daripada peperangan tersebut  telah  menyebabkan kafir Quraisy mengalami kerugian yang teruk. Tentera   Musyrikin telah terbunuh seramai 70 orang, dan kebanyakannya di  kalangan  pembesar mereka, dan 70 orang lagi ditawan. Manakala tentera  Islam,  seramai 6 orang dari kalangan Muhajirin yang terkorban, dan 8  orang dari  kalangan Ansar.

No comments:
Post a Comment