Rasulullah  s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja dalam kalangan  pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya  diharamkan syurga untuknya.”
  Wahai Amirul Mukminin!
Sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan.
Hendaklah  tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat  (keaiban) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah tuanku atau mengadakan  hijab (penghalang) antara tuanku dengan mereka. Hendaklah tuanku  bergembira dengan nikmat yang mereka terima dan bersimpatilah dengan  musibah yang menimpa mereka.
Wahai Amirul Mukminin!
Urwah  bin Ruwain berkata: ”Pernah Rasulullah s.a.w. memiliki pelepah kurma  yang digunakan untuk bersugi sehingga menakutkan kaum munafik. Kemudian  turunlah jibril bertanya: ’Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau  gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?’.”
Wahai Amirul Mukminin!
Relakanlah  dirimu dengan dirimu! Dan carilah keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah  kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda  Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ”Sesungguhnya tempat letak panah yang  dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.”  (Riwayat al-Tabarani no.6134)
Wahai Amirul Mukminin!
Sesungguhnya  jika sesebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan  sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal ditanganmu atau  sesiapa sahaja.
Wahai Amirul Mukminin!
Ingatlah  kata-kata Umar al-Khattab: ’Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat  (Iraq), nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan  mengenainya  diakhirat kelak! Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak  beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?”
Wahai Amirul Mukminin!
Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud: ” Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab  itu putuskanlah sesuatu perkara antara rakyatmu dengan kebenaran.  Janganlah engkau turut kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan  dari jalan Allah.” ( Surah Sad 38:26)
Wahai Amirul Mukminin!
Rasulullah  bersabda yang bermaksud: ” Setiap pemerintah akan dibawa pada hari  kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh  keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang  akan bergerak dengan satu gerakan yang akan menghilangkan seluruh  anggota dari badan. Kemudian ia dikembalikan. Lalu dihitung  amalannya.  Kalau ia dahulu berbuat baik, nescaya ia terlepas dengan kebaikannya.  Kalau ia dahulu berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia  terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun).”
Wahai Amirul Mukminin!
Umar r.a. berkata: ” Amir (pemerintah) itu ada empat jenis:
1.                  Amir yang kuat yang dapat mengawal diri dan pegawai-pegawainya. Ia seperti mujahid ( orang yang berjihad ).
2.                  Amir  yang kuat yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak  pegawai-pegawainya. Dia berada ditepi jurang kebinasaan, kecuali Allah  menurunkan rahmat keatasnya.
3.                  Amir  yang dapat mencegah pegawai-pegawainya membiarkan dirinya mengikut hawa  nafsu. Ia berada dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda  Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ’Pengembala yang terjahat  itu bahaya  yang menghancurkan. Dia itu binasa sendiri.’
4.                  Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai-pegawainya menurut hawa nafsu. Mereka kesemuanya akan binasa.”
Wahai Amirul Mukminin!
Umar  al-Khattab telah berdoa: ”Wahai Tuhanku! Sekiranya menurut ilmu-Mu, aku  akan terpengaruh apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang  miring daripada kebenaran, baik yang dekat atau jauh, maka janganlah  Engkau biarkan aku walaupun sekelip mata.”
Wahai Amirul Mukminin!
Sesungguhnya  yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran kerana  Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang  mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya ia akan diangkat dan  dimuliakan oleh Allah, sesiapa yang mencari kemuliaaan dengan membuat  maksiat kepada Allah, nescaya ia akan dihina dan direndahkan oleh Allah.
( Surat ini ditulis dan diutuskan oleh Imam al-Auza’I kepada Khalifah al-Mansur, pemerintah Abbasiyyah )



No comments:
Post a Comment