(petikan dari buku Sheikh Mustafa Mashyur)
Oleh : Us Din Tantawi
Seperti  kata-kata Saidina Ali (ra), "Janganlah  kamu kenali sesuatu kebenaran  itu kerana orangnya, sebaliknya  kenalilah kebenaran tersebut dahulu,  nanti kamu akan kenali orangnya".
Hatta,   dengan jemaah juga, seseorang itu harus mengetahui terlebih dahulu   ciri-ciri jemaah tersebut sebelum menggabungkan diri kedalamnya.
Artikel   ini adalah berdasarkan huraian Sheikh Mustafa Mashyur dalam bukunya,   'Contoh Tauladan Sepanjang Jalan Dakwah' dan 'Dakwah Fardiah'.   Perkara-perkara yang dihuraikan hendaklah diambil sebagai panduan atau   rujukan bagi sesiapa sahaja yang ingin membuat pilihan dan menggabungkan   diri dalam sesebuah jemaah untuk menunaikan tanggungjawab dakwah yang   diwajibkan keatasnya.
Pilihan  seseorang itu memerlukan  perincian yang halus, hikmah, penjelasan yang  terang dan meyakinkan dan  tidak terburu-buru. Dalam medan dakwah  masakini, terdapat banyak  jemaah-jemaah yang mempunyai ciri-ciri  tersendiri, dan huraian ini juga  tidak bertujuan untuk menimbulkan  perbezaan dan persengketaan antara  jemaah yang sedia ada, tetapi  sebaliknya mengharapkan ianya dijadikan  sebagai titiktolak bagi sesebuah  jemaah tersebut untuk kembali kepada  hakikat kesatuan ummah sejagat  berdasarkan ciri-ciri haraki Islam yang  dihuraikan.
Dua puluh (20) perkara asasi yang perlu ada pada sebuah Jemaah Islam Contoh ialah :
1)  Tujuan menegakkan jemaah ini ialah kerana Allah dan memiliki segala   ciri-ciri Rabbani, serta mencari keredhaanNya (mardhatillah). Jemaah ini   jauh dari matlamat keduniaan seperti mencari kemasyhuran, kedudukan   atau suka menonjol diri. Jemaah ini hendaklah juga jauh dari   dorongan-dorongan Jahiliyyah seperti taa'sub kelompok (assabiyah),   batas-batas geografi atau kenegaraan (nationalisma), dan seumpamanya.
Perkara seperti ini akan merosakkan amalannya dan membawa jemaah ini kearah kegagalan.
2)  Jemaah Islam ini hendaklah menggunakan AlQuran dan Sunnah sebagai   sumber rujukan, dan menjaga dirinya supaya ia tidak tunduk dibawah   kehendak orang tertentu, kerajaan ataupun apa sahaja, sekiranya ia   memberi kesan buruk kepada kepada gerakan dakwahnya atau mempengaruhi   mesej dakwahnya.
3) Jemaah itu  dibangunkan atas tujuan yang menyeluruh dan bersepadu yakni  untuk  menegakkan agama Allah dibumi ini dengan mendirikan Daulah  Islamiah  Alamiyyah (Negara Islam Sedunia). Manhajnya (methodologi)  adalah  berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah (saw) untuk  mencapai  tujuan ini, dan juga apa yang disyariatkan oleh Islam (ijmak  atau  qias). Jemaah tidak sepatutnya mengongkong dirinya dalam   'perkara-perkara juzuk' dalam Islam seperti ekonomi, politik, ibadah dan   sebagainya.
4) Kefahaman jemaah ini  terhadap Islam hendaklah menyeluruh (kesyumulan  Islam) dan pendekatan  dakwah yang digunakan juga adalah bersifat  menyeluruh (syamil).  Kefahaman Islam, cara dan mesej dakwah yang dibawa  mesti bertepatan  dengan Quran dan Sunnah Rasulullah (saw), dan bersih  dari sebarang  kesamaran, penyelewengan dan perbezaan pendapat yang boleh   memecah-belahkan orang-orang Islam.
5)  Jemaah ini mestilah bersifat universal (alamiyyah) dan tidak tertakluk   pada batas-batas negeri dan suku bangsa, kerana dakwah Islam adalah   ditujukan kepada sekelian alam. Jemaah ini juga menekankan bahawa   orang-orang Islam semuanya adalah umat yang satu (wahdatul ummah) dan   sentiasa bergerak kearah kesatuan ummah. Dengan sifat alamiyyahnya,   jemaah ini berjuang untuk menegakkan Negara Islam Alamiyyah dengan   menggunakan Kaedah Sulbah, bukan Negara Islam Geografi sahaja. (sila   rujuk karangan Ustaz Said Hawa, 'Durus Fil Amal AlIslami')
6)  Jemaah ini mestilah mengikut kaedah perjuangan yang digunakan oleh   Rasulullah saw ketika baginda mendirikan Negara Islam. Kaedah yang   digunakan oleh Rasulullah (saw) adalah berperingkat (marhalah),   beransur-ansur (tadarruj), kejelasan risalah dakwah, kemampuan ahli,   melaksanakan hikmah dan kewaspadaan dalam setiap langkah, serta   mengambil kira faktor persekitaran (waqi').
Baginda   mementingkan perkara-perkara seperti kemantapan aqidah, iman dan   ibadah, mengutamakan kekuatan persaudaraan dan penyatuan umat Islam,   mengambil kira prinsip jihad dan ketenteraan, tarbiyyah, dan lain-lain   lagi.
Jemaah  ini mesti menekankan Kaedah Sulbah yakni,  membina individu Islam,  keluarga Islam, masyarakat Islam, negara Islam  dan baharulah Dunia  Islam. Perlu ditegaskan bahawa penggunaan kekuatan  senjata sebelum  aqidah, tarbiyyah dan penyatuan umat Islam akan membawa  kepada  perpecahan umat Islam dan kemudharatan yang besar.  Sesungguhnya,  pembinaan yang membesar secara tabii (Kaedah Sulbah) itu  bermula dari  dasar (individu) dan bukan dari puncak (negara).
7)  Jemaah ini hendaklah menjaga amalannya dari mencari propaganda dan   menunjuk-nunjuk, kerana ini boleh menghilangkan sifat keikhlasan dan   ganjaran pahala. Setiap anggota jemaah itu hendaklah mengutamakan   dirinya untuk terus berdakwah dan bekerja untuk Islam dan menghindarkan   dirinya dari sebarang sifat tercela (mazmumah), perdebatan, prasangka,   menabur fitnah dan 'tajassus' dan apa sahaja yang boleh menimbulkan   perselisihan dan kurang daya produktif dalam berdakwah.
Firman  Allah swt,  "Hai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu   merendah-rendahkan kaum lain kerana mungkin kaum lain itu adalah lebih   baik... jauhilah prasangka... janganlah kamu mencari-cari kesalahan atau   mengunjing orang lain; sukakah kamu memakan daging saudaramu yang  telah  mati? Hai manusia, Allah telah mencipta kamu lelaki dan  perempuan,  bangsa-bangsa, suku-suku supaya kamu saling berbaik.  Sesungguhnya, orang  yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah  orang yang paling  bertaqwa diantara kamu" (Surah Hujurat:11-13)
8)  Jemaah ini bekerja mengikut perancangan yang sempurna dan realistik.   Segala tindakan yang diambil bukan lah secara spontan ataupun hanya   reaksi yang tidak dikaji terlebih dahulu kerana ini boleh mengakibatkan   risiko atau natijah yang buruk. Membangunkan individu, keluarga, dan   masyarakat dalam semua lapisan umat Islam dilakukan atas dasar taqwa   sebagai persediaan sebelum mendirikan Negara Islam.
9)  Jemaah ini mengambil berat tentang semua aspek pendidikan dan pekerjaan   yang dikehendaki, yakni aspek rohani, jasmani, mental, dan ilmu. Dari   segi politik, jemaah ini hendaklah melahirkan suara Islam dengan jalan   kesedaran politik, dan tidak semestinya dengan cara berparti dan jauh   sekali dari mengamalkan putar-belit ataupun kemelut parti sekular. Dari   segi komunikasi, jemaah ini mementingkan peranan sebaran am, akhbar,   penulisan serta apa jua cara yang dapat menyebarkan kan dakwah serta   menolak kekeliruan yang boleh timbul dari fitnah musuh atau sesiapa   sahaja.
10) Jemaah contoh ini jangan  sekali-kali meninggi diri serta sentiasa  membuat perbandingan dengan  jemaah-jemaah Islam yang lain dan tidak  menganggap jemaahnya sahaja  yang sempurna dan benar, sementara jemaah  lain adalah sesat. Jangan  memperkecil-kecilkan usaha jemaah-jemaah lain  atau melihat jemaah lain  sebagai saingan atau lawan, tetapi sebaliknya  carilah ruang-ruang untuk  bekerja sama.
Hendaklah  dia sentiasa berusaha kearah  penyatuan (wahdatul ummah) dengan  jemaah-jemaah lain dan sentiasa  bersabar, berlapang dada dan menerima  segala kritikan dengan baik.  Dengan izin Allah swt, kita semua  mengharapkan akan tiba masanya,  hilanglah semua nama-nama, gelaran dan  perbezaan teknikal antara semua  jemaah yang ada sekarang dan akan  digantikan dengan satu Jemaah  Muslimun.
11) Jemaah ini hendaklah  bercampur-gaul dengan semua orang dari segenap  lapisan tidak kira  bangsa, warna kulit, bahasa ataupun pangkat, demi  mematuhi konsep  alamiyyah yang disarankan. Mereka adalah ladang dakwah  dan tapak  semaian yang perlu disediakan terlebih dahulu sebelum  mendirikan Negara  Islam.
12) Jemaah ini mempunyai  peraturan yang kemas serta organisasi (tanzim)  yang tersusun, yang  menentukan tujuan kerja dan cara-cara berdakwah.  Anggota jemaah adalah  terdiri daripada mereka yang telah dididik  (tarbiyyah) sepenuhnya,  membentuk barisan-barisan yang terpilih dan  berkeperibadian Islam, dan  tidak dicampuri anasir-anasir yang tidak  sihat, demi menjamin penerusan  serta mesej dakwah yang dibawanya.
13)  Konsep syura hendaklah diamalkan dalam setiap peringkat dan   menggalakkan ahlinya supaya terus berbincang dan mengeluarkan pendapat   serta kritikan yang membina kepada orang-orang yang memegang   tanggungjawab tertentu atau pimpinan. (muhasabah) Konsep ketaatan dan   kepatuhan dalam perkara yang bukan maksiat sentiasa ditekankan
14)  Jemaah ini sentiasa bersifat sederhana dan tidak melampau, samada dalam   aspek pemikiran seperti isu kafir-mangkafir dan isu perbezaan   jemaah-jemaah Islam; atau dalam aspek gerakan seperti menggunakan   kekerasan dalam tindakan, mengeluarkan kecaman-kecaman, dan fitnah   dengan sewenang-wenangnya, yang mana boleh membuatkan orang Islam lari   ataupun benci kepada Islam. Segala tindakan yang diambil hendaklah   berteraskan kasih sayang (mahabbah), waqii (persekitaran) semasa,   tawazun (keseimbangan), hazar (waspada) dan tasawwur (prospek) amal yang   jelas. Dari segi aqidah dan ibadah, jemaah ini tidak bertolak-ansur   sedikitpun..
15) Sentiasa memeriksa  tanggungjawab serta mengikuti isu-isu semasa yang  dihadapi oleh umat  Islam seluruh dunia dan sama-sama memberi sumbangan  sekadar mampu.  Sentiasa menyeru orang-orang Islam agar sama- sama  memberi sumbangan  bagi tujuan menghidupkan semangat perpaduan serta  sama-sama merasa  tanggungjawab terhadap apa yang berlaku pada umat Islam  keseluruhannya.
16)  Jemaah ini sentiasa berwaspada dengan tipu-helah musuh Islam, sentiasa   bersabar, tetap bekerja, berkorban dan banyak bermunajat kepada Allah   apabila menanggung penderitaan dan kecaman semasa berdakwah.
17)  Jemaah ini sentiasa menekankan kepentingan dakwah dan penegakan Negara   Islam Alamiyyah kepada anggotanya. Kegiatan dakwah yang dilakukan  adalah  sebagai saham yang berharga kepada generasi akan datang.  Ganjaran  daripada Allah akan datang kepada mereka yang beriman dan  bersabar,  didunia ini dan juga diakhirat sebagaimana firman Allah swt  dalam surah  Al-Hadiid: 28:
"Hai  orang yang beriman,  bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada  RasulNya, nescaya Allah  akan memberi rahmatNya kepada kamu dua  bahagian, dan menjadikan untukmu  cahaya yang dengan cahaya itu kamu  dapat berjalan, dan Allah akan  mengampunimu".
18) Jemaah ini  sentiasa memikirkan langkah-langkah masa depan serta  bergerak  (muharriq) untuk menyediakan kemahiran dalam berbagai bidang  seperti  pendidikan, ekonomi, perundangan, dakwah, kesihatan,  ketenteraan,  sosial dan lain-lain lagi.
19) Jemaah ini  hendaklah mengambil kesempatan dalam setiap penerokaan baru  samada  dalam bidang pemikiran, pengalaman-pengalaman dakwah, ataupun  kajian  sains selagi ia tidak menyalahi prinsip Islam.
20)  Jemaah ini sentiasa menketakutan yang dialami. Mereka ini akan terus   beribadat kepada Allah dengan tidak mempersekutukanNya dengan apa   sekalipun. Dan ingatlah, sesiapa yang kufur atau engkar sesudah itu,   maka mereka itulah orang-orang yang derhaka".
Demikianlah   penjelasan yang terperinci mengenai marhalah ini. Apa yang baik itu   sesungguhnya bersumberkan dari Allah swt, dan segala kekurangan itu   adalah merupakan kelemahan diri saya sendiri.

No comments:
Post a Comment