Hadis Sahih Muslim
Nabi  s.a.w bersabda : Terdapat seorang lelaki dari kalangan umat sebelum  kamu telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang manusia.Lalu  dia mencari seseorang yang paling alim.Setelah ditunjukkan kepadanya  seorang pendeta,lalu dia terus berjumpa pendeta tersebut kemudian  berkata : Aku telah membunuh seramai sembilan puluh sembilan orang  manusia. Adakah taubatku masih diterima? Pendeta tersebut menjawab :  Tidak.Mendengar jawapan tersebut dia terus membunuh pendeta tersebut dan  genaplah seratus orang manusia yang telah dibunuhnya.Tanpa putus asa  dia mencari lagi seseorang yang paling alim.Setelah ditunjukkan  kepadanya seorang ulama,dia terus berjumpa ulama tersebut dan berkata :  Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia.Adakah taubatku masih  diterima?Ulama tersebut menjawab : Ya! Siapakah yang boleh menghalang  kamu dari bertaubat? Pergilah ke Negeri si polan kerana di sana ramai  orang yang beribadat kepada Allah.Kamu beribadatlah kepada Allah s.w.t.  bersama mereka dan jangan pulang ke negeri kamu kerana negeri kamu  adalah negeri yang sangat hina.Lelaki tersebut beredar menuju ke tempat  yang dinyatakan.Ketika berada di pertengahan jalan tiba-tiba dia  mati,menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab bertelingkah  mengenainya.Malaikat Rahmat berkata : Dia datang dalam keadaan bertaubat  dan menghadapkan hatinya kepada Allah s.w.t. Manakala Malaikat Azab  pula berkata : Dia tidak pernah melakukan kebaikan.Lalu Malaikat yang  lain datang dalam keadaan berupa manusia dan cuba menghakimi mereka  sambil berkata : Ukurlah jarak di antara dua tempat.Mana yang lebih  hampir,itulah tempatnya.Lantas mereka mengukurnya.Ternyata mereka dapati  lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ditujunya.Akhirnya dia  diambil oleh Malaikat Rahmat. 

 
No comments:
Post a Comment