
MAKSUD HADIS ‘SESIAPA MENYERUPAI SESUATU KAUM..’
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Soalan: Dr Asri, saya ada  seorang kawan yang sentiasa berhujah dengan hadis “Sesiapa yang  menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Dengan hadis  itu beliau selalu macam kata orang lain tidak islamik sebab berpakaian  ala-Barat atau makan dengan sudu tidak dengan tangan dan lain-lain lagi.  Saya beritahu itu boleh sebab tiada dalil yang melarangnya, tapi beliau  sering berdalil “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam  kalangan mereka”. Sejauh manakah penafsiran hadis ini ?
Nurdin, Pasir Tumbuh, Kelantan.
Jawapan: Saudara, sebagai ingat;  dalam penghujahan menggunakan sesuatu hadis, terlebih dahulu hendaklah  kita semak kedudukan atau status hadis tersebut di sisi muhaddithin  (ahli hadis). Jika hadis itu didapati sabit iaitu berada pada kedudukan  (nilaian) sahih atau hasan, maka ia boleh dijadikan hujah dalam agama.  Setelah perkara tersebut dipastikan, barulah ke peringkat seterusnya  iaitu mengkaji maksud matan (teks) hadis tersebut. Bagi menjawab  persoalan yang dikemukan maka di sini disebut beberapa perkara;
1. Hadis “Sesiapa yang  menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” diriwayatkan  daripada beberapa orang sahabat; AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin  al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini;  Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain.  Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w.  806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H)  menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.
2. Hadis ini secara umumnya  memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang menyerupai  sesuatu kaum atau puak yang baik atau terpuji maka dia termasuk dalam  kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji.  Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak  baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.
3. Perkataan man tasyabbaha  (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini  merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak  yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia  akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka seperti pakaian yang khas  untuk kumpulan tertentu atau agama tertentu, atau perayaan khas untuk  agama tertentu atau majlis khas untuk puak atau agama tertentu, maka dia  dinilai dalam kalangan mereka. Adapun jika perkara tersebut bukan  khusus untuk mereka, maka itu tidak termasuk. Kata al-Imam al-Son’ani  (w. 1182H):
“Hadis menjadi dalil bahawa  sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau ahli bid’ah  dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian,  kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia  menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi  seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad  demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya.  Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir  hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan  (oleh pemerintah)”. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut:  Muassasah Fuad).
4. Ertinya, menyerupai sesuatu  yang khusus bagi agama tertentu seperti memakai salib, atau pakaian  khusus paderi dan sami, atau amalan khusus agama tertentu seperti  bertafakur di kuil dan seumpamanya adalah perbuatan yang haram. Jika ia  diikuti dengan iktikad seperti mereka, maka dia menjadi kufur.  Sementara, jika dia sekadar suka-suka, atau melakukan tanpa niat yang  kufur, amalan tersebut tetap haram. Cumanya, ulama berbeza pendapat, ada  yang menganggapnya telah kufur, ada pula yang menyatakan tidak, tetapi  berdosa.
Gambar contoh pakaian khusus bagi agama tertentu.
5. Saya menyokong pendapat yang  menyatakan sekiranya menyerupai golongan kufur tetapi tidak beriktikad  kufur perbuatan tersebut berdosa tetapi tidak terkeluar dari agama.  Namun, jika dia menyerupai mereka secara penyerupaan zahir dan juga  batin iaitu dengan iktikad yang sama, maka dia menjadi kufur. Kadar dosa  menyerupai itu berdasarkan kadar perkara yang ditiru atau diserupai.
6. Sekali lagi hendaklah kita  jelas, penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah penyerupaan  dalam perkara-perkara yang khusus untuk sesuatu puak atau agama. Jika  perkara tersebut tidak khusus untuk mereka, maka hadis ini tidak  berkaitan. Dalam dunia globalisasi, banyak unsur budaya dan adat telah  dikongsi oleh pelbagai pihak seperti pakaian, makanan, binaan dan  seumpamanya yang bukan lagi khusus untuk agama tertentu. Maka, kita  hendaklah teliti dalam menilai apa yang khusus dan apa yang umum.  Pakaian yang dipakai oleh mereka yang bukan muslim tidak semestinya  melambangkan agama mereka atau khusus untuk agama mereka. Begitu  makanan, binaan dan adat tertentu. Makan dengan sudu-garpu atau  cop-stick, berjeket, berumah ala-Inggeris atau Jepun bukanlah berkaitan  agama.
7. Dalam hadis “Sesungguhnya  Nabi s.a.w memakai jubah Rom –dalam sebahagian hadis disebut jubah  syamiah (negeri Syam)- yang sempit kedua tangan bajunya” (Riwayat  al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain). Padahal  masyarakat Rom ketika itu adalah Kristian. Demikian juga negara-negara  lain pada masa tersebut, belum lagi menganut Islam, tetapi Nabi s.a.w  memakai pakaian mereka. Ini kerana pakaian itu bukan pakaian khusus  agama.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a (meninggal 728H):
“Rasululah  s.a.w itu pernah memakai gamis (baju labuh) dan serban, baginda pernah  memakai kain sarung dan ridak (baju separuh yang dipakai bersama kain  sarung), baginda pernah memakai jubah dan farajiah (baju besar dan  panjang kedua tangannya). Baginda pernah memakai pakaian dari jenis  kapas, bulu dan selainnya. Baginda pernah memakai jubah bulu ketika  bermusafir. Baginda juga memakai apa yang dibawa dari Yaman dan  selainnya. Kebanyakannya dibuat dari kapas. Mereka (pada zaman tersebut)  juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun dari kattan. Maka, bererti  sunnah Rasulullah s.a.w dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian  dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara  ini berbagai-bagai, berdasarkan kepelbagaian negeri” (Ibn Taimiyyah,  Majmu’ah al-Fatawa, 11/541, Riyadh: Maktab al-Abikan).
8. Meniru perkara yang baik dan  bermanfaat, sekalipun ia berasal dari bukan muslim adalah tidak salah.  Apatahlagi jika perkara itu diterima oleh masyarakat awam sebagai  sesuatu yang baik dan bermanfaat. Daripada Anas bin Malik, katanya:
“Apabila Nabi s.a.w ingin  menulis surat Rum. Lalu diberitahu kepadanya bahawa mereka itu tidak  membaca surat yang tidak mempunyai cop. Lalu baginda membuat cop  daripada perak. Kata Anas: seakan aku masih melihat kilauan cop  berkenaan di tangan Nabi s.a.w. berukir Muhammad RasululLah”. (Riwayat  al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini  jelas menunjukkan baginda Nabi s.a.w meraikan dan menerima pakai  kebiasaan sesuatu kaum selagi ia tidak menyanggahi prinsip Islam.
9. Berdasarkan hadis “Sesiapa  yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” maka  muslim dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus  dikenali dengan unsur jahat yang boleh menimbulkan salah sangka orang  ramai terhadap orang yang menyerupai tersebut. Kata al-Imam al-Munawi:
“Jika puak fasik atau kaki  berfoya mengkhususkan sesuatu pakaian, maka dilarang untuk seseorang  memakainya kerana mungkin boleh menyebabkan orang yang tidak tahu  berburuk sangka bahawa dia dalam kalangan mereka (fasik dan kaki  berfoya), lalu berdosa yang berburuk sangka dan juga yang disangka buruk  disebabkan dia punca sangkaan tersebut” (al-Munawi, Faidh al-Qadir,  6/135. Beirut: Dar al-Kurub al-‘Ilmiyyah).
Maka, perbuatan anak-anak muda  atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang  dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.
10. Manusia ini cenderung  menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung  meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita  untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa  yang tersirat dalam jiwa kita.
11. Kesimpulannya; kita dilarang  meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang  khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang  negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk  agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian meniru apa  yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan muslim.


No comments:
Post a Comment