Antara Kesedaran dan Gerakan
Dalam  gerakan dakwah, terdapat dua istilah yang perlu difahami. Iaitu  kesedaran (assohwah) dan gerakan (harakah) itu sendiri. Dalam kitab  “Aulawiyat Al Harakah Al Islamiyah fi Marhalah Qadimah” oleh Doktor  Yusuf Al Qardhawi, beliau menyebutkan dalam muqaddimah kitabnya, gerakan  disebut sebagai sebuah kumpulan yang tersusun, mempunyai tujuan dan  matlamat tertentu, dan manhaj yang tersusun rapi. Manakala assohwah  bermaksud kecenderungan umum yang terpancar, merangkumi individu dan  kumpulan samada yang tersusun ataupun tidak.
Perkaitan  antara keduanya sebagaimana disebutkan oleh ulamak Mantiq adalah 'umum  wa khusus mutlak'. (Semua harakah adalah sohwah, akan tetapi bukan semua  sohwah adalah harakah). Sohwah adalah lebih umum daripada gerakan.
Tuntutan buat penggerak - penggerak Islam.
Realiti  pada hari ini memperlihatkan kerja-kerja dakwah perlu dipertingkatkan  dan sentiasa dikemaskini. Ini disebabkan umat Islam yang semakin lemah  dan musuh-musuh Islam semakin mengganas. Ditambah pula dengan neraca  timbangan umat pada masa kini yang semakin rapuh. Umat Islam sudah tidak  pandai menilai dan menimbang keutamaan gerak kerja mereka. Isu picisan  adalah pilihan kebanyakan kita.
Disebutkan  oleh Doktor Yusuf Al Qardhawi di dalam muqaddimah kitab Feqh Prioriti,  “didapati timbangan prioriti umat pada zaman ini telah rapuh di dalam  bidang yang pelbagai samada pemikiran, kemasyarakatan, ekonomi mahupun  politik.
Kenyataan  ini jelas menggambarkan kepada kita, apabila mereka yang berada di  posisi penting setiap bidang gagal memahami keutamaan gerak kerja  mereka, maka jelaslah rapuhnya timbangan mereka ke atas lima feqh yang  utama.
Apabila  disebutkan dengan pergerakan Islam, Doktor Yusuf Al Qardhawi  mentakrifkannya sebagaimana berikut : Iaitu `Amal ( bekerja ) gabungan  perkumpulan rakyat yang tersusun untuk mengembalikan Islam dimata  masyarakat sebagai satu cara hidup.
Kata  kunci bagi pergerakan Islam ialah `AMAL iaitu BEKERJA, kerja yang  sedikit dan berterusan. Bukan hanya tertumpu pada ceramah, tazkirah,  khutbah, penulisan dan risalah. Tanpa menafikan ianya adalah sebahagian  daripada gerakan dakwah, akan tetapi ianya bukanlah harakah. Firman  Allah ta`ala yang bermaksud:
Dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan".(at taubah :105)
Dakwah  Islam perlu digerakkan seluruhnya. Tidak hanya tertumpu pada satu  bidang dan mengabaikan bidang yang lain. Setiap bidang perlu diberikan  hak yang secukupnya dan berperanan membantu dakwah dari sudut masing -  masing. Jika semua ingin menjadi ketua siapa pula yang akan menjadi  ahli. Ulamak ada peranannya yang tersendiri, pemimpin dengan gaya  tersendiri, bgitu juga golongan pemikir dan juga aktivis Islam. Jika  cacat salah satu, maka akan cacat gerakan dakwah.
Dalam  konteks kita sebagai mahasiswa Islam, keempat-empat golongan tadi perlu  diterapkan dalam konteks sebuah persatuan. Persatuan adalah sebagai  medan dan alam mahasiswa adalah lapangannya. Ada pihak yang mengatakan  alam mahasiswa hanya sebagai medan latihan, tak kurang juga yang  mengatakan ia sebagai medan realiti dalam mengharungi alam mahasiswa  kerana Mahasiswa adalah pemimpin pada masa akan datang. Boleh dikatakan,  alam mahasiswa penentu halatuju kita di masa hadapan.
Tuntutan  kita kini adalah BEKERJA untuk membantu Islam. Bukan banyak bercakap  kosong. Realiti bekerja tidak sama dengan fantasi berfikir. Apabila anda  terjun ke medan, pasti akan tahu langit tinggi atau rendah.
Kesabaran  umat Islam hari demi hari makin dicabar. Jika kita masih lagi tidak  sedar dan bangkit, mungkinkah tidak ada iman dihati kita? Isu Palestin  tidak pernah reda, begitu juga isu ditempat-tempat yang lain. Malahan  lebih malang lagi, jika isu yang berlaku ditempat sendiri tidak  diendahkan.
Mudah-mudahan, segala cabaran yang datang tidak menghalang kerja-kerja dakwah diteruskan. Selamat Bekerja untuk Islam.


No comments:
Post a Comment