
sumber : Syeikh Mujahid (link)
Assalamualaikum Warahmatullah…
Sidang pengikut, pendengar yang budiman…
Di  dalam sebuah riwayat, ketika Rasulullah S.A.W sedang keluar daripada  kamar baginda menuju ke masjid, yang mana waktu itu matahari berada  sepenggalah. Kebiasaanya, para sahabat Baginda akan berada di luar untuk  bekerja, cumanya terdapat beberapa orang sahaja yang menunaikan solat  Dhuha dan sebagainya. Lalu, Baginda S.A.W ternampak seorang anak muda  yang sedang duduk di tepi sebuah tiang masjid dalam keadaan yang muram.
Lalu rasulullah S.A.W mendekatinya dan bertanya 
“Wahai anak muda, mengapa kamu berada di sini dan mengapa wajahmu di dalam keadaan sebegini”
Lalu dijawab olenya, 
“Wahai Rasulullah S.A.W, susunguhnya aku dibelenggu masalah hutang. Aku masih belum mampu membayarnya, sedang waktu perjanjianku sudah hampir dekat”
Maka, rasulullah S.A.W memberitahu kepadanya 
“Wahai anak muda, mahuukah kamu sekiranya aku memberikan satu doa agar kamu baca di waktu pagi dan petang, dan ia akan menyelesaikan segala hutangmu”
Maka, anak muda tadi tersenyum gembira dan meminta agar dibaca doa tersebut kepadanya.
Lalu, Rasulullah S.A.W membaca doa di bawah ini:
اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن , وأعوذبك من ألعجز والكسل , وأعوذ بك من البخل والجبن , وأعوذ بك من غلبة الدين وقهر الرجال .
Maksudnya:
“Ya  Allah, aku berlindung kepada-mu daripada kesusahan dan dukacita, dan  aku berlindung daripada-Mu daripada sifat lemah dan malas,aku berlindung  daripada-Mu daripada bakhil dan pengecut,dan aku berlindung daripada-Mu  daripada pengaruh berhutang dan penguasaan orang lain ke atas diri”
Lapan  Penyakit inilah perlu kita mohon agar dijauhkan daripada diri kita,  kerana ia menjadikan kehidupan kita sentiasa dilanda masalah dan jalan  yang kita lalui sentiasa gelap.
Kesusahan
Apabila  telah susah, fikiran akan terasa gelap dan buntu. Fitrah dunia ini,  kita tidak hanya mendaki jalan yang datar, tetapi kadang-kadang kita  berenang, kita melompat, kita menyeberang dan sebagainya. 
Perkara  ini merupakan jalan yang perlu ditempuhi oleh setiap orang. Jika, ia  merasa besar soal kesusahan itu maka ia pastinya tidak akan nampak jalan  di depannya. Yakinlah bahawa setiap perkara ada jalan penyelesaiannya.
Dukacita
Berlindunglah  daripada Allah S.W.T daripada sifat dukacita seperti kehilangan barang  yang dikusai, kematian orang yang disenangi, bahaya yang datang  tiba-tiba, barang yang hilang dan sebagainya. Kalau kesusahan telah  sebabkan fikiran kita kusut, maka jalan yang kita tempuhi pastinya  gelap.
Lemah
Iaitu  lemah fikiran, tiada kekuatan lagi. TIada inisiatif lagi untuk  melakukan sesuatu, hanya berserah. Belum lagi melakukan sesuatu hati  telahpun kusut, sedangkan jika cuba diselesaikan, Insyaallah.
Malas
Kalau  sudah malas, apa yang boleh dikatakan lagi. Ingin itu dan ini, tetapi  ikhtiar tidak ada. Ada pepatah orang tua-tua ketika zaman penjajahan  dahulu 
“Mati Belanda kerana pangkat, mati Cina kerana kaya, maka Kelin kerana makanan, mati Melayu atau Indonesia kerana angan-angan”
Berangan-angan,  tetapi malas. Orang yang malas itu longlai saja jalannya, suram saja  pandangannya, tak jauh memandang.. itu penyakit yang perlu dijauhi.
Bakhil 
Ini  lebih berbahaya lagi. Dikumpulnya harta banyak-banyak, dengan maksud  untuk menguasai hata itu, hakikatnya harta itu telah menguasainya. Siang  dan malam hanya duduk mengumpul harta, akhirnya tiada faedah yang  didapatinya. Seingat saya, dalam tahun 40-an, ketika saya masih tinggal  di Medan, ada seorang kaya yang suka mengumpul harta. 
Terkenal  kaya di medan dengan puluhan rumah yang disewakannnya. Dia berjalan di  jalan dengan payung satu, sedangkan orang lain telah pun pakai mobil  (kereta). Maka, anaknya ambil pelung daripada kekayaan ayahnya. 
Lalu ditanya orang 
“Tuan, anak tuan telahpun pakai mobil (kereta), sedangkan tuan masih berjalan kaki.”
Lalu dijawab oleh si bakhil tadi, 
“Saya anak orang miskin, anak saya anak orang kaya”.
Begitulah, dia bukan mencari harta untuk keperluannya, tetapi adalah untuk dikuasai oleh hartanya.
Pengecut
Yang ini lebih teruk. Pengecut ini menjadikan separuh daripada kehidupan manusia dalam kebimbangan. Ada pepatah menyebutkan 
“kalau dikau berniaga, kalaupun engkau tiada modal, maka berani itulah modal terbesar”
Sesuai dengan pepatah Melayu atau pepatah Indonesia lama, 
“Putuslah tali layang-layang, robek kertas tentang bingkai, hidup jangan mengepalang (tanggung-tanggung), tidak kaya, berani pakai"
Keberanian  itu adalah modal. Sebab itu, kalau orang rugi berniaga, itu belum  bermakna rugi, yang penting berani, kerana kadang-kadang perniagaan itu  rugi. Tetapi. Kalau keberanian hilang, maka separuh daripada perniagaan  sudah hilang. 
Kalau  kekayaan besar, tetapi kepercayaan tiada, maka seluruhnya telah hilang.  Walaupun berjuta yang tinggal dalam tangan, kalau orang tidak percaya,  apa lagi ertinya. Sebab itu yang pertama sekali keberanian menghadapi  hidup.
Pengaruh Hutang
Itulah yang melanda anak muda yang duduk di anjung masjid tadi. Sebab itulah rasulullah bersabda 
“Berwaspadalah agar jangan berhutang, hutang itu menjadi kesusahan pada malam hari, kehinaan pada siang hari”
Boleh  itu memang boleh juga berhutang, tetapi kalau keberanian tidak ada,  keberanian itu membuka jalan untuk membayar hutang. Tetapi kalau  pengecut, susah untuk bayar hutang. Sebab itulah nabi mengingatkan agar  berjaga-jaga dengan hutang, kerana susah memikirkan hutang dan mata tak  mahu tidur. 
Maka  jadilah kehinaan pada siang hari, badan berasa hina, tak berani keluar  daripada rumah. Bandar Jakarta yang begitu besar, dengan jalan yang  pelbagai, tetapi kerana hutangnya, maka tersekat jalannya kerana  hutangnya. Sebab itulah, hutang itu menjadikan kesusahan untuk tidur,  dan malu apabila siang hari, takut ditanya oleh orang.
Pengaruh orang lain ke atas diri
Iaitu  tidak punyai kemerdekaan diri kerana terlalu banyak terhutang budi  kepada orang, sehingga mulut tidak boleh bercakap lagi dan ditekan oleh  terhutang budi kepada orang lain. Inilah yang disebut kepada anak muda  yang duduk di masjid tadi.
Maka,  dapatlah kita mengambil pedoman dalam kehidupan kita sendiri,bahawa  yang lebih penting adalah kemerdekaan jiwa. Kalau sekiranya, di dalam  Negara yang telah merdeka, kita melaungkan kemerdekaan di mana sahaja  kita pergi, namun ramai orang yang lupa, negaranya telah merdeka,  dirinya sendiri yang terjajah, bukan Belanda kerana ia sudah lama  beredar daripada Negara kita, bukan juga bangsa yang lain, tetapi  penjajahan yang datang daripada sifat yang lemah yang kita katakan tadi.  
Kalau  kesusahan yang kita turutkan, maka jalan kita akan menjadi buntu.  Sentiasa susah pagi, petang dan malam. Padahal, pangkal dari kesusahan  itu bukan dari luar, tetapi dari dalam jiwa kita sendiri.
Yang  kedua, dukacita. Saya teringat pantun Melayu atau Indonesia yang  berbunyi “Kalau berbiduk jangan bermenung, kalau bermenung riak pun  tiba, kalau duduk termenung, kalau termenung hati pun hiba”. Kalau hati  telah hiba, jalan pun kusut. Ada juga pepatah orang tua kita “Hati yang  marah mendorongkan, hati yang hiba menjauhkan”. Sebab itu, haruslah kita  bersedia untuk membesarkan jiwa kita sendiri. 
“مرفوع الراس , موفور الكرامة “ 
Kepala terangkat, harga diri terjaga.
Seterusnya,  malas dan lemah. Kenapa lemah sahaja? Kelemahan ini ada juga kerana  penyakit. Kalau perlu, pergilah kepada doktor, Psikitari. Kerana  kelemahan ,jiwa, kemalasan, yang mana pangkalnya daripada jiwa, maka  ahli-ahli ilmu yang mendalam pengetahuannya yang tahu tantang hubungan  rohani dan jasmani, sehingga timbul ilmu yang dinamakan Psikoterapi,  yang menganalisis jiwa daripada puncanya sehingga timbul malas dan  lemah. 
Kita  perlukan kuatnya pemikiran, kerana apabila adanya jiwa yang besar, maka  segala pekerjaan dilihat kecil, tetapi jika jiwanya kecil, maka segala  pekerjaan yang kecil dilihat besar.
Seterusnya,  kita berlindung daripada sifat Bakhil. Menerima mahu banyak,  mengeluarkan paling sedikit. Dia anggap sebagaimana saya katakan tadi,  menguasai harta. Akhirnya tidak dia sedari, bahawa harta itu  menguasainya. Kerjanya hanya kumpul harta. Apabila dia meninggal,  tinggalkan semua harta, dan si anak mulalah berebut hartanya. Nikmatnya  orang lain yang rasai, dia sengsara.
Apatah  lagi orang yang pengecut, disangka pohon yang bergerak di malam hari  itu hantu, dan pengsan kerana berlari terlalu kuat sebab pengecut.  Padahal di dalam keterangan Agama, orang yang beriman kepada Allah itu  ialah sebagaimana firman-Nya 
“Jangan engkau merasa lemah, jangan merasa dukacita, jangan merasa pengecut, dan kamu tinggi di sisi Allah jika kamu beriman kepada Allah S.W.T”.
Dengan iman kepada Allah S.W.T, kita melihat alam, dan dalam kekecilan alam itu, Allah S.W.t yang Maha Besar. Inilah pokoknya.
Kemudian  pada nombor tujuh, kita berlindung kepada Allah daripada pengaruh  hutang. Alangkah kecilnya jiwa orang apabila telah berhutang, maka  apabila tidak mampu membayar hutang, timbullah kecil hati kerana malu.
Yang  kelapan, sebagaimana telah kita huraikan tadi, adalah pengaruh orang  lain kepada diri kita, sehingga tidak berani lagi menyatakan kebenaran,  tidak berani menyebut yang hak. Kita tidak berani kerana banyaknya  terhutang budi pada orang. Walaupun telah jelas perbuatan orang itu  salah, kita tidak berani lagi menyebutnya. 
Maka,  timbullah dalam masyarakat apa yang disebut di dalam bahasa arab  sebagai “Munafiq” iaitu lain di mulut, lain di hati. Di hati mengatakan  salah, tetapi di mulut mengatakan perbuatan orang yang salah itu betul.  Ini kecelakaan yang nombor lapan. Kita berlindung daripada Allah S.W.T  supaya kita dilepaskan daripada pengaruh orang sehingga tidak berani  lagi mengatakan kebenaran padahal di dalam hadith disebutkan:
“ قل الحق ولو كان مرا “
maksudnya katakanlah yang benar itu walaupun ianya pahit. 
Di bibir memang mudah menuturkan, tetapi jika hati sudah tertutup, tidak berani menyebutkannya lagi.
Para  pengikut sekelian, itulah lapan perkara yang diingatkan, diajarkan, dan  disuruh hafal oleh Nabi kepada pemuda yang duduk termenung di tepi  masjid itu tadi. Lalu, dia fahami, dibaca setiap pagi dan petang, lalu  timbul semangat dan kekuatan yang baru. Langit kelihatan bercahaya,  bintang berkelip-kelip, dan beliau nampak kehidupannya. Maka, beliau  kembali kepada Nabi dan mengucapkan syukur kerana hutangnya telah  berjaya dipulihkan.
Moga-moga  ianya jadi pedoman bagi kita kaum Muslimin. Jika terjadi salah satu  daripada perkara yang lapan di atas, maka bacalah doa ini pagi dan  petang. Jangan lupa berusaha, tidak cukup dengan hanya berdoa. Berusaha  dan berdoa, Allah S.W.T akan membuka pintu Rahmat-Nya, memberikan nikmat  yang berlipat ganda, sehingga sesuatu di kiri dan kanan kita akan  menjadi inspirasi dan motivasi untuk maju ke depan.
Saudara-saudara  yang saya muliakan, moga-moga pengaruh daripada doa ini masuk ke dalam  diri saudara dan saudara menjadi orang Muslim yang merdeka dan sejati.  Sekianlah pandangan saya, moga-moga ada manafaatnya bagi para pendengar  yang tercinta.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh..
Diadaptasikan oleh penulis daripada rakaman pengajian Prof Hamka yang bertajuk “Pegangan Hidup”

No comments:
Post a Comment