Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, April 27, 2011

Manusia Yang Lupa Diri

Penciptaan manusia yang bermula dari setitis air mani yang mengandungi berjuta-juta sperma, telah jelas diterangkan di dalam al Quran. Hari ini, sains juga telah menceritakan perkara yang sama sepertimana yang terkandung di dalam al Quran, tetapi masih ramai yang lupa bahawa dirinya sememangnya hina.

Bayangkanlah, dalam berjuta-juta sperma, kita adalah salah satu yang “bertuah” dapat bergabung dengan ovum, lalu membentuklah diri kita. Semua ini adalah kerana kasih sayang Allah. Pernahkah anda terfikir, apakah yang akan terjadi sekiranya sperma lain yang bergabung dengan ovum? Adakah diri kita ini juga yang akan terbentuk? Atau kita tidak akan wujud?

Semua persoalan ini sudah jelas di hadapan mata manusia, tetapi mereka masih angkuh dengan kedudukan dan pangkat yang ada. Hinanya manusia. Dengan bermula dengan sperma yang berenang di dalam air mani yang tiada harga, manusia masih boleh memperlecehkan hukum Allah.

Allah SWT berfirman

Kamilah yang telah menciptakan kamu (dari tiada kepada ada – wahai golongan yang ingkar), maka ada baiknya kalau kamu percaya (akan kebangkitan kamu hidup semula pada hari kiamat). (Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim) (Surah al Waqiah : 57-58)

FirmanNya lagi

Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami (Allah) kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (Surah at Tin : 4-6)


Jenis Manusia Yang Tidak Sedar

Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)

Allah SWT telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya dan berkelengkapan sesuai dengan keadaan manusia. Dengan segala anggota yang cukup dan lengkap, yang mampu untuk digunakan untuk ke jalan yang betul dan akal yang sempurna. Akallah yang membezakan manusia dengan binatang yang hanya hidup untuk kepuasan nafsu semata-mata.

Hari ini, bentuk manusia yang cantik ini, telah dijadikan sebagai alat untuk menjahanamkan Islam dari dunia ini, sedangkan tubuh mereka itu sendiri diciptakan oleh Allah. Lihatlah, dengan menggunakan lidah, mereka memburuk-burukkan Islam, mengkritik hukum Allah dan mencemuh alim ulama’.

Tangan yang pada mulanya lembut diciptakan dengan penuh seni, apabila dewasa, tangan inilah yang menyekat dakwah Islam, menerima duit-duit haram dan mengenakan tindakan untuk memastikan Islam lenyap. Mereka lupa Allah, Tuhan empunya Islam, yang telah menghidupkan mereka dengan kasih sayang sehingga mereka dapat menghirup nikmat Allah pada hari ini.

Akal mereka yang menjadi tembok perbezaan dengan binatang, telah hancur atas sebab penyalahgunaan terhadapnya. Dengan menggunakan akal, mereka berfikir strategi-strategi untuk meranapkan Islam, memikirkan bagaimana hendak melenyapkan institusi ulama, memikirkan bagaimana hendak mengasingkan Islam dan politik.

Mereka ini telah menyalahgunakan anggota tubuh yang diciptakan oleh Allah dengan begitu unik dan cantik. Apakah masih tidak cukup penciptaan Allah itu, sehingga perempuan-perempuan murahan bertungkus lumus menyolekkan muka mereka sehingga memperlihatkan kehuduhan? Tidak cukupkah dengan tubuh yang ada sehingga sanggup ber“korban” untuk mencantikkan tubuh kononnya?

Jenis Manusia Yang Tak Reti

Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami (Allah) kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah,

Apabila manusia sudah mencapai umur yang tua, sebahagian daripada mereka kembali menyedari perbuatan mereka, tetapi masih ramai yang terus sesat di dalam kekaratan jahiliyyah. Adakah mereka yang tua sahaja perlu diberi peringatan? Tidak, orang yang muda yang menyalahgunakan anggota mereka juga termasuk di dalam peringatan ini.

Ramai orang yang tua, apabila sudah sampai waktunya, mereka kembali nyanyuk atau bersifat seperti sifat kebudak-budakan. Tetapi kita jangan lupa, soleklah seberapa mampu, muka itu tetap akan berkedut. Akan ternampaklah lipatan-lipatan, walaupun kamu menggunakan apa sahaja alat solek sekalipun. Soleklah, kamu akan berkedut juga.

Orang yang menggunakan kelengkapan yang diberikan kepada mereka untuk menjahanamkan Islam, mereka lebih teruk daripada mana-mana haiwan. Binatang yang tidak reti untuk berfikir, lebih mulia daripada mereka. Anjing atau babi bukanlah gelaran yang sesuai bagi mereka, bahkan lebih teruk.

Allah SWT berfirman

Dan sesungguhnya Kami jadikan neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al Araf :179)

Inilah manusia yang menyalahgunakan kelengkapan anggota yang telah dibentuk oleh Allah SWT untuk melakukan perintah, dan menjauhi laranganNya, tetapi mereka telah melakukan jenayah. Sebuah jenayah terhadap Tuhan, yang layak dihakimi di mahkamah Allah SWT yang langsung tiada penipuan, rasuah dan sebagainya sepertimana mahkamah manusia.

Kesimpulan : Manusia Yang Mendapat Tempat

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.

Inilah satu perbandingan mudah yang Allah SWT sebut di dalam al Quran. Tetapi golongan ini sentiasa ditindas oleh golongan sebelum ini. Pelbagai cemuhan dan tohmahan terus ditujukan kepada mereka dengan tujuan menjahanamkan orang-orang Soleh ini dari muka bumi maksiat mereka.

Walaupun mereka sentiasa dibelenggu kesusahan, tetapi mereka inilah yang mendapat tempat di sisi Allah. Mereka sentiasa teguh dengan iman dan Islam mereka walaupun dijatuhkan dari segenap sudut melalui perancangan-perancangan jahat golongan pertama tadi. Golongan inilah yang bakal menghuni neraka yang sememangnya disediakan untuk mereka.

No comments:

Post a Comment