"Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!"
Ungkapan  ini pernah dilaung-laungkan pada zaman 1960an dahulu. Ungkapan ini juga  membuktikan mahasiswa pada zaman tersebut cukup berperanan dalam  mengubah sosiopolitik setempat. Lipatan sejarah telah membuktikan bahawa  mahasiswa mempunyai kepentingan mereka dalam menjadi agen perubah. 
Pepatah arab ada menyatakan 
"Pemuda hari ini adalah pemimpin masa depan"
Saya suka untuk mengungkapkan pemuda dengan kalimah mahasiswa..
Islam dan Mahasiswa
Islam  meletakkan pemuda di tempat yang tinggi. Barisan pemuda, sejak dahulu  hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu  umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-mana kebangkitan. Malahan  angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang panji-panji bagi  sesuatu fikrah perjuangan.
Allah berfirman;
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka. (Kahfi:13)
Keyakinan,  kejujuran, semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama  pemuda. Ini disebabkan pemuda bakal berhadapan dengan kewajipan yang  maha banyak, tugas yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian  berlipatganda, malah di zaman muda ini jugalah amanah yang dipikulkan ke  atas bahu mereka itu akan menjadi bertambah berat.
Jika  disingkap kembali sejarah, Rasulullah saw dibangkitkan dengan anak-anak  muda yang berani menentang arus jahiliyah. Bahkan Baginda saw juga  adalah pemuda yang memimpin perubahan. Mereka sanggup menyingsing lengan  dan berhadapan dengan penguasa yang zalim. Madrasah Nabi Muhammad saw  telah melahirkan ramai pemuda-pemuda dakwah. 
Diantaranya  Mus`ab bin `Umair, Talhah bin `Ubaidillah, Zubair bin Al Awwam, Saidina  Abu Bakar, Uthman bin `Affan dan Arqam bin Abi Arqam. Mereka adalah  anak-anak muda yang terasuh dengan semangat kental oleh baginda saw.
Diantara  nikmat yang perlu dijaga sebagaimana yang disebutkan oleh baginda saw  di dalam hadith adalah nikmat muda. Sabda nabi saw yang bermaksud :
“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).
Pemuda juga adalah golongan yang sentiasa berdampingan dengan Nabi Muhammad SAW..
Kebangkitan Mahasiwa seluruh dunia
Sejarah  dunia ini dilakarkan warnanya oleh anak-anak muda. Mereka mempunyai  kekuatan semangat, cita-cita, keazaman, dan idealisma untuk merubah dan  menjadi agen perubah. Jose Rizal lewat karyanya `Noli Me Tangere` (1887)  menjadi ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga membawa  kepada pembunuhan beliau secara tragis. 
Di  Cina, tokoh-tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao dan Cen Tu  Shiu menjadi penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919. Ia berjaya  meledakkan kebangkitan komunsime sehingga tertegaknya Republik Rakyat  Komunis pada tahun 1949. Begitu juga di Rusia, anak-anak muda kampus  melakar sejarah apabila menggerakkan Revolusi Bolshevik 1917 kesan  dipengaruhi doktrin komunis.
Negara  jiran Malaysia, iaitu Indonesia turut tidak ketinggalan. Anak-anak muda  melatari perjuangan menentang penjajah Belanda. Diketuai oleh Raden  Anjeng Kartini dengan gerakan sosialnya, malahan beliau meninggal dunia  pada umur yang sangat muda.
Siapa  yang tidak mengenali, Soekarno merupakan pemimpin mahasiswa dinamis  keluaran Kolej Teknologi Bandung. Pidatonya yang memukau telah  membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di  bawah panji `sang saka Merah putih` seterusnya memimpin perang Revolusi  1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia. Satu lagi gerakan  yang dominasi di Indonesia ialah angkatan muda dalam Majlis Syura  Muslimin (MASYUMI) yang meniupkan semangat jihad kepada anak-anak muda  untuk menentang penjajah dan menegakkan syariat Islam di Indonesia.
Di  Mesir, tokoh seperti Syeikh Muhammad Abduh yang berlatarkan Universiti  Al Azhar mengembangkan idea `Pan Islamisme` berhadapan dengan pemecatan  beliau dari Universiti tersebut akibat aura Pan Islamisme yang mengancam  hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir. 
Hassan  Al Banna (1906-1949) juga masih muda ketika menubuhkan gerakan Ikhwanul  Muslimin di Ismailiah pada 1928 sehingga ianya sangat fenomenal pada  abad ke 20. Pada tahun 1933, pusat gerakan IM dipindahkan ke Kaherah  untuk menyebarkan pengaruh kepada seluruh mahasiswa seluruh dunia yang  menuntut di Al Azhar. Ternyata ianya berhasil apabila fikrah Ikhwan dan  idea perjuangan mereka dibawa ke negara masing-masing.
Bumi  bertuah Malaysia turut melalui zaman kegemilangan tersebut. Lepasan Al  Azhar yang pulang ke tanah air menjadi nadi utama dalam membebaskan  Tanah Melayu pada ketika itu dari penjajah. 
Syed  Syeikh Al Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Abbas Kali diantara yang  mempelopori gerakan pada masa itu. Dr Burhanuddin Al Helmi turut  mewarnai politik Malaysia apabila melonjakkan momentum perjuangan  kemerdekaan Tanah melayu. Kepulangan beliau dari India membawa bersama  idealisme tokoh-tokoh nasionalis di sana. Kritikan bernas beliau  terhadap Inggeris menerusi akhbar Taman Bahagia menyebabkan belia  dipenjara pada tahun 1937.
Di  beberapa negara lain seperti Thailand, Burma, Afghanistan dan Algeria,  masing-masing menyaksikan peranan mahasiswa yang cukup besar dalam  membentuk sosio politik sesebuah negara. Apabila ada pihak yang cuba  menafikan peranan mahasiswa, barangkali mereka ini buta sejarah.


No comments:
Post a Comment