Peristiwa Hadis Ifki ialah peristiwa fitnah terhadap Saidatina Aisyah,  yang berlaku selepas Perang Bani Mustalik. Beliau telah difitnah dengan  Safwan bin Mu’atthal, kerana pulang dengan menaiki kenderaan beliau.  Fitnah ini dikepalai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, yang sudah lama  menyimpan dengki dengan Baginda SAW, dan beliau adalah seorang munafik.  Plot-plot peristiwa ini seperti berikut :
1. Peperangan Bani  Mustalik berlaku, di sebuah tempat yang bernama Muraisi’. Ia berlaku  selepas turunnya ayat yang mensyariatkan berhijab. Di dalam peperangan  ini, Nabi Muhammad SAW membawa Saidatina Aisyah bersama, dan beliau  ditempatkan di dalam sebuah kenderaan berbentuk rumah.
2. Ketika  dalam perjalanan pulang di waktu malam, gerombolan Islam singgah di  sebuah tempat, untuk berehat. Di kesempatan tersebut, Saidatina Aisyah  keluar daripada kenderaannya untuk membuang air. Setelah selesai  membuang air, Saidatina Aisyah kembali ke kenderaannya. Tetapi, beliau  dapati rantai emasnya tercicir semasa perjalanan pulang setelah membuang  air. Lalu beliau berpatah balik, mencari rantai emasnya.
3.  Dalam pada itu, umat Islam mula bergerak setelah berehat beberapa  ketika. Disebabkan tubuh Saidatina Aisyah agak ringan, maka, mereka yang  ditugaskan untuk mengusung kenderaannya tidak menyedari bahawa beliau  tiada di dalam kenderaan tersebut.
4. Setelah menemui rantai  tersebut, Saidatina Aisyah bergegas ke tempat persinggahan. Malangnya,  gerombolan Islam sudahpun meninggalkan tempat tersebut. Saidatina Aisyah  menanti supaya tentera Islam menyedari kehilangannya. Dalam pada itu,  beliau tertidur.
5. Dalam masa yang sama, Safwan bin Mu’atthal  adalah seorang yang paling akhir di dalam gerombolan tersebut. Apabila  beliau melalui kawasan persingahan umat Islam tadi, beliau mendapati  Saidatina Aisyah sedang tidur. Beliau mengenali Saidatina Aisyah kerana  pernah melihatnya sebelum penurunan ayat hijab.
6. Apabila  menyedari kehadiran Safwan, Saidatina Aisyah segera menutup hijabnya.  Tanpa berkata sepatah pun, Safwan menurunkan kenderaannya untuk dinaiki  oleh Saidatina Aisyah. Lalu, beliau membawanya pulang ke Madinah, tanpa  sepatah perkataan pun.
7. Setibanya di Madinah, berita tersebut  sampai ke pengetahuan Abdullah bin Ubai bin Salul. Lalu beliau  menyebarkan berita fitnah terhadap kesucian Saidatina Aisyah RA. Dalam  masa yang sama, setelah tiba di Madinah, Saidatina Aisyah mengalami  demam panas, dan beliau tidak mendengar gembar gembur fitnah tersebut.
8.  Beliau menyedari kelainan pada Baginda SAW, yang tidak mesra seperti  sebelumnya. Setelah sebulan berlalu, barulah beliau mengetahui bahawa  kesuciannya telah difitnah. Satu hari Baginda SAW bertemu dengan  Saidatina Aisyah meminta penjelasan. Setelah membuat penafian, turunlah  ayat 11-20 Surah an Nur yang menyucikan beliau daripada fitnah Abdullah  bin Ubai.
Allah SWT berfirman
Maksudnya  : Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu, adalah dari  kalangan kamu juga. Janganlah kamu sangka berita bohong itu membawa  keburukan kepada kamu. Setiap orang dari kalangan mereka, mendapat dosa  dengan apa yang mereka kerjakan. Dan siapa di antara mereka yang  mengambil peranan terbesar dalam menyebarkan berita tersebut, akan  menerima azab yang besar. Mengapakah ketika kamu mendengar berita bohong  tersebut, orang beriman tidak bersangka baik terhadap diri mereka? Dan  mengapakah mereka tidak katakan bahawa ini adalah berita palsu yang  jelas nyata? Mengapakah mereka yang membuat berita bohong itu, tidak  mendatangkan empat orang saksi terhadap berita tersebut? Oleh kerana  mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itulah di sisi  Allah adalah orang yang berdusta. Sekiranya tiada kurniaan Allah serta  rahmatNya bagi kamu di dunia dan akhirat, sudah pasti kamu akan ditimpa  azab disebabkan berita bohong tersebut. (ingatlah) sewaktu kamu  mendengar berita bohong tersebut dari mulut ke mulut, dan kamu pula  katakan dengan mulutmu tentang sesuatu yang kamu tidak tahu sedikit pun,  bahkan kamu menganggapnya sebagai satu perkara remeh, padahal ia besar  di sisi Allah. Dan mengapakah kamu tidak katakan ketika mendengar berita  bohong tersebut, bahawa sangat tidak wajar kita memperkatakannya, Maha  Suci Engkau (wahai Allah), ini adalah dusta yang besar. Allah  memperingatkan kamu agar tidak kembali seperti ini, sekiranya kamu ini  beriman. Dan Allah telah menjelaskan ayat-ayatnya kepada kamu, dan Allah  Maha Mengetahui, dan Maha Bijaksana. Sesungguhnya mereka yang inginkan  berita bohong tersebut, tersebar di kalangan orang beriman, akan  menerima azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah Maha  Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahuinya. Kalaulah bukan  disebabkan kurniaan Allah serta rahmatNya bagi kamu, sudah pasti kamu  akan ditimpa azab disebabkan berita bohong tersebut. Sesungguhnya Allah  Maha Penyantun, lagi Maha Penyayang (Surah an Nur : 11 - 20)
Pengajaran Daripada Peristiwa Hadis Ifki
Lihatlah  beberapa peringatan yang telah Allah berikan, daripada kisah ini,  supaya kita berjaga-jaga apabila difitnah. Berdasarkan firman Allah SWT  sebelum ini, dapat dipetik beberapa pengajaran.
1. Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu, adalah dari kalangan kamu juga. Mereka  yang menyebarkan fitnah, adalah dari kalangan orang Islam, tetapi  mereka ini munafik. Maka, Allah SWT mengingatkan kita supaya  berhati-hati dengan bahaya golongan munafik, yang merosakkan kesatuan  Islam dari dalam.
2. Janganlah kamu sangka berita bohong itu membawa keburukan kepada kamu.  Setiap fitnah yang dilemparkan kepada kita, adalah ujian daripada Allah  SWT. Di sana sudah pasti terdapat hikmahnya yang besar. Maka, Allah  mengingatkan kita supaya bersabar dengan ujian ini.
3. Dan siapa di antara mereka yang mengambil peranan terbesar dalam menyebarkan berita tersebut, akan menerima azab yang besar. Allah mengingatkan kita supaya tidak terlibat sama dalam menyebarkan fitnah.
4. Mengapakah ketika kamu mendengar berita bohong tersebut, orang beriman tidak bersangka baik terhadap diri mereka?  Kita perlu bersangka baik terhadap sesama kita, yang beriman kepada  Allah SWT. Maka, Allah memperingatkan kita supaya bersangka baik sesama  kita apabila mendengar sesuatu yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.
5. Dan mengapakah mereka tidak katakan bahawa ini adalah berita palsu yang jelas nyata?  Allah memperingatkan kepada kita, supaya tidak tergesa-gesa mempercayai  sesuatu berita, tanpa menyelidiknya terlebih dahulu. Mengapa terus  mempercayainya sedangkan kita tidak tahu kebenarannya? Kenapa tidak  menafikannya?
6. Mengapakah mereka yang membuat berita bohong itu, tidak mendatangkan empat orang saksi terhadap berita tersebut?  Syariat telah menetapkan sebanyak empat orang saksi untuk tuduhan zina.  Maka, Allah memperingatkan kita supaya tidak cepat menghukumkan zina  kepada seseorang. Sebaliknya, sesiapa yang gagal mendatangkan empat  orang saksi tersebut, mereka akan dihukum qazaf.
7. (ingatlah)  sewaktu kamu mendengar berita bohong tersebut dari mulut ke mulut, dan  kamu pula katakan dengan mulutmu tentang sesuatu yang kamu tidak tahu  sedikit pun, bahkan kamu menganggapnya sebagai satu perkara remeh,  padahal ia besar di sisi Allah. Allah memperingatkan kita supaya  tidak menyebarkan sesuatu yang tidak dapat kita pastikan kebenarannya.  Bahkan kita jangan menyangka bahawa menyebarkannya adalah satu perkara  yang remeh. Hakikatnya ia cukup memberi kesan.
8. Dan  mengapakah kamu tidak katakan ketika mendengar berita bohong tersebut,  bahawa sangat tidak wajar kita memperkatakannya, Maha Suci Engkau (wahai  Allah), ini adalah dusta yang besar. Allah memperingatkan kita  supaya kita menegur dan bertegas terhadap sesiapa yang menyebarkan  sesuatu yang mereka tidak dapat pastikan kebenarannya. Kita perlu  memberi amaran kepada mereka yang berbuat demikian.
9. Allah memperingatkan kamu agar tidak kembali seperti ini, sekiranya kamu ini beriman.  Allah memperingatkan kita supaya tidak mengulangi perbuatan ini. Iaitu  janganlah kita cepat mempercayai sesuatu berita, dan menyebarkannya  tanpa kita ketahui kebenarannya.
10. Kalaulah  bukan disebabkan kurniaan Allah serta rahmatNya bagi kamu, sudah pasti  kamu akan ditimpa azab disebabkan berita bohong tersebut. Allah  memperingatkan kita supaya sentiasa bersyukur kepada Allah kerana  memelihara kita selama ini daripada fitnah dan sebagainya. Maka,  hendaklah kita meminta kepada Allah SWT supaya dihindarkan diri daripada  perkara terkutuk ini.

No comments:
Post a Comment