Tiba-tiba sahaja saya teringat akan peristiwa seorang ADUN non muslim  masuk ke dalam surau dengan memberikan tazkirah pada tahun lepas yang  akhirnya telah diperbesarkan oleh sesetengah pihak. Dan apa yang dapat  saya perhatikan, ramai yang tanpa ilmu telah menyalahkan ADUN non muslim  tersebut tanpa melihat pendapat-pendapat ulama' terlebih dahulu. Jadi  di sini, saya datangkan dalil dan  pendapat ulamak tentang masalah non  muslim masuk masjid sebagai pencerahan kepada fikrah kita semua.  Pendapat  As-Syafi’iyaah mengatakan bahawa :
“Sesungguhnya  diharuskan bagi  kuffar (non-muslim) masuk masjid dengan kebenaran  orang Islam kecuali  Masjid al-Haram dan setiap masjid di Tanah Haram.”
Pendapat dari Syeikh `Atiyyah Saqr, & Syeikh Muhammad Saleh Al-Munajjid mengatakan bahawa :
“Adalah   ditegaskan yang Islam menggalakkan toleransi dan kewujudan bersama   secara aman antara Muslims dan non-Muslim. Jika non-Muslim masuk ke   masjid utk menyampaikan ucapan yang boleh membawa kpd persefahaman lebih   baik, maka ia amat di alu-alukan dan digalakkan mengikut pandangan   agama. Islam ialah agama yg mengamalkan dialog yang bermanfaat dalam   maksud sebenar. Sejarah Muslim ialah satu contoh yg baik berkenaan hal   ini.”
Dari pandangan  di atas, mengatakan bahawa orang non  muslim  tidak boleh menjejak kaki atau masuk ke dalam Masjid Al-Haram  dan  masjid-masjid lain yang terdapat di tanah haram Mekah dan Madinah.   Firman Allah swt yang bermaksud :
“(Hai orang-orang yang  beriman,  Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis (tidak suci),  maka  janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini. Dan  jika  kamu khawatir menjadi miskin maka Allah nanti akan memberimu  kekayaan  kepadamu dari karuniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya  Allah Maha  Mengetahui lagi Maha Bijaksana.)”  (At-Taubah : 28)
Mengikut   pandangan dari Ulamak Syafi’i mengatakan bahawa orang non muslim tidak   dibenarkan masuk Masjid Al-Haram dan masjid-masjid sekitar tanah  haram.  Selain dari masjid-masjid tanah haram dibolehkan masuk dengan  keizinan  orang Islam. Ini bertujuan untuk mendekatkan non muslim  terhadap  keindahan Islam dan membenarkan mereka melihat segala aktiviti  ibadah  yang terdapat dalam masjid tersebut. Ini bertepatan dengan  Pandangan  Fatawa Al-Lajnah Al-Da’imah – Jawatan kuasa Tetap Utk Kajian  Islam dan  Ifta’ mengatakan bahawa :
“Dibenarkan jika ia  menepati matlamat  Syariah atau menepati sebab penting, seperti jika  non-Muslim perlu masuk  ke masjid untuk mendengar sesuatu yang mungkin  menggalakkan nya utk  memeluk Islam, atau dia perlu minum air, atau  seumpamanya. Ini adalah  cara Rasulullah saw dengan mengikat tawanan  Baginda  Thamaamah ibn Athal  Al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menjadi  Muslim, dan rombongan dari  Thaqif dan Kristian dari Najran tinggal di  masjid sebelum mereka memeluk  Islam. Sebenarnya, banyak manfaat  diperolehi dari hal ini. Mereka boleh  mendengar ucapan dan khutbah  Rasulullah saw untuk melihat orang solat  dan membaca Al-Qur’an, dan  sebagainya."
Sebagai tanda menghormati  rumah Allah, maka  orang non muslim mestilah menutup auratnya seperti  orang muslim, kerana  ini tanda penghormatan mereka kepada umat Islam.  Hal ini juga telah  dipraktikkan di masjid Putrajaya, Masjid Negara dan  lain-lain yang  membenarkan pelancong non muslim masuk masjid dengan  memakai jubah dan  tudung khas yang disediakan kepada mereka yang ingin  memasuki masjid  tersebut.   Di  sini juga secara tidak langsung proses dakwah itu  berlaku kepada mereka  dengan memperlihatkan mereka tentang keindahan  seni bina Islam, melihat  info-info Islam dalam masjid dan melihat  segala aktivi-aktivi yang  terdapat dalam masjid. Betapa untungnya kalau  orang non muslim tertarik  kepada Islam dengan kesan melihat keindahan  masjid sahaja.

No comments:
Post a Comment