Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Monday, April 25, 2011

Mukmin Berakhlak Mulia

Islam meletakkan aspek akhlak di kedudukan tertinggi sekaligus membuktikan Islam merupakan agama yang mementingkan keperibadian ummah yang luhur. Malah Nabi SAW diutuskan Allah sebagai pembina akhlak sekalian umat Islam.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu amalan seorang hamba yang paling berat timbangannya pada hari kiamat melebihi akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Hadis ini mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menjalani kehidupan di dunia dengan akhlak yang mulia kerana akhlak mulia seseorang mukmin membuktikan dia sudah memperkasakan jati diri serta keimanannya.

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Dan sesungguhnya sebaik-baik keislaman seseorang adalah yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat As-Suyuthi)

Oleh itu, di samping kita memenuhi segala perintah Allah dengan mengerjakan amal ibadah wajib dan sunat, soal akhlak tidak boleh dipandang remeh kerana kepincangan yang berlaku dalam masyarakat hari ini semua berkait dengan keruntuhan akhlak yang semakin merisaukan.

Nabi SAW pernah didatangi perwakilan, lalu mereka bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, siapakah hamba Allah yang dicintai-Nya? Nabi SAW menjawab: Orang yang baik akhlaknya.” (Hadis riwayat Al-Haitsami)

Amalan ibadah yang ikhlas kepada Allah disertakan budi pekerti terpuji, seseorang itu dijamin Rasulullah SAW mendapat ganjaran besar di hari akhirat kelak.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Saya menjamin sebuah rumah yang paling tinggi tingkatnya di syurga bagi orang yang berbudi pekerti.” (Hadis riwayat Al-Haitsami)

Kita juga seharusnya menjadikan berdoa sebagai amalan memperbaiki akhlak dengan budi pekerti luhur kerana Nabi SAW sentiasa berdoa yang bermaksud: “Dan berikanlah hidayah padaku agar baik akhlakku. Tidak ada yang mampu memberi hidayah untuk memperbaikinya kecuali Engkau.” (Hadis riwayat Muslim)

Untuk memperbaiki akhlak diri, kaedah terbaik ialah dengan sentiasa bermuhasabah serta merenung perjalanan hidup melalui tingkah laku, pertuturan atau budi ditabur kepada masyarakat. Jika apa dilaksanakan menepati piawaian, dengan izin Allah kita tampil sebagai seorang yang hebat.

Janganlah anggap dengan menjaga solat saja maka kita dikira hebat di sisi Allah kerana akhlak diri akan menjadi kayu pengukur seterusnya untuk menjadikan kita mukmin dikasihi Allah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Penyebab utama masuknya manusia ke syurga adalah bertakwa kepada Allah dan kebaikan akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Lihatlah susunan tertib orang yang dibenarkan masuk ke syurga Allah iaitu pertama, orang yang bertakwa dan memiliki budi pekerti baik. Malah Nabi SAW juga mengatakan ganjaran akhlak baik sangat tinggi sehingga menyamainya dengan amalan orang yang rajin berpuasa dan solat malam.

Begitulah tingginya kedudukan insan berakhlak mulia dan sewajarnya ibu bapa dalam mendidik anak perlu menekankan pembinaan akhlak mulia yang akan melahirkan modal insan memiliki jati diri serta berketrampilan.

Akhlak yang baik juga membolehkan seorang hamba mendapat tempat hampir dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak.
Ini dijelaskan Nabi SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat tempat duduknya dariku pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Usah pandang remeh urusan pendidikan akhlak kepada anak sejak kecil lagi kerana ketika itu mereka lebih mudah dibentuk berbanding apabila sudah dewasa dan terdedah pengaruh sekeliling yang menjurus tingkah laku negatif.

Justeru, mendidik anak dengan akhlak sempurna dan menepati kehendak agama seharusnya diutamakan ibu bapa. Kita harus percaya kekuatan iman dan takwa tidak tertakluk kepada amal ibadah spiritual semata-mata kerana akhlak dan budi pekerti mulia turut meningkatkan kekuatan iman.

No comments:

Post a Comment