Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Monday, April 25, 2011

Kaya Di Dunia Muflis Di Akhirat

Sebagai seorang Islam kita seharusnya bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan Hadis. Untuk kita sampai ke destinasi akhirat maka hendaklah kita beramal dengan seberapa banyak amalan kebajikan dan sentiasa berada dalam keampunan Allah SWT semasa hidup di dunia.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 21 yang bermaksud : “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar”.
Banyak ayat al-Quran mengambarkan kepada kita perihal mereka yang melakukan dosa akan menjadi cemas, takut dan merana bila dibentangkan buku catatan amalan mereka di Padang Masyar. Insaflah bahawa segala amalan kita di dunia ini akan diadili di akhirat nanti walaupun ianya sekecil zarah. Ketahuilah bahawa setiap amalan dan tingkah laku kita semuanya dicatat oleh malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Intifar ayat 10 dan 11 yang bermaksud : “Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu)”.

Namun persoalannya pada hari ini, ada dikalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurnian Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan mengkianati amanah sesama manusia. Dalam mengejar kemewahan mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi. Selain itu, mereka juga tidak prihatin kepada hak-hak sesama manusia, hak-hak golongan fakir, miskin dan anak-anak yatim. Malah ada dikalangan kita menzalimi sesama manusia. Ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan kita muflis di akhirat.

Nabi SAW dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh iman Muslim memberi amaran kepada kita tentang berlakunya gejala muflis dikalangan umatnya. Sabda Rasulullah SAW: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun harta-benda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka”.

Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka yang memiliki pahala seperti pahala solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Bagaimanapun, semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati atau dizalimi. Di samping mereka dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.

Alangkah ruginya golongan muflis ini, kerana walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadah dan bermacam kebaikan, akhirnya menjadi kosong kerana diambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang telah dilakukan.

Dalam kehidupan seharian, kita perlu berhati-hati agar tidak melakukan dosa terutamanya dosa sesama manusia. Namun hakikatnya pada hari ini segelintir daripada kita secara terang-terangan melakuan pelbagai kesalahan kepada orang lain seperti :
  1. Mencabuli kehormatan dan harga diri melalui fitnah, mengumpat dan mencaci.
  2. Merosakkan harta benda dengan merompak, menyamun, mencuri, menipu dan sebagainya.
  3. Mencabuli keselamatan dan kebahagiaan dengan cara keganasan, penderaan mental dan fizikal, pukul, bunuh, perbuatan sihir, ilmu hitam dan sebagainya.
  4. Merosakkan rumahtangga melalui perbuatan curang dengan suami atau isteri yang menyebabkan runtuhnya institusi kekeluargaan.
Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula keadaan kita apabila muflis di akhirat? Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?

Perlu difahami bahawa kehidupan di akhirat lebih perlu diutamakan kerana ia merupakan kehidupan yang kekal abadi. Kesejahteraan di akhirat tentulah memerlukan persiapan dan usaha yang lebih terancang dan konsisten. Kita perlu banyak mengorbankan masa, fikiran dan tenaga dalam mempersiapkan bekalan ke alam akhirat. Dengan persiapan dan bekalan yang mencukupi, kita akan dapat menghadapi pelbagai rintangan dalam perjalanan menuju ke alam akhirat.

Bermula di alam kubur seterusnya di padang Mahsyar dan di negeri akhirat. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 73 yang bermaksud : “Dan orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka dibawa masuk ke Syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga itu dibuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan kekal”.

Oleh itu marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita sudah berada dalam gaya hidup yang diredhai Allah ataupun gaya hidup yang dimurkai oleh Allah. Andainya kita telah berada dalam keredhaan Allah, maka kita pertingkatkan dan gandakan lagi agar ianya lebih mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. Andainya kita menderhakai kepada Allah maka bersegeralah kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah. Mudah mudahan kita diampuni
Allah dan dilimpahi dengan kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat.

Firman Allah dalam surah Al-i-Imran ayat 133 yang bermaksud : “Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa”.

No comments:

Post a Comment