Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Tuesday, April 26, 2011

Keistimewaan Hari Jumaat

1) HARl JUMAAT HARI RAYA UMAT MUHAMMAD SAW
Dikeluarkan oleh Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesungguhnya hari ini (hari Jumaat) ialah hari raya yang Allah telah jadikan bagi orang-orang Islam. Maka sesiapa yang pergi menunaikan solat Jumaat, hendaklah dia mandi (mandi sunat). Sekiranya dia mempunyai minyak wangi, maka hendaklah dia menyapunya, dan hendaklah kamu bersiwak."


2) MAKRUH BERPUASA PADA MARl JUMAAT SAHAJA
Hadith riwayat al Syaikhain daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:

"Tidak berpuasa seseorang kamu pada hari Jumaat melainkan hendaklah dia berpuasa (sehari) sebelumnya atau sesudahnya."


3) MAKRUH MENGKHUSUSKAN MALAMNYA DENGAN SOLAT SUNAT
Dikeluarkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda:

"Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bangun malam di antara malam- malam yang lain. Janganlah juga kamu khususkan hari Jumaat untuk berpuasa di antara hari-hari yang lain."

4) MEMBACA SURAH AL SAJDAH DAN AL INSAN PADA SOLAT SUBUH HARI JUMAAT
Dikeluarkan oleh Syaikhan daripada Abi Hurairah RA berkata:

"Nabi SAW membaca pada solat al Fajr hari Jumaat surah Aalif Laam Miim Sajdah dan Hal Ata 'Ala al Insan."

5) SOLAT SUBUH HARI JUMAAT SOLAT YANG PALING AFDHAL
Dikeluarkan oleh al Baihaqi di dalam al Syu'ab Nabi SAW bersabda:

"Sesunguhnya solat yang paling afdhal di sisi Allah ialah solat Subuh hari Jumaat secara berjama'ah."


6) SOLAT JUMAAT
Dikhususkan hari Jumaat dengan dua raka'at solat Jumaat sedangkan pada hari-hari yang lain dengan empat raka'at (solat Zuhur).

7)  SOLAT JUMAAT MENYAMAI PAHALA HAJI
Daripada Ibnu Abbas es berkata: Nabi SAW bersabda:

"Solat Jumaat adalah haji bagi orang-orang miskin."

8) BACAAN SOLAT JUMAAT SECARA KUAT
Sedangkan bacaan solat pada waktu siang dibaca secara perlahan.

9) MEMBACA DALAM SOLAT JUMAAT SURAH AL JUMU'AH DAN AL MUNAFIQIN ATAU SURAH AL A'LA DAN AL GHASYIAH
Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Hurairah RA berkata:
"Saya mendengar Nabi SAW membaca dalam solat Jumaat surah al Jumu'ah dan Wa iza Jaaka al Munafiqun." (Diriwayatkan oleh Muslim dari hadith Abi Hurairah).

Diriwayatkan daripada al Nu'man ibn Basyir RA, beliau berkata:
"Rasulullah SAW membaca dalam solat dua hari raya dan juga dalam solat Jumaat Sabbihismarabbik al A'la dan Wa hal Ataaka hadith al Ghasyiah."

10) DIKHUSUSKAN SOLAT JUMAAT SECARA BERJEMA'AH APABILA SAMPAI BILANGAN 40 ORANG
Diriwayatkan oleh al Dar Qutni di dalam Sunannya daripada Jabir ibn Abdullah RA berkata:

"Telah berlalu Sunnah Nabi SAW bahawa pada setiap 40 orang dan lebih diwajibkan solat Jumaat."(Diriwayatkan oleh al Dar Qutni dan al Baihaqi.)


11) NABI SAW BERHASRAT MEMBAKAR RUMAH ORANG YANG MENINGGALKAN JUMAAT

Diriwayatkan oleh al Hakim, daripada Ibnu Mas'ud RA bahawa Nabi SAWbersabda kepada satu kaum yang meninggalkan Jumaat:

"Sesungguhnya terdetik di hatiku keinginan untuk menyuruh seorang lelaki menjadi  imam solat (menggantikan aku) kemudian aku pergi membakar rumah-rumah kaum yang meninggalkan Jumaat."

12) DITUTUP HATI ORANG YANG MENINGGALKAN JUMAAT
Diriwayatkan oleh Muslim daripada Ibnu Umar R.A dan Abi Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

"Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan beberapa kali Jumaat menghentikan perbuatan mereka, atau pun mereka mahu Allah menutup hati-hati mereka dan selepas itu mereka menjadi orang yang benar-benar lalai." (Riwayat Muslim dan al Baghawi)

13) DISYARIATKAN KAFFARAH BAGI ORANG YANG MENINGGALIKAN JUMAAT
Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al Nasaei, al Hakim dan Ibnu Majah daripada Samurah ibn Jundub RA, daripada Nabi SAW bersabda:

"Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tanpa sebarang keuzuran, maka hendaklah dia bersedekah dengan satu dinar. Sekiranya dia tidak mendapatinya, maka hendaklah dia bersedekah dengan setengah dinar."


Keistimewaan Hari Jumaat oleh Al 'Allamah al Muhaddith Syeikh Jalal al Din al Suyuti (wafat 911 H)

No comments:

Post a Comment