Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Tuesday, April 26, 2011

Bilakah Perkahwinan Itu Diwajibkan?

Dr Abdul Karim Zaidan menyebut di dalam kitab al Mufassal Fi Ahkamil Mar’ah Wa Baitil Muslim, bahawa mereka yang diwajibkan untuk berkahwin ialah mereka yang khuatir terjebak ke lembah penzinaan. Ini adalah pandangan para fuqaha.

Di dalam kitab al Mughni, karangan Ibnu Qudamah, menyatakan perkara yang sama dengan menggunakan kaedah “menghindarkan diri daripada perkara yang haram adalah diwajibkan”.

Imam al Kasani menambah di dalam kitab al Bada’ie bahawa mereka yang diwajibkan berkahwin, hendaklah berkahwin dengan syarat mempunyai kemampuan untuk membayar mahar dan nafkah. Mazhab Hanafi mewajibkan kedua-dua perkara ini dalam perkahwinan walaupun bagi mereka yang diwajibkan untuk berkahwin.

Di dalam kitab Qawanin al Ahkam asy Syar’iyyah karangan Ibnu Jazzi al Maliki menyatakan bahawa perkahwinan itu wajib bagi mereka yang berkemampuan dari sudut harta, dan mereka khuatir terjerumus ke lembah penzinaan. Yang dimaksudkan dengan kemampuan dari sudut harta bagi mazhab ini ialah kemampuan membayar nafkah dan mahar perkahwinan.

Di dalam kitab Syarah Muntaha al Iradat (Mazhab Hanbali), menyatakan bahawa pernikahan diwajibkan bagi mereka yang takut terjebak ke lembah penzinaan, walaupun orang tersebut tiada kemampuan untuk memberi nafkah. Mazhab ini berhujah dengan dalil kisah seorang sahabat Baginda SAW yang ingin berkahwin sedangkan tiada kemampuan untuk membayar nafkah. Lalu Baginda SAW menyuruh lelaki tersebut mencari besi untuk dijadikan cincin, kerana kemiskinannya. Kisah yang masyhur di dalam Shahih Bukhari.

Ibnu Hazam menyatakan di dalam kitab al Muhalla (Mazhab az Zohiri), bahawa mazhabnya meletakkan kemampuan dari sudut harta sebagai syarat wajib. Sesiapa yang sudah berkemampuan, mereka diwajibkan berkahwin, walaupun tidak khuatir terjebak ke lembah penzinaan atau tidak. Kemampuan dari sudut harta itu ialah “kemampuan membayar mahar”.

Dr Abdul Karim Zaidan menjawab persoalan di dalam kitab al Mufassal, sekiranya mereka yang tidak mampu untuk berkahwin dari sudut harta, adakah mereka ini masih diwajibkan berkahwin? Maka beliau menjawab, cuba cari ikhtiar supaya nafkah dan mahar perkahwinan dapat direndahkan, atau diturunkan.

Di dalam Hasyiah bagi kitab ar Raddul Mukhtar, mengatakan bahawa perkahwinan tetap diwajibkan bagi mereka yang khuatir terjebak ke lembah penzinaan walaupun dia tidak mampu untuk membayar nafkah dan mahar, sedangkan dia mampu untuk menurunkan kadar kedua-duanya supaya lebih murah. Bahkan, bagi mereka yang merasa sedikit khuatir tidak mampu membayar nafkah dan mahar, tetap diwajibkan, dengan merendahkan nilainya.

Demikian juga di dalam Mazhab Hanbali, merendahkan mahar dan nafkah adalah diwajibkan bagi mereka yang sudah khuatir terjebak ke lembah penzinaan, sedangkan mereka tidak mampu untuk membayarnya. Perkara ini disebut di dalam Syarah Muntaha al Iradat.

Di dalam Mazhab Maliki telah disebutkan di dalam Syarhul Kabir karangan Imam ad Dardir dan Hasyiah ad Dasuki, menyatakan bahawa seseorang tersebut wajib berkahwin sekiranya si perempuan itu redha tidak diberikan nafkah.

No comments:

Post a Comment