Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Monday, April 25, 2011

Antara Nafsu Dan Akal






Dalam sebuah kitab karangan `Utsman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Al-Khaubawiyyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan akal, maka Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Wahai akal mengadaplah engkau!" Maka akal pun mengadap di hadapan Allah SWT, kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai akal berbaliklah engkau!" lalu akal pun berbalik. Kemudian Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: "Wahai akal! Siapakah aku?" Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah." Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai akal! Aku tidak menciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."


Setelah itu Allah SWT menciptakan nafsu dan berfirman kepadanya yang bermaksud: "Wahai nafsu mengadaplah kamu!" Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: "Siapakah engkau dan siapakah Aku?" Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau." Lalu Allah SWT menyeksanya dengan neraka Jahim selama 100 tahun dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Siapakah engkau dan siapakah Aku?" Lalu nafsu menjawab, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau." Lalu Allah SWT menyeksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Siapakah engkau dan siapakah Aku?" Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, "Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah Tuhanku."

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah SWT mewajibkan puasa. Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat. Oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita kerana jika dia yang mengawal kita nescaya kita menjadi musnah.

No comments:

Post a Comment