Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Monday, April 25, 2011

4 Perkara Yang Merosakkan Amal

Terdapat 4 perkara yang boleh merosakkan amal seseorang iaitu :

1. Panjang Angan-angan

Angan-angan di sini membawa maksud satu perancangan masa hadapan. Perancangan ini dilakukan tanpa mengingati Allah. Sebagai contoh, kita berangan-angan untuk menjadi seorang usahawan pada masa hadapan tetapi kita tidak mengingati Allah iaitu hanya ingin menjadi seorang usahawan dan mengumpul harta tanpa ada terlintas di hati ingin berbakti kepada masyarakat dalam mendapat keredhaan Allah SWT.

2. Gopoh

Bersikap gopoh dalam melakukan apa jua perkara tanpa berfikir panjang dan mempertimbangkan dari segi tuntutan agama. Contohnya apabila mendengar ada program yang menawarkan habuan wang ringgit yang agak lumayan, kita tergopoh-gapah menyertainya tanpa berfikir dari mana sumber pendapatan yang diperolehi untuk membayar kepada ahli-ahlinya, haram atau halal pendapatan dari program itu dan sebagainya.

3. Hasad

Hasad ini terbahagi kepada 3 iaitu perasaan dengki dan menginginkan orang lain hilang nikmat; cemburu tetapi tanpa ada perasaan ingin orang lain hilang nikmat itu sebaliknya berusaha untuk memperolehi nikmat tersebut; dan perasaan cemburu sahaja tanpa rasa ingin orang lain hilang nikmat tersebut mahupun ingin berusaha untuk memperolehi nikmat tersebut. Hasad yang pertama adalah perosak kepada amal kita. Manakala hasad kedua adalah satu perasaan yang baik kerana ingin sama-sama bersaing secara sihat untuk memperolehi nikmat. Manakala hasad yang ketiga adalah hasad yang tidak membawa apa-apa.

4. Melakukan amal secara tidak seimbang

Perkara ke-4 ini perlu difahami dengan teliti untuk mengelak salah faham. Dalam melakukan amal, kita perlu meneliti dan memahami mana amal yang lebih afdal. Sebagai contoh, kita ada sejumlah wang dan terfikir untuk beramal dengannya. Antara amal yang difikirkan adalah pergi menunaikan umrah dan sedekah kepada anak-anak yatim. Kedua-dua amal ini adalah baik tetapi kita harus berfikir mana satu amal yang lebih afdal. Sekiranya kita ingin pergi umrah untuk kali ke-3, ke-4 atau sebagainya, adalah lebih afdal untuk bersedekah kepada anak-anak yatim dari menunaikan umrah. Kita juga perlu membuang satu perasaan iaitu perasaan rasa rugi. Contohnya kita berfikir, sekiranya kita sedekah kepada anak-anak yatim, perkara itu hanya di situ sahaja. Sekiranya kita pergi menunaikan umrah kita dapat menikmati buah kurma, air zam-zam, dapat naik kapal terbang dan sebagainya. Kita juga ditegah untuk menilai status sesuatu amal tanpa ilmu agama yang cukup sebaliknya kita boleh bertanya kepada golongan cerdik pandai agama mana amal yang lebih afdal. Sebagai contoh, amal yang kita ingin lakukan kepada si mati. Pelbagai amal dapat dilakukan tetapi fikirlah amal yang paling afdal. Selalunya orang akan membuat kenduri arwah untuk si mati namun sebenarnya kenduri arwah hukumnya harus dan pahalanya hanya terhenti di situ sahaja. Sekiranya kita mewakafkan sesuatu atas nama si mati, maka pahalanya adalah berterusan selagi wakaf itu digunakan. Ini contoh amal yang lebih afdal antara kenduri arwah dan wakaf.

No comments:

Post a Comment