Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, April 20, 2011

Tidakkah Kamu Berasa Pelik


Aku merasa pelik apabila ada yang mengatakan bahawa mereka adalah hamba Allah, sedangkan mereka selalu menjadi hamba kepada nafsunya.

Aku merasa pelik apabila ada yang mengatakan bahawa cinta Allah yang mereka dambakan, sedangkan mereka sering melupakan Allah. Bukankah seorang kekasih itu akan selalu mengingati kekasihnya dan akan selalu memberitahu tentang kebaikan kekasihnya itu???

Aku merasa pelik apabila ada yang mengatakan bahawa mereka hanya takut kepada Allah, sedangkan dirinya selalu melakukan kemungkaran yang akan mendatangkan kemarahan Allah. Bukankah apabila seseorang itu takut kepada seseorang mereka pasti tidak berani melakukan perkara yang akan membangkitkan kemarahan orang yang ditakutinya itu???

Aku merasa pelik apabila ada yang mengaku dirinya beragama islam, sedangkan dirinya sering meniru dan mangambil budaya-budaya yang selain daripada islam. Bukankah apabila seseorang itu mengaku bahawa mereka tergolong dalam sesuatu golongan, mereka pasti patuh akan peraturan yang ditetapkan kepada golongan tersebut???

Aku merasa pelik apabila ada yang mengatakan mereka inginkan syurga Allah swt, sedangkan dirinya sentiasa bergelumang dengan maksiat, meninggalkan suruhan Allah dan melakukan apa yang telah dilarang olehNya. Bukankah apabila seseorang itu inginkan ganjaran daripada seseorang, pasti mereka akan patuh kepada perintah orang yang akan memberikan ganjaran kepadanya nanti???

Aku merasa pelik apabila ada yang mengatakan mereka mahu dijauhkan daripada api neraka, sedangkan dirinya sering tidak mahu bertaubat dan terus menerus melakukan dosa. Bukankah jika seseorang itu tidak mahu didenda, pasti mereka akan selalu memohon maaf apabila melakukan kesalahan dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh membuatkan mereka menerima hukuman???

Aku merasa pelik apabila ada yang mengatakan mereka redha akan segala ketentuan Allah, sedangkan mereka sentiasa mengeluh apabila menerima ujian.

Aku merasa pelik apabila ada yang mengatakan mereka ummat Nabi Muhammad, sedangkan mereka selalu meninggalkan sunnah-sunnah Baginda dan memperlekehkan sunnah-sunnah Baginda.

Aku merasa pelik apabila ada yang mengatakan setiap ibadah mereka, perbuatan mereka, ibadah mereka, hidup dan mati mereka hanya kerana Allah swt, sedangkan mereka sering melakukan setiap perbuatan kerana ingin mendapat kepentingan dunia.

Dan aku pelik memikirkan ada yang mengaku sebagai pejuang agama Allah, sedangkan mereka memperjuangkan selain daripada agama Allah swt (nasionalisme, sekularisme, sosialisme dan banyak lagi).

Wahai sahabat-sahabat sekalian, tidakkah kamu berasa pelik akan perkara-perkara seperti ini??? Jadi marilah kita lihat kembali kedalam diri kita sendiri adakah ada sifat-sifat seperti ini di dalam diri kita… Muhasabahlah kembali...

Ingatlah firman Allah s.w.t dalam surah As-Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”. Semoga kita melakukan amal seiring dengan apa yang kita katakan dan mendapat nikmat dan rahmat daripada Allah s.w.t.. Amin ya rabbal ‘alamin.
Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment