Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, April 20, 2011

Nur Ilmu

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah S.W.T kerana kita masih mampu menghirup udara segar pada hari ini serta masih dihidupkan dalam dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam. Syukur juga dipanjatkan kerana masih lagi diberi ruang dan peluang untuk menulis. Jadi, pertama-tamanya marilah kita renungkan sepotong ayat al-Quran yang bermaksud:


Allah SWT berfirman:

“Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Qur’an dan As Sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi al-hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah).” (QS. Al-Baqarah:269)


Pengetahuan yang kita pelajari ini adalah salah satu nikmat yang tidak terhingga daripada Allah S.W.T. Daripada ilmu itu jualah kita telah dikeluarkan daripada kesesatan kepada kebenaran . Benarlah apa yang selalu kita dengar bahawa ilmu itu adalah suatu cahaya. Cahaya yang menerangi di sepanjang jalan kita yang  berliku. Kerana cahaya itu juga membawa kita ke jalan kebenaran, juga jalan  mendekatkan diri  kita kepada yang Esa, Rabbul 'Izzati.

Dengan ilmulah, kita dipandang mulia. Juga dengan ilmu, menjadikan kita seorang yang bijaksana. Orang yang sentiasa mendambakan ilmu, akan dipermudahkan segalanya oleh Allah termasuklah jalan ke syurga. Sesungguhnya para malaikat dan juga makhluk yang ada di darat mahupun di laut akan turut berzikir dan mendoakan golongan ini. Jadi, adakah kita masih tunggu lagi untuk menjadi seorang alim yang kaya dengan ilmu pengetahuan?


Pepatah Arab juga ada mengatakan bahawa ilmu tanpa amal diibaratkan seperti pohon yang tidak berbuah. Semakin melimpah ilmu yang kita pelajari, semakin banyaklah yang mesti kita amalkan. Semakin banyak ilmu yang diamalkan, maka semakin dekat dan takutlah kita kepada Allah S.W.T. Oleh itu, barulah hati kita akan menggapai mutmainnah.


Namun pada hari ini, ramai yang mempelajari ilmu pengetahuan kerana habuan dunia semata-mata. Mereka ingin menjadi cemerlang agar mendapat pelbagai pingat dan hadiah serta mengejar cita-cita mereka untuk bekerja dan mendapatkan gaji yang lumayan untuk kesenangan hidup mereka tanpa mereka pentingkan keredhaan Allah S.W.T.

Rasullullah S.A.W bersabda:
"Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah S.W.T sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan mencium bau syurga di akhirat kelak." (Riwayat Abu Daud)

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengikhlaskan hati kita menimba ilmu semata-mata untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Maka beruntunglah orang yang berilmu kerana semakin tinggi ilmunya, semakin dekatlah dirinya kepada Allah S.W.T.

"Jadilah seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk ke bumi"
"Janganlah jadi seperti lalang, semakin tinggi, semakin mendongak ke langit"


Menuntut ILMU adalah TAQWA
Menyampaikan ILMU adalah IBADAH
Mengulang-ulang ILMU adalah ZIKIR
Dan Mencari ILMU adalah JIHAD!!


Wallahu'alam..

No comments:

Post a Comment