Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Monday, April 25, 2011

Kisah Tiga Orang Bani Israel

Ada tiga orang dari Bani Israel. Seorangnya ditimpa penyakit kusta, seorangnya berpenyakit gugur rambut dan seorang lagi buta. Maka Allah telah menguji ketiga-tiganya dengan mengutus kepada mereka seorang Malaikat.
Malaikat tersebut telah mendatangi orang yang berpenyakit kusta dan bertanya kepadanya: Apakah yang paling engkau sukai? Orang itu menjawab: Warna yang elok serta kulit yang baik dan sembuh dari kotoran yang menyebabkan manusia memandang jelek kepadaku. Maka Malaikat tersebut menyapu tempat sakitnya lalu hilanglah penyakit itu dan diberi warna serta kulit yang baik. Malaikat bertanya lagi: Harta apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Unta. Maka dia diberikan unta yang mengandung sepuluh bulan. Orang itu mendoakan semoga Allah memberkati perbuatannya itu.

Kemudian Malaikat tersebut telah datang menemui orang yang berpenyakit gugur rambut lalu bertanya: Apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Rambut yang elok dan sembuh dari penyakit yang menyebabkan manusia memandang jelek kepadaku. Malaikat menyapu tempat sakitnya lalu hilanglah penyakitnya dan diberikan rambut yang baik. Malaikat bertanya lagi: Harta apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Lembu. Maka dia diberikan seekor lembu yang sedang bunting. Dia mendoakan keberkatan dari Allah atas perbuatannya.

Kemudian Malaikat tersebut mendatangi pula seorang yang buta lalu bertanya: Apakah yang paling engkau sukai? Dia menjawab: Aku ingin Allah mengembalikan penglihatanku semoga aku dapat melihat manusia. Malaikat menyapu matanya, maka Allah mengembalikan penglihatan kepada beliau. Malaikat itu bertanya lagi: Harta apakah yang amat engkau sukai? Dia menjawab: Kambing biri-biri maka dia diberikan seekor biri-biri yang telah melahirkan anak.

Maka kedua-dua lelaki berpenyakit kusta dan yang tiada rambut menguruskan kelahirkan unta dan lembu begitu juga halnya dengan lelaki buta. Selepas sekian lama, maka bagi lelaki yang berpenyakit kusta telah memiliki satu lembah dari unta, bagi lelaki yang berpenyakit gugur rambut telah memiliki satu lembah dari lembu dan bagi lelaki yang buta telah memiliki satu lembah dari kambing biri-biri.

Kemudian Malaikat tersebut mendatangi lelaki yang berpenyakit kusta dengan jelmaan sebagaimana keadaan lelaki itu sebelumnya dan dia mengadu kepada lelaki tersebut: Aku seorang lelaki miskin yang telah kehabisan bekalan semasa aku bermusafir. Aku tidak mempunyai tempat untuk mengadu pada hari ini melainkan kepada Allah dan kepada engkau. Aku memohon dari mu demi Yang telah memberikan kepadamu warna serta kulit yang baik dan juga harta seekor unta yang boleh membantu aku meneruskan perjalanan sepanjang musafirku. Maka lelaki itu menjawab: Aku mempunyai banyak tanggungan, menyebabkan aku tidak boleh memberikannya kepadamu.

Malaikat itu berkata kepada lelaki itu: Aku rasa aku mengenalimu. Tidakkah engkau dahulunya berpenyakit kusta dan manusia memandang jelek kepadamu? Tidakkah engkau seorang yang fakir lalu Allah mengurniakan kepadamu harta? Lelaki itu menjawab: Aku mewarisi harta ini dari warisan orang tuaku. Malaikat itu berkata: Sekiranya kamu berdusta Allah akan menjadikan keadaan kamu sebagaimana kamu sebelum ini.

Kemudian Malaikat tersebut mendatangi pula orang yang berpenyakit gugur rambut seperti lelaki tadi dan bertanya seperti dia bertanya kepada lelaki berpenyakit kusta, keadaannya sama seperti yang berlaku ketika Malaikat tersebut meminta dari lelaki yang berpenyakit kusta. Malaikat berkata: Sekiranya kamu berdusta Allah akan menjadikan keadaan kamu sebagaimana kamu sebelum ini.

Kemudian Malaikat itu mendatangi pula lelaki yang buta dengan jelmaan seperti seorang yang buta lalu mengadu: Aku seorang lelaki pengembara yang miskin. Aku telah kehilangan kenderaan semasa musafir, maka aku tidak mempunyai tempat untuk mengadu melainkan kepada Allah dan kepada engkau. Aku memohon darimu demi Yang telah mengembalikan penglihatanmu seekor kambing biri-biri yang boleh membantu aku meneruskan perjalananku. Lelaki itu berkata: Aku sebelum ini adalah seorang yang buta, Allah telah mengembalikan penglihatanku, oleh itu ambillah apa yang engkau mahu dan tinggal apa yang engkau tidak mahu. Demi Allah, aku tidak akan menegah dan mengungkit kembali pemberianku kepada kamu untuk mengambil apa yang engkau kehendaki kerana Allah. Malaikat berkata: Jagailah hartamu. Sesungguhnya kamu semua telah diuji oleh Allah. Allah telah meredhai kamu dan membenci dua orang sahabatmu.

No comments:

Post a Comment