Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, April 20, 2011

Kisah Pemilik Tiga Buah Pinggan




Di sebuah kawasan perumahan ada seorang jiran yang ingin berkongsi makanan yang ada padanya pada hari itu. Maka diletakkan makanan itu ke dalam 3 buah pinggan lalu diberikan kepada 3 orang jirannya. Sesudah agak lama diberikan pinggan itu kepada jirannya, jiran-jirannya itu telah mengembalikan balik pinggan yang telah diberikan kepada mereka kepada tuan punya pinggan itu dalam tiga keadaan yang berbeza.

Jiran yang pertama telah memberikan balik pinggan itu dalam keadaan yang bersih kerana dia telah mencuci pinggan itu sebelum diberikan balik kepada jirannya tadi. Dan dengan senang hati tuan pemilik pinggan itu menerima pinggannya daripada jirannya yang pertama ini dan meletakkan pinggan itu di rak pinggannya.

Jiran yang kedua pula telah memulangkan pinggan itu dalam keadaan kotor. Hal ini disebabkan jirannya yang kedua ini tidak menyucikan pinggan itu sebelum dipulangkan kepada pemilik pinggan tersebut. Dengan perasaan yang sedikit kesal pemilik pinggan ini telah menerima pinggan itu daripada jirannya yang kedua ini. Lalu dia menyucikan pinggan tersebut sebelum di letakkan di rak pinggan mangkuknya.

Jiran yang ketiga pula telah memecahkan pinggan tersebut. Jadi jirannya itu memulangkan pinggan yang pecah itu kepada pemilik pinggan tersebut. Dengan perasaan yang marah pemilik pinggan itu terus membuang pinggan yang pecah itu ke dalam tong sampah kerana pinggan tersebut sudah tidak boleh digunakan lagi.

Jadi apa pengajaran yang kita dapat daripada cerita ini???


Tidak terfikirkah kita bahawa Allah telah memberi pinjam nyawa dan tubuh badan ini kepada kita. Jadi kita lah yang perlu memilih bagaimana hendak memulangkan apa yang telah dipinjamkan ini kepada Pemiliknya.


Jiran yang pertama telah membersihkan pinggan yang dipinjamnya sebelum dipulangkan kepada pemilik pinggan tersebut. Oleh kerana itu pemilik pinggan itu menerima pinggan itu dengan perasaan yang gembira kerana pinggannya dalam keadaan yang bersih dan terus diletakkannya ke dalam rak pinggan.
Jadi kesimpulannya apabila seorang hamba telah kembali kepada Allah SWT dalam keadaan yang bersih maka Allah akan redha dengan hamba tersebut dan terus memasukkannya ke dalam syurga.

Jiran yang kedua pula telah memulangkan pinggan itu kepada pemilik pinggan tersebut dalam keadaan yang kotor menyebabkan pinggan itu terpaksa dibasuh terlebih dahulu sebelum di simpan di rak pinggan.
Jadi kesimpulannya apabila seorang hamba yang kembali kepada Allah dalam keadaan kotor (berdosa) tetapi masih mempunyai iman maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka terlebih dahulu untuk menyucikan dosanya sebelum hambaNya ini diletakkan di dalam syurga.

Jiran yang ketiga pula telah memulangkan pinggan tersebut dalam keadaan pecah dan tidak boleh digunakan lagi. Oleh sebab itu pemilik pinggan tersebut terus membuang pinggan tersebut ke dalam tong sampah.
Jadi sama lah juga keadaannya dengan kita sebagai hamba Allah SWT. Seorang hamba yang kembali kepada Allah SWT dalam keadaan rosak dan tidak boleh dicuci (orang yang tidak beriman atau melakukan dosa-dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT) maka hambaNya ini akan terus masuk ke dalam neraka dan akan berada di neraka untuk selama-lamanya.


Jadi pilihlah dalam keadaan mana kita ingin kembalikan apa yang telah dipinjamkan kepada kita ini kepada Pemiliknya iaitu Allah SWT. Adakah seperti jiran yang pertama atau jiran yang kedua atau jiran yang ketiga???

Sama-sama renungkan..

No comments:

Post a Comment