Ada seorang sahabat telah menghantar kepada saya link penulisan tokoh ISMA Malaysia iaitu Ust Abdullah Zaik berkaitan Tauhid Tiga Serangkai. Saya memuji sikapnya yang tidak ingin membahaskan perkara-perkara furu’ bimbang akan semakin berpecah umat Islam hanya dengan petelingkahan yang boleh diselesaikan dengan cara baik. Namun apa yang sangat saya kesali adalah bilamana beliau mengatakan bahawa :
“Cabaran yang dihadapi oleh Ibnu Taimiyyah pada waktu itu ialah suasana umat Islam yang tenggelam dengan tasawuf / tarikat sehingga tidak peduli walaupun negara sedang diserang musuh. Tasawuf yang berpegang kepada hakikat dan mengabaikan syariat. Apa yang Ibnu Taimayyah ingin jelaskan ialah bahawa apa yang diasyikkan oleh golongan tasawuf dengan khawatnya (dan apa yang dia istilahkan sebagai hakikat) ialah semata-mata menyemarakkan tauhid dari segi rububiyyah sahaja, sedangkan di sana ada lagi bahagian tauhid yang perlu dipenuhi iaitu tauhid uluhiyyah. Kita tidak boleh asyik dengan zauq semata-mata sedang pada masa yang sama kita meninggalkan syariat Allah, seperti solat jamaah dan jihad fisabilillah untuk mempertahankan agama dan tanah air”.
Perkataan daripada Ust Abdullah Zaik, seolah-olah ingin mengatakan bahawa suasana ketika tersebut terbahagi kepada dua kelompok. Kelompok pertama adalah penyokong Tauhid Tiga Serangkai yang dipelopori oleh al-Imam Ibn Taimiyah rahimahullah , manakala kelompok kedua pula adalah terdiri daripada kalangan umat Islam yang tenggelam dengan Tasawuf dan Tarikat.
Lebih menyedihkan adalah tohmahan beliau dengan mengatakan bahawa golongan Sufi ini langsung tidak mempedulikan hal ehwal umat Islam yang diserang ketika tersebut. Benarkah dakwaan sebegini? Layakkah dakwaan sebegini keluar daripada tulisan seorang yang kononnya punya sijil dalam pendidikan ?
SUASANA ZAMAN TERSEBUT
Al-Imam Ibn Taimiyah lahir pada tahun 661 H dan wafat pada 26 Zul Qa’dah 728 H. Dalam tempoh tersebut berlakunya peperangan di antara umat Islam dan tentera TarTar. Saya ingin menyebutkan kepada sidang pembaca sekalian secara ringkas di antara para ulama sufi yang terlibat di dalam peperangan tersebut serta mana-mana peperangan sekaligus menolak tohmahan dan dakwaan Ust Abdullah Zaik yang mengatakan bahawa golongan Sufi hanya sibuk dengan zauq mereka tanpa mempedulikan hal ehwal masyarakat.
Siapa tidak kenal dengan al-Imam Muhyiddin bin Zakariyya al-Nawawi rahimahullah wafat 676 H, salah seorang mujtahid di dalam Mazhab al-Imam al-Syafie , ulama Sufi yang cukup hebat. Siapa lagi yang memberikan tekanan dan desakan kepada Sultan al-Zahir Bibris rahimahullah untuk memerangi tentera Tartar ketika itu jika bukan al-Imam al-Nawawi rahimahullah? Malah Sultan Bibris mengatakan :
“Aku cukup takut kepada lelaki ini (al-Imam al-Nawawi rahimahullah)” .
Ini disebutkan di dalam kitab Tazkirah al-Ayyubiyah ( manuskrip bernombor 7814 mukasurat 53).
PERANAN ULAMA SUFI DI DALAM MENGISLAMKAN MONGGOL
Sejarah Islam adalah merupakan sejarah yang paling memeningkan para Oreantalis. Selalunya golongan penjajah akan bisa menguasai Negara yang dijajahnya. Namun sebaliknya berlaku bilamana tentera Monggol menguasai Negara Umat Islam ketika tersebut, penjajah yang mengikut agama Negara yang dijajah, bukan yang dijajah mengikut penjajah. Bagaimana ianya berlaku? Tidak lain dengan wujudnya golongan yang dekat dirinya dengan Allah taala dan RasulNya. Kecintaan mereka kepada Allah taala dan RasulNya menjauhkan mereka daripada takut kepada celaan orang yang mencela serta kezaliman penjajah ketika tersebut.
Jika kita melihat kepada kitab-kitab sejarah Islam, disebutkan oleh para ulama bahawa di antara penyebab berjayanya Sultan Zahir Bibris memenangi peperangan adalah kerana wujudnya hubungan baik dengan Barakah Khan ( wafat 665 H) beliau merupakan cucu lelaki Gengis Khan. Hubungan ini berlaku ketika Barakah Khan pulang daripada pertemuan dengan al-Imam al-Syeikh Sofiyuddin al-Bakharzi, Khalifah Tariqat Kabrawiyah. Para ulama menyebutkan bahawa Barakah Khan berkenan untuk memeluk Islam setelah bertemu dengan ulama Sufi ini iaitu al-Syeikh Sofiyuddin al-Bakharzi rahimahullah.
Begitu juga dengan peranan yang dilakukan seorang lagi ulama besar Sufi di dalam mengislamkan para pembesar serta tentera Monggol iaitu al-Syeikh Saaduddin bin Hammuyah (wafat 652 H).
Raja Ghazan , salah seorang cucu Holako juga memeluk agama Islam hasil dakwah daripada al-Imam Ibrahim al-Juwaini al-Syafie al-Sufi rahimahullah ( wafat 722 H). Hasilnya menyebabkan seluruh tentera pimpinan Raja Ghazan yang kebanyakkannya berada di Iran dan kawasan sekitarnya telah menerima cahaya agama Allah taala.
Kawasan Asia Tengah menyaksikan bahawa hidayah Allah taala telah menusuk ke dalam kalbu Raja Kashghar Timor Khan al-Monggoli ( wafat 765 H) bilamana berlaku pertemuan di antara beliau dengan al-Imam al-Syeikh Jamaluddin al-Bukhari al-Naqsyabandi ( antara Ulama Besar bertariqat Naqsyabandi) . Keberanian serta keikhlasan al-Imam Jamaluddin al-Bukhari menyebabkan Raja Timor Khan tertarik memeluk Islam. Ianya berlaku bilamana Timor Khan mengatakan kepada al-Imam Jamaluddin dan sahabat-sahabatnya :
“Harga anjing lebih tinggi berbanding dengan harga diri kamu semua ( sambil mengisyaratkan kepada al-Imam Jamaluddin dan sahabat-sahabatnya)”
Al-Imam Jamaluddin al-Bukhari lalu menjawab : “Ya, Mungkin benar katamu itupun jika kami tidak memeluk agama Allah ini. Namun kami menjadi mulia hanya kerana kami memeluk agama Allah taala ini”
Di kawasan Banggal pula, kelihatan ramai para tentera Monggol berpusu-pusu memeluk agama Allah taala . Semuanya adalah berkat jasa al-Imam al-Sufi Jalaluddin al-Tibrizi rahimahullah.Ini seperti disebutkan di dalam catatan Rehlah al-Imam Ibn Battuta rahimahullah.
Joban ( wafat 736 H) salah seorang pembesar Monggol telah menjadi salah seorang pengikut setia kepada al-Syeikh al-Murabbi Sofiyuddin al-Ardabili rahimahullah. Pernah sekali Joban rahimahullah bertanyakan kepada al-Imam al-Ardabili :
“Mana lebih banyak, tentera Sultan atau murid kepada Syeikh?”
Maka al-Imam al-Ardabili menjawab :
“Murid-muridku di Iran sahaja sudah melebihi bilangan mereka daripada tentera Sultan itu sendiri”
Nah, ini adalah sebahagian daripada peranan ulama Sufi di dalam peperangan menentang tentera Monggol. Peperangan di dalam Islam bukan semata-mata bertujuan menumpahkan darah umat manusia. Jika begitu hadaf dan tujuannya, maka samalah kita dengan golongan yang tidak beragama. Namun tujuan peperangan di dalam Islam adalah menyebarkan risalah dakwah mempamerkan kecantikan Islam kepada pihak musuh. Inilah yang dijalankan oleh para ulama sufi ketika tersebut.
Jangan cepat menghukum, kaji dahulu. Tak malukah kamu jika ingin berhadapan dengan para pejuang di kalangan ulama Sufi pada zaman tersebut satu masa nanti di Syurga Allah kelak? Kamu menuduh bahawa mereka hanya sibuk dengan diri masing-masing tanpa melibatkan diri dengan perjuangan, tetapi hakikatnya ianya adalah tohmahan malah tidak salah saya katakan bahawa ianya akan menjadi fitnah. Kamu banyak pengikut, kamu akan dipersoalkan kelak jika kamu tidak menarik semula tohmahan kamu terhadap para ulama Sufi yang berjuang bermati-matian berhadapan dengan tentera TarTar ketika tersebut.
Fikir dahulu sebelum keluarkan kenyataan. Maaf jika saya terkasar bahasa. Semoga Allah taala jua memberikan petunjuk kepada kebenaran.
Rujukan :
al-Butulah Wa al-Fida' Inda al-Sufiyyah : Dirasatun Tarikikhiyyah Karangan al-Syeikh As'ad al-Khatib
Link utk artikel Presiden ISMA http://ustabdullahzaik.wor
No comments:
Post a Comment