Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Tuesday, April 26, 2011

Hukum Dan Fatwa Merokok

Syeikh Abdullah Nasih 'Ulwan dalam Tarbiyah al-Awlad 1/331-332 berkata: "Para fuqaha' pada zaman lampau telah mengharuskan atau menghukumkan makruh, mungkin boleh dikatakan ada pengecualian di sini kerana ilmu perubatan ketika itu belum benar-benar dapat menyingkap bahaya merokok dengan alasan bahawa formula asal sesuatu benda atau perkara itu adalah harus.

Tetapi, setelah ilmu perubatan mengetahui kesan buruknya terhadap diri dan jiwa, maka para pakar telah menjelaskan bahayanya terhadap diri seseorang dan masyarakat. Oleh itu, tidak boleh diragukan lagi tentang pengharamannya. Haramnya adalah jelas dan berdosa kerana sifat membinasakannya juga nyata.”

Justeru, di sini dikemukakan fatwa sebahagian ulama yang mengharamkan rokok:

  • Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur, al-Umm, iaitu: “Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun, yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (memfatwakan) ia adalah haram. Allah SWT mengharamkan (apa pun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri mereka sendiri.”
  • Syeikh Ba’ Alawi dalam Bughiyyah al-Mustarsyidin (hal. 260)berkata: “Tembakau (rokok) sudah dimaklumi sebagai benda yang halal yang paling buruk, di mana ia boleh mengkhayalkan dan berlakunya pembaziran harta. Ia bukanlah menjadi pilihan makanan, hisapan atau sedutan oleh mereka yang bermaruah. Pengharaman mengenainya telah difatwakan oleh ulama’ tasawuf, seperti al-Qutub Sayyidina Abdullah al-Haddad, al-‘Allamah Ahmad al-Hadwan, sebagaimana yang disebut oleh Ahmad bin Umar bin Sumaith tentang pendapat keduanya dan ulama’ lain sependapat dengan mereka.
  • Syeikh Ibn `Abidin, muhaqqiq Mazhab Hanafi dalam kitabnya, Hasyiyah Radd al-Mukhtar (6/459-460) berkata: “Berhubung dengan tembakau, dianggap oleh orang yang menghisapnya tidak memabukkan dan sekiranya dakwaan ini diterima, sebenarnya ianya melesukan dan melesukan itu adalah haram berdasarkan hadith Imam Ahmad, daripada Ummu Salamah RA, katanya: “Rasulullah SAW menegah (memakan dan meminum) tiap-tiap sesuatu yang memabukkan dan melesukan.
  • Syeikh Abdul Rahman al-Jaziri dalam kitabnya, al-Fiqh `Ala al-Madzahib al-Arba’ah (hal. 2-10),antara lain menegaskan: “Dan haram menggunakan (makan, minum dan hisap) setiap bahan yang memudharatkan kepada tubuh dan akal dengan bersangatan haramnya, seperti candu, ganja, kokain dan semua jenis bahan yang memabukkan, melesukan fikiran, memudharatkan dan meracuni.”
  • Syeikh Muhammad Bakhit, Mufti Mesir berkata: “Hukum menghisap rokok dalam Majlis al-Quran sama ada oleh pembaca sendiri atau yang sebelahnya, dihukum sebagai haram.”
  • Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Fatawa Mu’asirah (hal. 81) berkata: “Merokok mengikut sebahagian ulama’ masa kini, hukumnya haram kerana thabit kemudharatannya dalam jangka masa yang panjang berdasarkan hadith berkenaan kemudharatan. Begitu juga, iktibar berdasarkan matlamat dan maksud.”
  • Syeikh `Abd al-`Aziz bin Abdillah bin Baz, Mufti Kerajaan Arab Saudi dalam Mausu’ah al-Ahkam wa al-Fatawa al-Syar’iyyah (hal. 1199) berkata: “Merokok hukumnya haram berdasarkan zahir al-Quran, al-Sunnah dan iktibar yang sahih, di samping membawa kemudharatan dan membelanjakan harta tanpa faedah.”
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia kali yang ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan, tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam.
Banyak lagi ulama terdahulu dan masa kini mengharamkan rokok. Oleh yang demikian, merokok adalah haram di sisi Islam. Wallahua'lam.

(Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri)

No comments:

Post a Comment