Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Tuesday, April 26, 2011

Aku Minat Kepada Dia





Apabila anda telah menemui calon pasangan hidup yang dirasakan sesuai, agaknya apakah cara yang ditunjukkan oleh Islam untuk melamarnya? Sebelum ini kita telah mengetahui dengan budaya orang Barat melalui filem-filem mereka, bahawa pihak lelaki akan turun berdiri di atas sebelah lututnya menghadap calon wanitanya, membuka bekas yang tersimpan kemas sebuah cincin berlian lalu melamar: “Will you marry me?” Calon wanita akan menjawab: “Yes I do!” Kemudian mereka akan berpelukan dan berciuman tanda kegembiaraan.


Tentu saja para pembaca yang budiman sekalian tidak akan melamar dengan cara di atas sebab pelukan dan ciuman adalah haram di antara lelaki dan wanita selagi mana mereka belum bernikah. Lalu apakah cara yang ditunjukkan oleh Islam? Insya-Allah melalui artikel ini saya akan berkongsi cara-cara, dimulakan dengan cara lelaki melamar calon isterinya.

Lelaki Melamar Calon Isteri.

 Cara pertama lagi yang terbaik ialah lelaki melamar melalui wali – yakni ayah – calon isterinya. Lelaki akan menemui wali secara berhadapan (face to face) lalu meminta izin dan keredhaan beliau untuk menjadikan anak perempuannya sebagai isteri. Cara ini ditunjukkan oleh Rasulullah apabila baginda ingin menikahi A’isyah binti Abu Bakar. Rasulullah pergi menemui ayahnya – Abu Bakar as-Shiddiq – lalu menyatakan hajatnya untuk menikahi puteri beliau – A’isyah. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, hadis no: 4691.

Cara kedua, lelaki menggunakan orang tengah untuk melamar terus kepada calon isterinya. Cara kedua ini sesuai jika wanita tersebut sudah dewasa atau janda berbanding cara pertama yang sesuai untuk wanita muda atau masih dara. Cara kedua ini ditunjukkan oleh Rasulullah apabila baginda ingin menikahi Umm Salamah. Baginda mengutuskan Hathib bin Abi Balta’ah untuk melamar Umm Salamah yang ketika itu baru kematian suaminya. [Shahih Muslim, no: 1525]

Wanita Melamar Calon Suami.

 Islam membolehkan wanita mengorak langkah pertama untuk melamar calon suami yang dirasakan sesuai. Wanita Islam tidak semestinya duduk dan tunggu lelaki datang melamarnya, bagaikan menunggu jodoh datang bergolek kepadanya.

Cara pertama lagi terbaik ialah memintakan wali – yakni ayah – untuk melamar calon suaminya. Cara ini pernah ditunjuk oleh al-Qur’an, ketika seorang ayah berkata kepada Nabi Musa: “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini.” [al-Qashash 28:27] Ayat di atas menunjukkan bagaimana seorang wali melamarkan anak perempuannya kepada seorang lelaki. Oleh itu jika seorang wanita itu ingin melamar calon suaminya, dia boleh – malah patut – meminta agar walinya melamar calon suami tersebut.

Cara kedua ialah meminta orang tengah untuk melamar calon suami. Ini merujuk kepada tindakan Rasulullah yang menggunakan Hathib bin Abi Balta’ah untuk melamat Umm Salamah. Penggunaan orang tengah bukan sahaja bagi lelaki melamar calon isteri tetapi boleh juga bagi wanita melamar calon suami.

Apabila memilih orang tengah, pilihlah orang yang berpengalaman dalam hal ehwal rumahtangga, pandai memberi nasihat, mengenali calon yang bakal dilamar dan amanah menjaga rahsia. Ciri-ciri ini membolehkan orang tengah tersebut menilai sama ada lamaran yang dicadangkan itu sesuai atau tidak dan apa-apa perkara-perkara tambahan yang perlu diperhatikan oleh kedua-dua bakal suami-isteri. Jangan memilih orang tengah yang sebarangan, dibimbangi mudarat melebih manfaat dalam proses lamaran tersebut.

Cara ketiga ialah wanita melamar terus calon suaminya. Sahl bin Sa’ad menerangkan bahawa seorang wanita pernah datang menawarkan dirinya menjadi isteri Rasulullah. Rasulullah tidak menerima lamaran tersebut, namun tidak menegur atau menasihati sikap wanita tersebut yang dengan berani melamar terus kepada baginda. [Shahih Muslim, no: 2554]

Mungkin ada yang berpendapat seorang wanita patut memiliki sikap malu untuk melamar terus calon suaminya. Pendapat ini perlu dibetulkan bahawa seseorang itu tidak sepatutnya malu-malu melakukan apa yang halal lagi dibolehkan oleh agama. Sikap malu hanyalah terhadap apa yang dilarang dan ditegah oleh agama. Berkenaan sikap malu ini, Anas bin Malik menerangkan:

“Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah lalu menawarkan dirinya kepada baginda (untuk dijadikan isteri).” Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah anda berhasrat padaku?” Anak perempuan Anas (yang turut hadir saat itu) berkata: “Alangkah sedikitnya rasa malu dia.” Anas berkata: “Wanita itu lebih baik berbanding kamu sebab dia suka kepada Nabi sehingga dia menawarkan dirinya kepada baginda.” [Shahih al-Bukhari, no: 4726]

Oleh itu seorang wanita boleh melamar terus kepada calon suaminya jika dia yakin tindakannya itu akan tetap menjaga maruahnya dan lamaran tersebut akan diberi pertimbangan serius oleh calon lelaki tersebut. Sebaliknya jika lamaran secara terus akan menjadikan wanita itu sebagai subjek gossip dan lawak jenaka, maka lebih baik beralih ke cara pertama dan kedua yang diterangkan di atas.

Konflik Ibubapa.

 Agak kerap kita mendengar dua insan yang ingin berkahwin menghadapi rintangan ibubapa. Ibu atau bapa dari salah satu atau kedua-dua pihak tidak setuju dengan calon pilihan anak mereka. Mengapakah ini berlaku? Salah satu sebab utama ialah anak-anak membuat keputusan memilih calon dan melamarnya menjadi pasangan hidup tanpa pengetahuan, perbincangan dan keredhaan ibubapa terlebih dahulu. Ibubapa hanya dibawa masuk setelah semua pilihan, lamaran dan keputusan dibuat.

Sikap seperti ini oleh anak-anak – sekali pun mereka sudah dewasa – menyebabkan ibubapa merasakan diri mereka tidak dihormati apatah lagi dipedulikan. Maka ini sedikit sebanyak menyumbang kepada keberatan mereka untuk menerima calon pilihan anak mereka sebagai bakal menantu.

Atas dasar inilah Islam sejak awal mengajar anak-anak peranan wali dalam lamaran. Sekali pun anak-anak boleh melamar secara terus, ia lebih tertumpu kepada kes anak yang sudah berpengalaman dalam hidup seperti duda dan janda. Ada pun bagi kebanyakan orang muda, maka melamar melalui wali calon pasangan adalah cara yang terbaik lagi memudahkan segala urusan selepas itu.

No comments:

Post a Comment