Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Wednesday, April 27, 2011

Akad Nikah Di Dalam Masjid : Ulasan Ilmiah






PENDAHULUAN


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh di dalam akhbar Utusan bertarikh 20 Mac 2011 bahawa akad yang dilakukan di dalam masjid menyimpang daripada ajaran Nabi SAW. Di kesempatan yang ada, dapat saya mengulas serba sedikit permasalahan ini.

Berita tersebut seperti berikut :

KANGAR, 20 Mac (Bernama) -- Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh.

Beliau berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.

Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini.

Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah melakukan akad nikah dalam masjid.

Ini adalah satu-satunya kes akad nikah dalam masjid yang dilakukan baginda, kata pendakwah itu hari ini ketika diminta mengulas keghairahan umat Islam ketika ini menjadikan masjid sebagai tempat akad nikah kerana menganggap ia lebih berkat.

Ahmad berkata adalah lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin.

Sumber - BERNAMA

(http://www.ptgps.gov.my/index.php/bm/component/content/article/621-akad-nikah-di-masjid-menyimpang-dari-amalan-rasulullah-kata-ahmad-jusoh.html)

PERBAHASAN BERDASARKAN HADIS

Nabi SAW bersabda :

أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ ، وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ ، وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ

Hebahkanlah perkahwinan ini, dan adakanlah di dalam masjid, dan palulah dengan kompang untuk majlis ini.

Diriwayatkan oleh al Baihaqi di dalam Sunan Kubra hadis no. 15095, diriwayatkan juga oleh at Tirmizi di dalam Sunan Tirmizi hadis no. 1009

Imam at Tirmizi menyifatkan hadis ini sebagai Hadis Hassan Gharib.

Syeikh Badruddin al ‘Aini menyatakan di dalam Umdatul Qari bahawa ia juga telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah, an Nasa’ie dan at Thabrani mengikut sanad yang berbeza di dalam kitab masing-masing, dan lafaz yang berbeza-beza.

(Badruddin al ‘Aini, Umdatul Qari Syarh Shahih al Bukhari, terbitan Multaqa Ahlul Hadis, tahun 2006, bil 29, hal. 332)

Ia juga telah ditakhrijkan oleh Ad Dailami (jil.1 hal. 101, hadis no. 335), Ibnu Jauzi di dalam Ilal al Mutanahiah (jil. 2, hal 627, hadis no. 1034) beliau menyatakan hadis ini sangat dha’if (lemah), dan Ibnu Hajar al Asqolani di dalam Fathul Bari (jil. 9, hal. 226) juga menyatakan sanadnya lemah.

(Jalaluddin as Sayuti, Jami’ al Ahadis, jil. 5, hal. 109, hadis no. 3829)

Saya tidak mahu memanjangkan kalam di dalam perkara ini, boleh saya ringkaskan bahawa hadis ini juga telah ditulis di dalam kitab-kitab hadis berikut :

1. Mirqatul Mafatih Syarh Misykatil Masabih, karangan Mula Ali Qari (jil. 29, hal 332)

2. Jami’ al Usul Fi Ahadisir Rasul, karangan Ibnu Athir (jil. 11, hal. 439, hadis no. 8975)

3. Jam’ul Jawami’ karangan Imam Sayuti (jil. 1, hal. 429, hadis no. 170)

4. Kanzul Ummal Fi Sunanil Aqwal Wal Af’al karangan al Muttaqi al Hindi (jil. 16, hal. 291, hadis no. 44535)

5. al Ifsah Fi Ahadisin Nikah karangan Ibnu Hajar al Haitami (jil. 1, hal. 16, hadis no. 25)

6. dan banyak lagi..

PERBAHASAN BERDASARKAN FIQH

Saya teringat, ketika pengajian bersama Syeikh Sayyid Syaltut di Masjid al Azhar, beliau pernah berkata :

“Ulama Mazhab lebih arif tentang hadis daripada kita, bahkan mereka juga ahli hadis”

Maka, mazhab menjadi panduan bagi kita dalam mengeluarkan hukum sesuatu. Mereka yang tidak berpandukan mazhab, bahkan hanya merujuk terus kepada hadis Nabi SAW hanyalah dikhususkan oleh mereka yang pakar di dalam bidang tersebut. Ini kerana, untuk memahami hadis bukanlah dengan hanya membaca buku, kemudian terus jadi alim. Ia memerlukan kepada manhaj yang betul, dan panduan para ulama’.

Saya akan senaraikan beberapa perbahasan ulama Mazhab tentang akad nikah di dalam masjid :

Pertama : Mazhab Hanafi

Di dalam kitab al Bahrur Ra’iq Syarh Kanzid Daqa’iq (jil. 7, hal. 461) karangan Ibnu Najim al Misri, beliau berkata :

وَأَشَارَ الْمُصَنِّفُ بِكَوْنِهِ سُنَّةً أَوْ وَاجِبًا إلَى اسْتِحْبَابِ مُبَاشَرَةِ عَقْدِ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ لِكَوْنِهِ عِبَادَةً

Pengarang (kitab Kanzud Daqa’iq karangan Imam Hafizuddin an Nasafi) menunjukkan bahawa menjadi perkara sunat, ataupun wajib kepada menggalakkan akad nikah di dalam masjid, kerana ia adalah sebagai satu ibadah

Az Zaila’ie menukilkan kalam al Kamal, di dalam kitab Tabyinul Haqa’iq (jil. 5, hal. 192) mengulas hadis di atas :

وَيُسْتَحَبُّ مُبَاشَرَةُ عَقْدِ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ ؛ لِأَنَّهُ عِبَادَةٌ

Dan digalakkan melakukan akad di dalam masjid, kerana ia adalah satu ibadah

Juga dinyatakan di dalam kitab karangan ulama mazhab lain di dalam kenyataan ini seperti ad Durrul Mukhtar Wa Raddul Muhtar, Fathul Qadir karangan Ibnu al Humam, Majma’ul Anhar karangan Syaikhi Zadah, Syarhul Kabir karangan Ibnu Qudamah dan banyak lagi.

Kedua : Mazhab Syafi’e

Di dalam kitab I’anatut Thalibin (jil. 3, hal. 273), karangan Abu Bakar ad Dumyati menukilkan ulasan tentang hadis di atas :

واجعلوه في المساجد مبالغة في إظهاره واشتهاره فإنه أعظم محافل الخير والفضل

Dan adakanlah (akad nikah) itu di dalam masjid, iaitu bermeriah dalam menzahirkannya dan menghebahkannya. Sesungguhnya ia adalah sebaik-baik sambutan yang baik dan mulia.

Beliau juga menyatakan di dalam halaman yang sama (jil. 3, hal. 273)

ويسن أن يكون العقد في المسجد

Dan disunatkan akad nikah dilakukan di masjid

Di dalam kitab Tuhfatul Muhtaj Fi Syarhil Minhaj (bah. 43, hal 493), karangan Ibnu Hajar al Haitami mengulas hadis di atas :

أَخَذَ الْبَغَوِيّ وَغَيْرُهُ مِنْهُ أَنَّهُ سُنَّةٌ فِي الْعُرْسِ

Al Baghwi dan lain-lain mengeluarkan hukum daripada mengambil hadis ini (hadis yang disebutkan sebelum ini), bahawa ia adalah perkara sunat di dalam perkahwinan

(ia juga telah dinukilkan oleh Imam Ramli di dalam Nihayatul Muhtaj Ila Syarhil Minhaj, bah. 28, hal. 288)

Ketiga : Mazhab Maliki

Di dalam kitab Mawahibul Jalil Li Syarhi Mukhtasar al Khalil (jil. 5, hal. 26) karangan Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Muhammad al Maghribi menyatakan :

وأما العقد في المسجد فعده المصنف وغيره من الجائزات فقال في باب موات الأرض وجاز بمسجد سكنى رجل تجرد للعبادة وعقد نكاح ولم أر الآن من صرح باستحباب العقد فيه من أهل المذهب والله أعلم

Manakala akad nikah di dalam masjid, maka penulis (kitab Mukhtasar al Khalil) dan lain-lain menyatakan bahawa ia adalah diharuskan. Beliau (penulis kitab Mukhtasar al Khalil) menyatakan di dalam Bab Tanah Tandus, dan diharuskan untuk masjid itu, dihuni oleh lelaki yang memfokuskan ibadah semata-mata dalam hidupnya, dan berakad nikah. Dan aku belum nampak ketika ini, sesiapa yang menyebut dengan jelas tentang galakan berakad nikah di situ, dari kalangan ahli mazhab fiqh. WaLlahua’lam.

Jelas, adab seorang ulama apabila mengeluarkan sesuatu kenyataan. Beliau yang bermazhab Maliki menyatakan bahawa akad nikah di dalam masjid diharuskan. Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa tidak mengetahui sekiranya ada di sana mazhab yang menyatakan ia digalakkan.

ULASAN TAMBAHAN

Dinyatakan di dalam kitab Ghamzu Uyunil Basa’ir Fisy Syarhil Asybahi Wan Nazha’ir (bah. 7, hal 122) karangan Ahmad bin Muhammad al Hamawi :

قَوْلُهُ : وَيُسْتَحَبُّ عَقْدُ النِّكَاحِ فِيهِ . كَذَا فِي مُنْيَةِ الْمُفْتِي وَعِبَارَتُهُ عَقْدُ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ لَا يُكْرَهُ بَلْ يُسْتَحَبُّ

Katanya (pengarang kitab Asybah Wan Nazha’ir) : Dan digalakkan berakad nikah di dalamnya (masjid). Begitu juga disebut di dalam kitab Munyatul Mufti dan petikannya : Akad nikah di dalam masjid tidak makruh, bahkan digalakkan.

Di dalam Mausu’ah al Fiqhiyyah al Kuwaitiah, terbitan Kementerian Waqaf, bil. ke 45, no. 28, menyebut :

اسْتَحَبَّ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ عَقْدَ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ لِلْبَرَكَةِ ، وَلأَِجْل شُهْرَتِهِ فَعَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ : قَال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ.

Jumhur Fuqaha telah mengharuskan akad nikah di dalam masjid untuk keberkatan, dan untuk menghebahkannya. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda “Hebahkanlah perkahwinan ini, dan adakanlah di dalam masjid, dan palulah dengan kompang untuk majlis ini”

وَأَضَافَ الْمَالِكِيَّةُ فِي إِجَازَتِهِمْ لِعَقْدِ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ أَنْ يَكُونَ بِمُجَرَّدِ الإِْيجَابِ وَالْقَبُول مِنْ غَيْرِ ذِكْرِ شُرُوطٍ وَلاَ رَفْعِ صَوْتٍ أَوْ تَكْثِيرِ كَلاَمٍ وَإِلاَّ كُرِهَ فِيهِ .

Ulama Mazhab Maliki menambah dalam menghukumkan sebagai harus, bagi akad nikah yang dilakukan di dalam masjid, iaitu hendaklah semata-mata lafaz ijab dan qabul, tanpa menyebut syarat-syarat yang lain, juga tanpa meninggikan suara, atau banyak bersembang. Sekiranya tidak (iaitu sekiranya terdapat unsur-unsur ini) maka, hukumnya makruh.

وَزَادَ الْحَنَفِيَّةُ فِي الْمُخْتَارِ عِنْدَهُمْ : أَنَّ الزِّفَافَ بِهِ لاَ يُكْرَهُ إِذَا لَمْ يَشْتَمِل عَلَى مَفْسَدَةٍ دِينِيَّةٍ فَإِنِ اشْتَمَل عَلَيْهَا كُرِهَ فِيهِ

Ulama Mazhab Hanafi pula menambah kitab al Mukhtar (Durrul Mukhtar Wa Raddul Muhtar) : Sesungguhnya majlis perkahwinan itu tidak makruh sekiranya tidak mengandungi unsur-unsur yang rosak dari perspektif agama. Sekiranya terdapat, maka makruhlah hukumnya.

BILAKAH HUKUMNYA HARAM?

Sepertimana yang telah saya sebutkan, ulama fiqh telah membahaskan begitu panjang lebar tentang akad nikah di dalam masjid. Ia bukanlah satu perbincangan yang baru. Hukum asal bagi akad nikah di dalam masjid, samada harus, sunat atau wajib.

Akad nikah di dalam masjid boleh jadi haram disebabkan beberapa faktor, sepertimana yang telah dinyatakan di dalam Majalah Majma’ Fiqh Islami (bil. 3, hal. 1092)

أما عقد النكاح في المسجد فشيء مندوب، نطقت باستحبابه الأحاديث ولكن ما يصحبه من الرقص، والغناء فلا يجوز أصلًا، فإن كانت حفلات الزواج لا تخلو من هذه المنكرات، فلتجنب المساجد منها

Manakala akad nikah di dalam masjid, ia adalah sesuatu yang digalakkan. Telah disebut galakan tersebut di dalam hadis-hadis. Akan tetapi, apa yang diiringi dengannya unsur-unsur tarian dan nyanyian, maka tidak dibenarkan. Sekiranya majlis perkahwinan itu tidak terlepas daripada unsur-unsur kemungkaran ini, maka hindarilah masjid daripadanya.

Apa yang dinyatakan di sini ialah, akad nikah di dalam masjid itu bukanlah diharamkan. Sebaliknya unsur-unsur yang diselitkan di dalam majlis ini, yang mengandungi unsur haram, maka ia diharamkan. Pengharamannya bukan disebabkan akad tersebut, tetapi disebabkan nyanyian, tarian dan sebagainya.

Juga disebutkan di dalam Majalah Majma’ Fiqh Islami (bil. 3, hal. 1282) :

إذا قلنا يندب عقد النكاح في المسجد ولا تجوز إقامة الحفلات فيها إذا اقترنت بمحظور شرعي كاختلاط إلى آخره

Sekiranya kita mengatakan digalakkan berakad nikah di dalam masjid, maka tidak dibenarkan melaksanakan majlis perkahwinan tersebut apabila disekalikan dengan unsur-unsur yang dilarang oleh syara’ seperti percampuran jantina dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, di dalam kitab al Madkhal karangan Ibnu al Haj (bah. 2, hal. 264) mengajar kita beberapa adab ketika melakukan akad nikah di dalam masjid, tidaklah mengharamkannya semata-mata.

Syeikh Mustafa al Adawiy pula melontarkan sesuatu perkara di dalam Silsilatut Tafsir (jil. 10, hal 18)

صحيح أن المسجد أفضل بقعة، لكن كون جمع الناس في المسجد للعقد أفضل من غيره يحتاج إلى دليل، وقد يكون العقد في أي مكان سواء، فسنة الرسول هي الحكم، وقد عقد الرسول صلى الله عليه وسلم في البيت، وفي المسجد، وتعقد حتى في الطريق، أو في أي مكان بحضور الولي والشهود. هذه هي السنة. لكن أن تعمل العقد في المسجد، وتقول للناس: هذه الصورة الإسلامية للعقد فهذا افتراء على سنة رسول الله عليه الصلاة والسلام

Benar, Masjid itu adalah tempat yang paling baik. Tetapi, menghimpunkan manusia di dalam masjid untuk akad nikah di situ apabila dikatakan lebih baik daripada tempat lain, maka ia perlu bersandar pada dalil. Kadangkala akad di mana-mana tempat pun sama sahaja. Maka, sunnah Nabi SAW itu menjadi hukum. Nabi SAW pernah mengakadkan orang di rumah, dan di masjid. Pernah juga akadkan orang di jalan, ataupun mana-mana tempat dengan kehadiran wali dan saksi. Inilah sunnah. Akan tetapi, apabila akad dilakukan di dalam masjid, lalu kamu pula berkata kepada manusia : Inilah cara Islam untuk akad nikah, maka ia adalah rekaan terhadap sunnah Rasulullah SAW.

Jelas di sini, Syeikh Mustafa Adawiy tidak menafikan bahawa akad di dalam masjid itu adalah sunnah Nabi SAW, sebaliknya beliau menafikan golongan yang cuba mengatakan akad di dalam masjid ini adalah cara Islam, sehinggakan masyarakat memandang serong terhadap akad di rumah, atau di tempat-tempat yang lain.

Alhamdulillah, masyarakat Melayu di Malaysia, tidak pula memandang serong terhadap pasangan yang berakad di rumah. Tetapi, sangat kesal apabila ada golongan yang memandang serong berakad nikah di masjid.

KESIMPULAN

Hadis yang telah dinyatakan di permulaan penulisan ini adalah Hadis Hassan Gharib, yang telah diriwayatkan beberapa ulama’ hadis. Walaupun demikian, para fuqaha’ menggunakan hadis tersebut untuk mengeluarkan hukum berakad nikah di dalam masjid.

Maka, ringkasan hukumnya sepertimana yang dinyatakan :

1. Akad di dalam masjid hukumnya sunat berdasarkan Mazhab Hanafi dan Syafie.

2. Akad nikah di dalam masjid hukumnya harus pada Mazhab Maliki.

3. Hukumnya boleh jadi makruh, sekiranya terdapat di dalam akad nikah tersebut, unsur-unsur yang tidak elok. Sepertimana yang dinyatakan di dalam Mausu’ah al Fiqhiyyah al Kuwaitiah. Akad nikah di dalam masjid semata-mata, tidaklah makruh, sebaliknya unsur-unsur yang digabungkan bersamanya.

4. Hukumnya boleh jadi haram, sekiranya terdapat unsur-unsur haram, sepertimana yang dinyatakan di dalam Majalah Majma’ Fiqh Islami. Akad nikah di dalam masjid semata-mata tidaklah haram, sebaliknya unsur-unsur yang digabungkan bersamanya.

5. Tiada pendapat yang menyatakan akad nikah wajib dilakukan di dalam masjid. Sebaliknya ia boleh dilakukan di mana-mana tempat yang sesuai. Sila rujuk Silsilah Tafsir karangan Mustafa Adawiy.

6. Tiada pendapat yang mengatakan akad nikah haram dilakukan di dalam masjid, kerana Nabi SAW pernah mengakadkan orang di dalam masjid. Maka, tidak mungkin Nabi SAW melakukan perkara yang haram.

Maka, daripada kesimpulan ini, dapatlah kita fahami bahawa Islam mengajar kita supaya “tidak melampau” dan “tidak pula meringan-ringankan”. WaLlahua’lam.


Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Felo Markas Pengumpulan Kajian Ilmiah dan Hasilan (MANHAL)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

No comments:

Post a Comment