Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Saturday, May 14, 2011

USRAH...

Muqaddimah
Ahli-ahli di dalam gerakan Islam tidak dapat tidak perlu diperkukuhkan kecintaan mereka terhadap Islam. Sesudah itu, mereka pasti akan mampu pula untuk dididik dengan cara diberikan kefahaman yang jelas dan benar bagaimana cita-cita Islam dapat diperjuangkan. Sekalipun gerakan Islam tentunya mempunyai penggerak dan pendokong yang ramai, mereka pasti akan terbahagi kepada beberapa lapisan golongan yang tersendiri. Setiap peringkat lapisan yang wujud di dalam gerakan Islam memerlukan sistem pendidikan dan pentarbiyahan yang tersendiri bagi memastikan cita-cita untuk memperjuangkan Islam terus menerus subur dan tidak akan layu selamanya. Salah satu cara tersebut ialah Usrah.

Apakah itu Usrah?

Perkataan usrah berasal dari kalimah Arab yang bermakna keluarga. Penggunaan istilah ini pada asalnya sudah tentu merujuk kepada ikatan kekeluargaan yang terjadi sesama manusia samada di dalam hubungan rumahtangga, kabilah, kaum, darah keturunan, suku bangsa atau puak.

Dalam konteks harakiah, usrah bererti satu unit kekeluargaan yang diikat dengan kesatuan akidah (wehdatul aqidah), kesatuan fikrah (wehdatul-fikr) dan kesatuan kesedaran untuk sama-sama saling membantu memperkukuhkan Jama’ah Islam dari pelbagai sudut bagi membolehkan kerja-kerja amal jama’ie dapat dilaksanakan dengan teratur sehinggalah tercapai matlamat yang teragung iaitu tertegaknya Daulah dan Khilafah Islamiyyah.

Berdasarkan pengertian tersebut, jelaslah bahawa usrah dalam pemahaman kita sebagai anggota jemaah Islam bukanlah merupakan sebuah ikatan yang terbatas setakat hubungan kekeluargaan namun ia melampau sempadan bangsa dan warna kulit. Ia jauh lebih kukuh dari itu kerana ia diikat di atas dasar AKIDAH iaitu ikatan yang diredhai oleh Pencipta langit dan bumi. Allah SWT berfirman :

“..Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(Al-Hujurat : ayat 13)

Sejarah Ringkas Usrah

Konsep usrah sebagaimana yang difahami oleh gerakan Islam secara umumnya bermula semenjak Rasulullah SAW mula menyebarkan dakwahnya di bumi Mekah. Rumah salah seorang sahabat yang bernama Arqam bin Abi Arqam digunakan untuk membuat sebarang pertemuan secara sulit dengan kaum muslimin dengan tujuan memberitahu dan membawa wahyu Allah SWT. Namun, setelah Allah SWT memerintahkan supaya Nabi SAW berdakwah secara terang-terangan, kaedah membuat pertemuan secara sulit sudah tidak lagi digunakan kecuali pada ketika yang tertentu.

Namun, secara khususnya aktiviti usrah seperti yang diamalkan oleh kita sekarang bermula apabila Almarhum Hassan Al-Banna mengasaskan Ikhwanul Muslimin pada tahun 1927 di Mesir beberapa tahun selepas kejatuhan dinasti khilafah Islamiyyah yang terakhir pada di Turki. Beliau mula membina tanzimya yang tersendiri dengan matlamatnya yang begitu jauh untuk mengembalikan semula khilafah Islamiyyah (Sayang.. beliau syahid sebelum melihat cita-citanya tercapai). Asas yang dibina oleh beliau diteruskan oleh pengikut-pengikutnya ke seluruh dunia dan menjadi satu momentum yang menggerakkan arus kebangkita semula Islam di seluruh pelusuk dunia dengan method dan strategi yang berbeza.

Apakah Matlamat Usrah?

Matlamat usrah boleh digariskan seperti :
1) Untuk menghimpunkan ahli-ahli jemaah di dalam kelompok-kelompok kecil di bawah satu pimpinan atau naqib bagi memudahkan penyaluran bahan-bahan pengisian dan tarbiah.
2) Untuk mewujudkan ikatan kekeluargaan Islam di kalangan ahli-ahli sehingga mereka dapat merasakan suatu hubungan dan ikatan secara langsung dengan jemaah dan proses pembentukan diri.
3) Untuk melatih ahli-ahli mengenali dan memahami kaedah bermuamalah dengan pimpinan / nuqaba’ dan bentuk-bentuk muamalah yang betul sesama rakan-rakan perjuangan.
4) Untuk mengenalpasti secara detail dan tepat seluruh persekitaraan yang mengelilingi ahli-ahli usrah seperti kefahaman, kemampuan, kelemahan, iltizam, masalah keluarga, kebajikan, kecenderungan, pemikiran dan sebagainya.
5) Untuk menyalurkan taujihat-taujihat dan thaqafah Islamiah secara kemas dan teratur (berdasarkan manhaj) kepada ahli-ahli usrah.
6) Untuk memudahkan sebarang arahan-arahan penting / segera dan strategi-strategi semasa disalur / diselaras / dikemaskinikan secara selamat dan berkesan.
7) Untuk melahirkan tenaga-tenaga amilin / mujahidin yang mampu melaksanakan tugas-tugas dan program-program jemaah dengan jaya dan berkesan.
8) Untuk menyalurkan masalah-masalah ahli dan menyelesaikan masalah tersebut dengan lebih berkesan.

Para Nuqaba’ dan Naqibat hendaklah memahami dan menghayati sepenuhnya peranan usrah di atas, supaya dapat mengendalikan usrah dengan baik dan menepati tuntutan-tuntutannya, sehingga ahli-ahli usrah dapat merasakan bahawa mereka memperolehi manfaat yang besar daripada usrah dan dapat pula menghayati peranan usrah yang sebenarnya.

Penutup

Kita sama-sama berharap agar aktiviti usrah sebagai salah satu method untuk memastikan kebangkitan semula Islam berlaku dapat berjalan sebaik mungkin. Apa yang diharapkan ialah semoga usaha yang kita sama-sama lakukan akan diteruskan oleh generasi selepas daripada kita. Kerana sesungguhnya kita adalah merupakan mat rantai di dalam perjuangan, tidak yang pertama dan tidak juga yang terakhir…! Allahuakbar!


Disediakan oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari (Presiden PMKIAS)

No comments:

Post a Comment