Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Monday, May 23, 2011

Kajian Ilmiah Terhadap Isu Takfir Di Malaysia (Bahagian 2)

Dalam artikel sebelum ini, penulis mengutarakan hasil dapatan penulis berkaitan faktor yang menyebabkan isu takfir meletus di negara ini khususnya sekitar 80an dahulu. Secara ringkas dapat disimpulkan isu ini adalah permainan golongan sekular yang memanipulasi satu gerakan dakwah menerangkan batas-batas kekufuran dan keimanan untuk mengasingkan perjuangan Islam dengan masyarakat marhein.

Mengupas semula sejarah negara sekitar 80an, telah diakui isu kafir-mengkafir ini sememangnya menjadi senjata yang ampuh bagi pihak musuh menyerang manhaj perjuangan Islam. Dibantu dengan kebebasan media yang disekat serta ruang demokrasi yang disempitkan, gerakan Islam di Malaysia pada waktu itu benar-benar diuji kekuatan mereka apabila dipandang sepi oleh majoriti rakyat yang terpedaya dengan permainan pembenci Islam ini.

Perjuangan Islam yang baru sahaja dijenamakan semula dengan wajah kepimpinan ulama telah dilabel sebagai kumpulan gerakan neo-khawarij. Rakyat yang masih baru dengan penjelasan terhadap iman dan kufur itu dilihat tidak dapat menerima perkara sedemikian akibat dimanipulasi golongan sekular ini. Walaubagaimanapun, gerakan memahamkan masyarakat tentang batas-batas iman dan kufur yang menjadi tonggak kepada kefahaman sebenar terhadap Islam tetap diteruskan kerana harakah ini telah diikat dengan Akidah Islam.

Siri "brainwash" minda rakyat diteruskan melalui kursus-kursus BTN yang secara halus menanam satu kefahaman bahawa perjuangan Islam di Malaysia ini telah diseleweng. Maka, rakyat yang tidak diberi kesedaran politik sejak dari mula lagi telah diikat dengan penerangan fitnah tersebut.

Rentetan kepada isu ini pernah membawa kepada satu cadangan supaya debat terbuka diadakan. Rakyat mula dibangkitkan dengan debat terbuka yang diatur serta disangsikan. Gerakan Islam telah sedia dengan pasukan mereka bersama hujah, dalil dan fakta sementara golongan sekular sekadar menyahut cabaran tanpa ada wakil yang rela berdepan. Cabaran disahut sekadar untuk mengaburi mata rakyat supaya mereka tidak dilihat sebagai golongan yang salah.

Akhirnya, debat yang direncana itu terpaksa dibatalkan atas alasan menjaga perpaduan rakyat. Rakyat terus diperbodohkan dan Islam terus dalam fitnah agama.

Di bawah kepimpinan ulama, gerakan memberikan penerangan dalam isu ini kepada rakyat diteruskan tetap diteruskan walaupun siri tangkapan terhadap pemimpin seperti Ustaz Abdul Latif Muhammad, Ibrahim Libya serta pemimpin yang lain dilakukan secara besar-besaran. Kawasan yang paling terjejas dengan isu ini adalah Besut Terengganu. Menanbah 'perasa' kepada 'menu fitnah' kali ini segala jentera digunakan.

Dari BTN, media yang menambah panas sehinggalah diterbitkan satu tayangan filem yang menunjukkan wujud masyarakat yang solat dua imam pada bulan Ogos 1982 di saluran RTM. Isu ini juga menjadi senjata kitar semula setiap kali Pilihan Raya Umum diadakan di Malaysia. Malah, setelah dibatalkan debat terbuka mereka mengadakan pula satu debat olok-olok setelah rakyat mula meragui mereka. Debat ini diketuai Ustaz Nakhaie, 'pejuang Islam' berwajah sekular.

Sememangnya 'perang saraf' golongan sekular melaui isu ini antara senjata paling tajam. Tumpuan perjuangan Islam hampir terganggu malah ada yang telahpun terganggu tumpuan mereka sehingga hampir-hampir hilang fokus serta keutamaan dalam perjuangan.

Walaubagaimanapun, perjuangan Islam tetap diikat dengan akidah Islam. Biarlah rakyat menolak kerana kejahilan serta kedangkalan ditipu golongan yang memusuhi Islam asalkan Allah menerima serta redha terhadap perjuangan ini. Maka, atas prinsip tarbiyah itu perjuangan Islam ini terus bersabar, istiqamah dan tawakal dalam perjuangan. Dan Alhamdulillah, hari demi hari Allah merungkai satu persatu tali fitnah yang dibelit pada tubuh Islam dan hari-demi hari Islam semakin diterima semula. ALLAHUAKBAR!!!

- Saya ditanya siapa perjuangan Islam yang dimaksudkan dan siapa golongan sekular? Perjuangan Islam ialah PAS dan sekular itu UMNO.

**Dan sebagai tambahan maklumat, ustaz-ustaz PAS yang dahulunya terlalu suka mengkafirkan puak UMNO sekarang ini telahpun menyertai UMNO yang dahulunya dikafirkan oleh mereka (Ustaz Wan Ismail Machang, Ustaz Mohd Noor Idris, Ustaz Omar Khalid, Ustaz Abdul Razak Daud dan lain-lain.). Dan sekarang ada segelintir daripada mereka (Ustaz Noor Idris) baru-baru ini dengan sewenang-wenangnya telah mengkafirkan Tok Guru Nik Aziz dan PAS ketika Pilihan Raya Kecil DUN Galas tetapi tiada pula berita atau kenyataan media yang mempertikaikan kenyataan Ulama' UMNO berkaitan hal ini. Mereka-mereka ini tidak ubah seperti anai-anai kepada gerakan PAS. Sesudah tercapai misi mereka untuk menimbulkan isu dan membuatkan ramai masyarakat Melayu dan Islam terkeliru dengan tindakan mereka yang akhirnya menyebabkan isu ini terpaksa membelenggu PAS sehingga sekarang, dengan senang mereka meninggalkan PAS dan bergabung bersama puak yang mereka kafirkan dahulu. Adakah ianya satu kebetulan atau ada konspirasi di sebalik kejadian itu? Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment