Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Sunday, May 8, 2011

Hukum Menyambut Hari Ibu

Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya masih lagi kita diberi pinjaman nyawa oleh Allah swt untuk menghirup udara yang segar pada hari ini dan selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah saw kerana berkat usaha baginda, barulah hari ini kita dapat merasa dua nikmat terbesar dalam kehidupan kita iaitu nikmat iman dan islam.
 
Setiap tahun perayaan hari ibu akan disambut di seluruh dunia pada tanggal 8 Mei. Tetapi apakah status perayaan hari ibu ini? Adakah ianya haram? Apabila saya perhatikan di blog-blog dan juga di facebook dan juga kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan-rakan, ramai yang berpendapat bahawa hukum menyambut hari ibu ini adalah HARAM. Jadi terdetik di dalam hati saya untuk mengkaji adakah benar statusnya HARAM ataupun ianya termasuk dalam perkara-perkara yang MUBAH (HARUS). Di sini saya sampaikan beberapa pandangan daripada ustaz apabila ditanya tentang hukum menyambut Hari Ibu.

HUKUM MENYAMBUT HARI IBU
 
Memang ada pendapat sesetengah ulama yang mengharamkan sambutan hari ibu kerana asal usul sejarahnya.

Namun, di Singapura pada pengamatan saya pendirian umum mengenainya di sisi asatizah ialah ianya harus. Banyak masjid-masjid di Singapura turut menganjurkan majlis dan program bagi menghargai ibu pada hari ibu. Jika sambutan ini dikira sebagai kemunkaran yang serius, pastinya Majlis Ugama Islam Singapura dan badan ulama akan mengeluarkan pernytaan untuk menegur masyarakat Islam.
 
Alasan-alasan keharusannya, di sisi saya, ialah:

1. Amalan manusia tidak statik, ia selalunya melaluis proses evolusi. Apa yang bermula sebagai tidak betul, tidak semestinya kekal tidak betul sepanjang zaman dan apa yang mulanya betul, tidak semestinya sampai bila-bila tetap betul.

2. Dalam kes hari ibu, ia telah melalui evolusi yang pada hari ni sudah tiada kena mengena pun dengan mitos atau dewa orang Yunani. Hakikat ini tidak boleh dinafikan dalam menetapkan hukum. kalau tidak, hukum akan bersifat statik dan tidak tepat.

3. Sambutan hari ibu berbeza sama sekali dgn hari Valentine kerana pada hari ibu, kita tidak lagi memperingati dewa, simbol atau tokoh agama tertentu, tetapi yang diperingati ialah semua kaum ibu. Selain itu, menghargai jasa ibu ialah anjuran agama. Manakala, budaya hari Valentine umumnya ialah bersifat jalinan kasih antara pasangan yang bercinta yang melibatkan golongan yang belum kahwin, berunsur "romen-romen" dll, adalah sesuatu yang lebih dekat dengan larangan agama. Maka, eloklah ia dilarang untuk tutup pintu kejahatan.

4. Kalau diperhatikan, sebahagian dari nama-nama bulan-bulan tahun Gregorian ialah nama-nama dewa orang-orang Rom dan Yunani dahulu kala (sila rujuk mereka yang arif dalam hal ni) tapi kita tidak dengar pendapat para ulama yang mengharamkannya kecuali mungkin oleh golongan yang kecil (ultra-ortodoks) di kalangan umat Islam kerana penggunaan nama-nama bulan ni pada hari ni sudah hilang pada pemikiran umum sebagai pendewaan terhadap dewa Rom atau Yunani. 


Jawab syeikh Faisal Mawlawi ketika ditanya akan hukum menyambut hari ibu : 
"Memuliakan ibu adalah dituntut sepanjang tahun sepenuhnya. Menghormati ibu, menuntut keredhaannya, berkhidmat dan berbuat apa sahaja kebaikan kepadanya adalah dituntut dengan tuntutan yang tegas (wajib) sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Perkara ini sudah diketahui umum oleh mana-mana manusia.

Cuma, orang-orang Barat menjadikan sebagai adat dan budaya dengan menetapkan satu hari dalam setahun untuk dijadikan sebagai Hari Ibu. Di mana pada hari itu anak-anak menghulurkan hadiah kepada ibu mereka untuk memuliakan dan sebagai tanda penghormatan.

Orang Islam pula, dari sudut syarak, tidak ada perayaan/hariraya melainkan Idul Fitri dan Idul Adha. Selain perayaan/hariraya ini, iaitu yang mengambil sempena sesuatu perkara, maka ia tidaklah lebih dari hanya sekadar merayakan sempena sesuatu itu sahaja. Contohnya, seperti apa yang dinamakan sebagai hari ibu, atau perayaan untuk peringatan sesuatu peristiwa tertentu.

Jika kita menganggap bahawa apa yang dinamakan oleh orang-orang barat sebagai hari ibu itu sebagai hari memuliakan/menghormati ibu hanya sebagai tambahan sahaja (kewajipan menghormati ibu telahpun siap kita laksanakan), maka di sana syarak tidak menghalangnya. Yang ditegah oleh syarak ialah jika perayaan berkenaan dianggap sebagai ‘id/perayaan dengan maksud syar’i. Begitu juga ditegah jika pembatasan menghormati dan memuliakan ibu hanya pada hari berkenaan sahaja. Jadi, jika dua perkara ini ternafi, maka tidak ada halangan untuk memuliakan atau menghormati ibu pada hari ibu.

Dilarang juga merayakan hari ibu kerana bertaklid kepada non muslim dan bertasyabbuh/menyerupai/meniru2 mereka.

Kita berpegang bahawa meniru-niru non muslim dan menyerupai mereka adalah tidak dibenarkan pada perkara-perkara yang khusus untuk mereka sahaja serta tidak mempunyai asas di dalam syariat kita. Adapun memuliakan ibu sebagaimana diketahui umum memang mempunyai asasnya di dalam syariat. Oleh itu, perkara ini tidaklah dapat dianggap sebagai meniru-niru/menyerupai non muslim yang ditegah."


Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment