Assalamualaikum...
Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya masih lagi kita diberi pinjaman nyawa oleh Allah swt untuk menghirup udara yang segar pada hari ini dan selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah saw kerana berkat usaha baginda, barulah hari ini kita dapat merasa dua nikmat terbesar dalam kehidupan kita iaitu nikmat iman dan islam.
Segala pujian bagi Allah, Tuhan kepada segala makhluk di muka bumi ini. Selawat dan salam buat kekasihku junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya masih lagi kita diberi pinjaman nyawa oleh Allah swt untuk menghirup udara yang segar pada hari ini dan selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah saw kerana berkat usaha baginda, barulah hari ini kita dapat merasa dua nikmat terbesar dalam kehidupan kita iaitu nikmat iman dan islam.
InsyaAllah hari ini saya ingin berkongsi sebuah cerita yang saya terbaca dalam buku Solusi isu no 30. Artikel ini ditulis oleh Ustaz Umar Muhammad Noor.
MENJADI KISMIS SEBELUM ANGGUR
Kisah ini berasal daripada Kitab al-Ashbah wa al-Naza'ir karangan Ibn Nujaim al-Hanafi. Lalu dikisahkan kembali oleh Syeikh Zahid al-Kauthari dalam kitabnya Husn al-Taqadhi fi Sirah Abi Yusuf al-Qadhi.
Kisah ini berkenaan dengan Imam Ya'qub bin Ibrahim al-Ansari yang masyhur dengan panggilan Abu Yusuf (wafat 182H). Beliau adalah murid kesayangan Imam Abu Hanifah. Beliau sangat bijak, hafalannya kuat dan banyak ilmu. Antara kebanyakan murid Abu Hanifah yang lain, Abu Yusuf sering terkedepan dalam semua perkara.
Pada suatu hari, Abu Yusuf merasai bahawa ilmu yang dimilikinya sudah mencukupi. Sudah tiba saat untuknya menjadi tokoh ulama' yang mampu menjawab semua permasalahan umat. Beliau lalu meninggalkan majlis Abu Hanifah dan membuka majlis ilmunya sendiri. Dalam majlis itu, Abu Yusuf mempersilakan setiap orang untuk menimba ilmu atau mengajukan soalan kepadanya.
Mengetahui perkara ini, Abu Hanifah berniat untuk menyedarkan muridnya itu. Diam-diam, beliau mengutus seseorang ke majlis Abu Yusuf dengan beberapa soalan untuk mengujinya.
Orang itu berkata kepada Abu Yusuf : "Saya menyerahkan sepotong kain kepada seorang penjahit untuk dijadikan baju. Apabila saya tanyakan, penjahit itu mengingkari pernah menerima kain daripada saya. Namun keesokkannya, ia memberikan saya kain itu yang telah dijahit menjadi baju. Soalan saya, apakah ia berhak menerima upah?"
Abu Yusuf menjawab : "Ia berhak menerima upah." Orang itu menjawab : "Jawapanmu salah."
Abu Yusuf mengubah jawapannya : "Ia tidak berhak menerima upah." Orang itu kembali berkata : "Jawapanmu salah." Abu Yusuf menjadi sangat bingung.
Orang yang telah dilatih oleh Abu Hanifah ini lalu berkata : "Jawapan yang benar adalah, jika baju itu dijahit sebelum ia mengingkari menerima kain, maka ia berhak menerima upah. Namun jika kain itu dijahit setelah ia mengingkari menerima kain, maka ia tidak berhak."
Orang itu terus mengajukan beberapa soalan lain. Setiap kali Abu Yusuf menjawab ia menyatakan bahawa jawapan itu salah lalu mengemukakan jawapan yang tepat. Diskusi tersebut berjaya menyedarkan Abu Yusuf akan kejahilan dirinya. Dirinya ternyata belum layak menjadi seorang ulama', malah masih perlu banyak belajar lagi daripada para ulama'. Akhirnya, beliau memutuskan untuk kembali ke majlis ilmu Abu Hanifah untuk melanjutkan pengajiannya.
Apabila melihat Abu Yusuf, Abu Hanifah tersenyum dan berkata : "Engkau telah menjadi kismis sebelum anggur."
HUKUM KESEMPURNAAN
Kisah ini memberikan saya inspirasi. Sering kali kita melihat diri kita begitu besar dan matang, padahal kenyataannya masih begitu kecil dan mentah. Sebuah kesempurnaan dan kematangan tidak pernah datang begitu sahaja. Ia merupakan hasil daripada suatu proses. Proses ini terdiri daripada beberapa tahap. Antara satu tahap ke satu tahap yang lain biasanya memerlukan masa yang cukup panjang.
Hukum ini berlaku untuk semua makhluk hidup. Seekor ulat menghabiskan masa berhari-hari di dalam kepompong sebelum menjadi rama-rama yang cantik. Setitis air mani menghabiskan masa berbulan-bulan di dalam rahim sebelum menjadi bayi yang comel. Bahkan sebiji anggur yang sebelumnya mentah, lalu masak, kemudian kering dan menjadi kismis. Sesiapa yang tidak sabar menjalani semua proses ini, maka proses kesempurnaan itu akan terbantut. Lalu ia tidak akan pernah sempurna untuk selama-lamanya.
MELATIH DIRI
Hukum kesempurnaan ini juga berlaku untuk semua disiplin ilmu atau kerjaya yang kita pilih. Seorang doktor pakar memerlukan masa yang panjang sebelum menjadi spesialis dalam bidang perubatan. Begitu juga seorang jurutera, penulis, pelakon apatah lagi ulama' Islam yang menjadi rujukan umat.
Mencapai darjat "pakar" dalam sesuatu bidang menuntut kesabaran dan ketekunan. Setiap beginner (orang yang baru mula belajar) mesti selalu melatih diri dengan tekun sehingga tertanam dalam jiwanya kerangka pemikiran dan analisis seorang pakar dalam bidangnya. Setakat membaca teori keilmuan tanpa banyak berlatih tidak akan membentuk sifat-sifat itu dalam diri.
Seorang pemikir masa ini, Howard Gardner berkata dalam 5 Minds for The Future : "Disiplin formal saya adalah psikologi. Dan diperlukan masa satu dekad agar saya dapat berfikir seperti seorang pakar psikologi."
Dalam bidang hadis juga seperti itu. Anda boleh memiliki gelaran master atau doktor dalam bidang hadis, namun ia tidak secara automatik menjadikan anda seorang muhaddith apalagi seorang hafiz. Kepakaran dalam hadis hanya dapat diperolehi selepas membiasakan diri menghafal hadis beserta perawinya, mentakhrij, menyingkap 'illat, juga bermuzakarah dengan pakar hadis semasa.
Dalam ilmu fiqh pula, anda tidak akan menjadi faqih hanya dengan menuntut di fakulti syariah di mana-mana universiti dunia. Sebaliknya, kepakaran dalam fiqah hanya dapat dicapai setelah menghabiskan masa yang panjang dalam mengkaji usul dan furu', mendalami metode fuqaha' dalam analisis dalil, menyingkap 'illat hukum, juga menguasai maqasid syariat.
Apa pun bidang ilmunya, coraknya tetap sama, iaitu diperlukan latihan dan ketekunan yang berpanjangan untuk tiba ke tingkat kepakaran yang saempurna.
BAGAI POKOK YANG TIDAK DITANAM
Jadi, jalan menuju kepakaran sangat panjang. Sesiapa yang menjalaninya dengan sabar, suatu hari akan tampil sebagai seorang pakar yang disegani. Dan pendapatnya dalam disiplin itu diakui sebagai pandangan yang berwibawa.
Sebaliknya, sesiapa yang tidak sabar menjalaninya, lalu mendakwa menjadi pakar sebelum masanya, maka ia telah kering sebelum matang, menjadi kismis sebelum menjadi anggur. Oleh sebab itu, ucapan dan pendapatnya tidak mengandungi nilai ilmiah sama sekali.
Dalam kaedah fiqh ada disebut :
مَنِ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ
مَنِ اسْتَعْجَلَ شَيْئًا قَبْلَ أَوَانِهِ عُوقِبَ بِحِرْمَانِهِ
"Sesiapa yang ingin memiliki sesuatu sebelum masanya, maka ia diharamkan daripada memiliki sesuatu tersebut."
Orang seperti ini ibarat pokok yang belum ditanam dengan sempurna, maka buah yang keluar daripadanya pun tidak berkualiti.
Berkata Syeikh Ibn 'Athaillah al-Sakandari dalam al-Hikam :
ادْفِنْ وجودَك في أرضِ الخمولِ فما نَبَتَ مما لم يُدْفَنْ لا يَتِمُّ نَتَاجُه
"Tanamlah dirimu di tanah kehinaan (khumul). Sebatang pokok yang tidak ditanam dengan sempurna, tidak akan menghasilkan buah yang sempurna."
"Tanah kehinaan" di sini maknanya adalah tekun menuntut ilmu, melaksanakan arahan guru dan menerima tegurannya. Ini sebuah kehinaan, namun akan membawa kebaikan pada masa hadapan. Sebelum merosakkan orang lain, sikap "ingin cepat besar" ini akan merosakkan dirinya sendiri. Ia akan disibukkan dengan pelbagai perkara sehingga tidak sempat lagi menimba ilmu. Dan perasaan takut dilihat bodoh dan khuatir ditinggalkan pengikut akan menjauhkan dirinya daripada jalan peningkatan ilmu.
Imam as-Syafie berkata : "Apabila orang yang baru belajar telah maju ke hadapan (yakni hendak menjadi tokoh besar), maka terluput ilmu yang sangat banyak." (Dinukil oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari)
TIDAK MENONJOLKAN DIRI
Para ulama' terdahulu tidak pernah menonjolkan diri, apalagi mendakwa sesuatu yang bukan miliknya. Sebaliknya, mereka terus menutup diri sehingga tokoh-tokoh yang lebih besar memerintahkannya untuk maju ke hadapan untuk kebaikan masyarakat.
Dalam kitab al-Faqih wa al-Mutafaqqih, al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan ucapan Imam Malik : "Aku tidak berfatwa dalam urusan agama sebelum bertanya kepada orang yang lebih alim daripadaku : 'Layakkah aku berfatwa?' Aku bertanya kepada Rabi'ah dan Yahya bin Sa'id (kedua-duanya ulama' terbesar di madinah). Mereka memerintahkan aku berfatwa."
Khalaf bin Umar lalu bertanya : "Wahai Abu Abdillah! Andai mereka tidak membenarkanmu berfatwa, bagaimana sikapmu?"
Imam Malik menjawab : "Maka aku tidak akan berfatwa. Tidak patut bagi seseorang merasakan dirinya layak berfatwa sebelum ia bertanya kepada orang yang alim daripadanya."
Semoga Allah menghidupkan akhlak ini dalam jiwa kita, menjauhkan hati kita daripada sifat-sifat tercela dan menempatkan kita pada darjat yang tinggi di dunia dan di akhirat, Amin ya Rabbal 'alamin.
No comments:
Post a Comment