Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Thursday, May 19, 2011

Penekanan Akademik Vs Akhlak Remaja

Pendahuluan

Ketika zaman menuju ke puncak kemodenan semua negara termasuk negara kita yang tercinta ini tidak lari daripada merasa dan menungkah arus kemodenan tersebut. Segala jenis teknologi yang canggih-canggih tercipta di seluruh dunia. Tanpa had dan tanpa sempadan. Sesuatu yang mustahil pada dahulunya menjadi kenyataan pada hari ini. Kini manusia mampu berhubung dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia hanya dengan sekelip mata, mampu memperoleh maklumat hanya di hujung jari dan sebagainya.

Oleh kerana setiap negara tidak mahu ketinggalan dalam semua bidang maka sudah tentu mereka akan menitikberatkan soal akademik golongan pelapis mereka iaitu golongan remaja. Begitu juga dengan ibu bapa. Mereka akan melihat bahawa untuk anaknya menjadi orang yang berjaya di masa hadapan, anak mereka perlulah menjadi seorang yang pandai dalam akademik. Tetapi bagaimana pula dengan akhlak golongan remaja??? Adakah ianya juga dititikberatkan??? Sama-sama kita baca dan menilai akan tulisan artikel ini sehingga habis.

Kesalahfahaman Dalam Soal Pendidikan

Selaras dengan era globalisasi yang menyerang seluruh pelusuk dunia, negara memerlukan golongan-golongan pelapis yang nantinya mampu untuk melahirkan suatu perubahan di dalam negara dan juga untuk seluruh dunia di masa hadapan. Bermula dari sekolah rendah lagi ibu bapa dan guru-guru begitu menitikberatkan persoalan pembelajaran anak-anak mereka. Matlamatnya adalah mereka ingin melihat apabila besar nanti anak-anak mereka itu mampu menjadi seorang yang berguna untuk masyarakat dan juga negara. Dan jika dilihat di IPTA dan IPTS sekarang ini berlaku persaingan yang sangat sengit dikalangan pelajar-pelajar di peringkat kampus dalam mencapai cita-cita mereka. Mereka didoktrinkan supaya mendapat pointer yang baik supaya mereka tidak tercicir ataupun dibuang daripada kampus. Nah!!! inilah hakikat yang berlaku dalam dunia pendidikan pada masa kini dalam melahirkan modal insan untuk menjadi agen perubahan kepada negara.

Tetapi betapa malangnya jika dilihat betapa ibu bapa, guru-guru dan mungkin juga diperingkat masyarakat dan kerajaan yang terlalu mengambil berat akan soal akademik remaja-remaja masa kini sehinggakan mereka langsung terlupa untuk menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam diri anak-anak dan golongan remaja pada masa kini. Jadi tidak peliklah jika melihat akan perlakuan dan akhlak golongan remaja zaman sekarang yang berada di tahap yang membimbangkan.

Ya, ini adalah salah satu kesalahfahaman yang telah diterapkan kepada kita semua. Mungkin ibu bapa terlalu terikut-ikut akan tindakan ibu bapa mereka dahulu yang begitu menitikberatkan soal akademik terhadap mereka sehingga mereka terlupa bahawa mereka juga mempunyai satu lagi tugas penting yang sering kali diabaikan iaitu menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan anak-anak mereka supaya anak-anak mereka (golongan remaja) mampu menilai baik buruk sesuatu perkara yang terjadi di dalam kehidupan seharian mereka.

Mereka lupa dalam melahirkan modal insan yang betul-betul berguna kepada masyarakat dan negara seorang insan itu bukan sahaja mempunyai tahap ilmu dan kemahiran yang tinggi sahaja tetapi perlu juga mempunyai syaksiah dan nilai Islam yang tinggi. Hal ini supaya setiap perlakuan atau perubahan yang mereka lakukan adalah selaras dengan syariat dan membawa keuntungan kepada agama, bangsa dan negara.

Realiti Yang Berlaku

Keruntuhan akhlak dan moral remaja berlaku pada masa kini berada di tahap yang amat membimbangkan. Malangnya, hanya sedikit sahaja tindakan dan peruntukan yang disediakan oleh semua pihak dalam menangani masalah ini. Malah dapat kita perhatikan di negara kita ini lebih banyak program-program yang dilakukan di peringkat sekolah, IPTA @ IPTS dan juga program-program yang dilakukan diperingkat kerajaan menggalakkan lagi kejatuhan akhlak dan moral pelajar. Inilah realiti yang berlaku.

Sungguh memilukan apabila ketika membaca akhbar atau menonton berita mengenai keruntuhan akhlak remaja lagi-lagi yang melibatkan golongan remaja Melayu yang berstatus Islam. Lihat sahaja statistik untuk gejala zina dan buang bayi, mencuri, merompak, vandalisme, gangsterisme dan sebagainya, semuanya dijuarai oleh golongan remaja dari keturunan Melayu yang beragama Islam. Dan pada masa kini berlaku isu permurtadan yang amat membimbangkan melibatkan golongan remaja Islam yang berada di dalam dan luar negara. MasyaAllah...

Bagaimana tidaknya ketika sebelum berangkat ke universiti mereka (golongan remaja) diwajibkan untuk menyertai PLKN (sesiapa yang terpilih) yang mana cara perlaksanaan yang dijalankan sangat mengecewakan dan tidak sesuai untuk golongan remaja. Hal ini kerana apabila sesuatu aktiviti itu dijalankan tanpa menjaga ikhtilat (percampuran) dan pergaulan di antara lelaki dan perempuan, maka terjadilah sesuatu yang tidak diingini berlaku. Bagaimana mungkin mereka-mereka (golongan remaja) yang menyertai aktiviti seperti ini dapat menjaga mata mereka dan juga syahwat mereka ketika melakukan aktiviti bersama-sama yang memerlukan mereka melakukan pelbagai aksi yang kadang-kadang amat menggiurkan. Jadi aktiviti itu bukan sahaja menjadi wadah untuk melahirkan semangat patriotik di kalangan remaja tetapi ianya juga menjadi wadah dan wasilah untuk keruntuhan akhlak dalam jiwa remaja. MasyaAllah...

Begitu juga halnya yang terjadi di peringkat IPTA dan IPTS, pihak pengurusan kampus langsung tidak berazam untuk menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan pelajar mereka sepertimana mereka mengambil berat akan soal masalah akademik yang terjadi dalam kalangan pelajar. Tidak langsung menyusun silibus yang menerapkan nilai-nilai Islam sehingga menyebabkan remaja yang tidak mengambil jurusan agama semakin jauh dan tidak faham terhadap agama. Dan kadang-kadang aktiviti-aktiviti yang dijalankan atau diluluskan tidak selaras dengan syariat Islam. Sebagai contoh terjadinya percampuran antara lelaki dan perempuan, aktiviti-aktiviti yang mengkhayalkan seperti kosert atau aktiviti-aktiviti yang mendedahkan aurat dan sebagainya. Jadi tahniah kerana mereka sebenarnya telah pun berjaya dalam meruntuhkan lagi akhlak Islamiyyah yang ada dalam pelajar mereka.

Dengan aktiviti-aktiviti dan program-program seperti inilah remaja-remaja kita semakin berani melakukan sesuatu perlakuan yang meruntuhkan akhlak mereka dan nilai-nilai Islam. Sebagai contoh bercinta sehingga sanggup berzina, buang bayi, ketagihan dadah atau arak, gangsterisme dan sebagainya.

Penyelesaian

Kembalilah kepada syariat Islam yang sebenar. Ya, tidak salah untuk melakukan aktiviti-aktiviti di peringkat negara (PLKN) atau di IPTA atau di IPTS tetapi biarlah ianya selaras dengan syariat Islam. Sebagai contoh mengasingkan tempat duduk pelajar lelaki dan perempuan ketika di dalam kelas atau dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan, membuat pertandingan nasyid, explorace yang mempunyai pelajaran agama dan kumpulannya tidak bercampur remaja lelaki dan perempuan dan sebagainya, supaya mereka tahu dan dapat menilai bahawa betapa pentingnya menerapkan nilai Islam dalam kehidupan seharian mereka. Juga perlu untuk pihak-pihak IPTA dan IPTS menyusun silibus berkaitan Islam dan merencana bi'ah solehah di dalam kampus mereka supaya pelajar-pelajar di kampus mendapat kefahaman agama untuk diterapkan dalam diri mereka.

Dan harapan saya supaya pihak-pihak yang terbabit menyekat atau mengurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak bermanfaat dan tidak mengikut syariat sebagai contoh My School Rock, Bintang Cilik, AF, Mentor dan sebagainya kerana hal-hal seperti inilah yang banyak menyumbang kepada keruntuhan remaja zaman sekarang yang semakin hanyut dengan hiburan-hiburan yang melalaikan. Program-program seperti ini tidak ubah seperti musuh dalam selimut kerana ianya membawa kerosakkan nilai-nilai Islam dari akar umbi (kanak-kanak) sehinggalah kepada golongan dewasa (ibu bapa sendiri).

Kesimpulan

Bersama-samalah kita merenung dan mencari resolusi yang terbaik. Untuk mengembalikan semula akhlak Islamiyyah dan nilai-nilai Islam dalam kehidupan kita, tidak dapat tidak kita perlu kembali kepada panduan kita yang utama yang telah diwariskan kepada kita iaitu AL-QURAN DAN AS-SUNNAH tidak kira di peringkat KELUARGA sehinggalah ke peringkat KERAJAAN. InsyaAllah dengan terlaksananya undang-undang Islam dalam kehidupan, maka keruntuhan akhlak remaja pada masa kini dapat ditangani.

Akhirul kalam, wahai remaja-remaja di luar sana ingatlah pesanan Baginda Rasulullah saw mengenai akhlak :
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a., beliau berkata : "Rasulullah saw bukanlah peribadi seseorang Muslim itu yang berkata dan berbuat yang tidak senonoh. Baginda bersabda : 'Sesungguhnya orang yang terbaik daripada kamu adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu." (Hadis Riwayat la-Bukhari no. 3559 dan Muslim no. 2321)

Jadi, ayuh kita bersama-sama meningkatkan ilmu dan pencapaian kita dalam akademik di samping tidak melupakan akan pentingnya ilmu agama dalam kehidupan seharian. Oleh sebab itu, walaupun hakikatnya kita berada dalam bidang medik, engineer, arkitek dan sebagainya tetapi sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ummat Islam untuk sentiasa meningkatkan ilmu agama. Dan akhirnya berakhlaklah dengan aklak yang mulia. Jika kita menjaga akhlak sesama kita dan mendalami ilmu agama insyaAllah masalah keruntuhan akhlak remaja dapat ditangani dengan berkesan.

Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment