Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Sunday, May 29, 2011

Konsep Ibadah Dalam Islam

Assalamu'alaikum.

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana sekali lagi kita telah dibangkitkan dalam keadaan bernyawa dan masih lagi diberi pinjaman nyawa kepada kita untuk meneruskan kehidupan di dunia ini dan mengutip segala hikmah yang disediakan oleh-Nya buat kita semua.

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah swt kerana telah memberikan kesempatan waktu kepada saya untuk meng'update' blog yang sudah beberapa hari tidak di'update'. InsyaAllah di kesempatan ini saya akan berkongsi dengan semua pembaca mengenai konsep ibadah dalam Islam. Mungkin ada di kalangan kita mengatakan bahawa tajuk ini sudah difahami oleh semua orang Islam tetapi adakah betul konsep yang kita fahami tentang perihal ibadah ini?

Sering kali saya mendengar bahawa ibadah ini hanya solat, haji, zakat dan kewajipan-kewajipan lain yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Dan sering kali juga kita mendengar orang-orang disekeliling kita berkata, "yang penting niat kita ikhlas". Adakah benar sesuatu itu boleh dikira sebagai ibadah hanya dengan niat yang ikhlas? InsyaAllah mari sama-sama kita renungkan balik perihal konsep ibadah dalam Islam yang akan dikongsikan ini.

MUQADDIMAH

Firman Allah swt :
لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَـكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلآئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّآئِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُواْ وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاء والضَّرَّاء وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَـئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَـئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ
 
Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah : 177)
 
PENGERTIAN

Menurut Ibnu Taimiyyah di dalam buku al-Ubudiyyah, makna asal ibadah ialah kehinaan tetapi ibadah yang disyariatkan oleh Allah swt merangkumi makna kehinaan dan kecintaan bersama. Ia adalah puncak kehinaan diri seseorang bila berhadapan dengan Allah swt di samping kemuncak kecintaannya terhadap Allah. Islam mempunyai keistimewaan dengan menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah demi untuk mencapai keredhaan-Nya serta dikerjakan menurut cara-cara yang disyariatkan oleh-Nya. Islam tidak menganggap ibadah-ibadah ritual sahaja sebagai amalan soleh malah ia meliputi segala kegiatan lain sebagaimana firman Allah swt :

Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu", dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (Yasin : 60-61)


Inilah matlamat kewujudan manusia dan jin. Hanya dengan ibadat yang ditunaikan dapat membuktikan hakikat matlamat yang dituju. Sesiapa yang cuai beribadat atau enggan melaksanakannya, bermakna ia menyimpang dari matlamat yang sebenar. Maka kehidupannya tiada arah, kosong tiada bermakna sedangkan matlamat tersebut adalah asas utama dalam pembentukan nilai hidup.


Pembahagian Ibadah
  • Ibadah Khususi 
         Ibadah yang telah ditetapkan caranya dan tidak harus diubah dan ditokok tambah.


  • Ibadah Umumi
         Setiap aktiviti manusia yang menepati dua perkara : Niat yang ikhlas & Matlamat yang Mulia.


Firman Allah swt :
Katakanlah: sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. (Al-An'am : 162)


INTIPATI IBADAH YANG BERKESAN


1. Al-Hubba war Redho (Rasa Cinta dan Berserah Diri)
Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ali Imran : 31)


2. Al-Khafo war Raja' (Rasa Takut dan Mengharap)
(Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. (Az-Zumar : 9)


3. Al-Ehsan wal Muraqabah (Ikhlas dan Berhati-hati)

Rasulullah saw menerusi apa yang diriwayatkan daripada Umar bin Al-Khattab bahawa Jibril bertanya tentang Islam kemudian tentang Iman kemudian bertanya pula apakah darjat yang tertinggi iaitu Ihsan.

Maksudnya : Bertanya Jibril : "Beritahu aku tentang Ihsan". Bersabda Rasulullah saw : "Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat Allah. Sekiranya kamu tidak melihat Allah, Sesungguhnya Allah melihat kamu." (Muttafaqun'alaih)


Syeikh Abul A'la Al Maududi berkata bahawa : "Empat martabat akhlak di dalam Islam iaitu Iman, Islam, Taqwa dan Ihsan. Semua martabat ini tersusun secara fitrah di dalam keadaan berturutan. Unsur yang kedua diasaskan di atas unsur yang pertama. Selagi mana unsur pertama belum kukuh maka unsur kedua sukar untuk dibina. Iman adalah asas dalam binaan kepada Islam, kemudian binaan tersebut dikembangkan dengan sifat Taqwa dan diikuti dengan Ihsan".


4. As-Sakinah wal Al-Mutmainnah
Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mu'min supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Al-Fath : 4)

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment