Photobucket

Semaikan Kecintaan Kepada Allah

Sunday, May 8, 2011

Menjadi Hebat Dengan Cinta

Assalamualaikum.

Setiap insan pasti bercita-cita untuk menjadi hebat, malah ada yang cemburu kerana kagum terhadap orang-orang yang hebat. Hebat mungkin sesuatu yang subjektif, namun di sini yang ingin dibincangkan adalah kehebatan IMAN kita apabila mencintai Allah S.W.T.

Sesungguhnya, orang yang benar-benar cinta kepada Allah itu berbeza dengan orang yang hanya tahu tentang Allah. Tahu kewujudan-Nya, tahu Allah yang menciptakan segalanya. Orang yang benar-benar cinta kepada Allah akan sentiasa bersedia untuk melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya, sekalipun dilingkungi kesukaran dan cabaran.

Bagaimana untuk melahirkan rasa CINTA itu?

Adapun, orang yang bercita-cita mahu mencintai Allah merasakan tidak cukup dengan hanya mengetahui dalil-dalil tentang kewujudan dan kebesaran Allah, namun lebih dari itu. Mereka akan sentiasa memikirkan kehebatan ciptaan-Nya serta tadabbur hingga tumbuh rasa cinta di dalam hati. Ini dipanggil 'khawash', iaitu mengenali Allah S.W.T melalui rasa hati secara mendalam. Apa sahaja yang dilihat di alam maya dirasai oleh hati bahawa Allah adalah penciptanya. Lantas apabila melihat keindahan alam, hati terus berbisik "Lebih indah lagi Syurga Allah." Apabila merasa lazatnya makanan, hati berbisik "Lebih lazat lagi makanan di Syurga Allah.." Dan jika merasai kesengsaraan atau kesakitan di dunia, hatinya mengingatkan bahawa lebih dahsyat lagi seksa di akhirat.

Orang yang beriman melalui hati yang amat mencintai Allah disebut "Syighaful Qalbi", iaitu orang yang fikiran dan hatinya hanya untuk Allah. Mereka sudah mencapai tahap mahabbatillah yang lebih tinggi dari tahap 'khawash', iaitu tahap 'khawasul khawash' dan Nabi Muhammad sendiri adalah contoh terbaik yang telah mencapai tahap kecintaan ini.

Belajar tentang CINTA daripada Sirah

Sekembalinya Nabi Muhammad S.A.W. dari Isra' Mikraj, baginda bertemu sepupunya Ummi Hani. Baginda menceritakan segala peristiwa Isra' Mikraj kepadanya dan Ummi Hani menggelengkan kepala dengan rasa hairan dan sedih terhadap cerita yang disampaikan oleh baginda Rasulullah S.A.W.

Baginda S.A.W. berhasrat untuk memberitahu penduduk Makkah tentang peristiwa agung itu, namun Ummu Hani meminta baginda membatalkan hasratnya itu. Menurutnya, jika sebelum peristiwa Isra' Mikraj sudah ramai penduduk Makkah membenci Rasulullah, apatah lagi setelah Baginda menghebahkan cerita Isra' Mikraj itu. Pasti bertambah kebencian orang ramai terhadap Nabi.

Namun, bagi seorang rasul yang hatinya sentiasa sarat dengan rasa cinta yang mendalam terhadap Allah S.W.T., maka baginda tidak mempedulikan apa jua gertakan, ancaman dan kebencian manusia terhadapnya. Baginda merasakan ianya suatu KEWAJIPAN bagi dirinya untuk menyampaikan sesuatu daripada Allah kepada umatnya, dan itulah bukti kecintaan baginda kepada Allah S.W.T.

Muhasabah: Hebat, Cinta, Taqwa

Hebatnya penangan CINTA yang sebenar-benar cinta, iaitu kepada ALLAH, Tuhan seru sekalian alam. Dengan mahabbatillah (cinta kepada Allah), kita akan menjadi hebat. Mungkin tidak di mata sesetengah manusia, namun hebat di pandangan Dia, dan untuk menjadi hebat atau mulia di sisi Allah, hanyalah dengan TAQWA, yang pastinya tidak dapat dipisahkan dengan CINTA kepada Allah. Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13:

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

No comments:

Post a Comment