Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia kekasih hati Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.
Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Illahi kerana sekali lagi kita telah dibangkitkan dalam keadaan bernyawa dan masih lagi diberi pinjaman nyawa kepada kita untuk meneruskan kehidupan di dunia ini dan mengutip segala hikmah yang disediakan oleh-Nya buat kita semua. Kebahagiaan adalah matlamat semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Tapi apakah hakikat kebahagiaan yang sebenar dan bagaimana cara untuk kita mendapatkan kebahagiaan tersebut?
Setiap insan yang sihat akalnya pasti sentiasa ingin mencari kebahagiaan. Tidak kiralah kebahagiaan itu untuk kehidupan di dunia ataupun juga untuk kebahagiaan di akhirat kelak. Tahukah kita bahawa Allah swt dan Rasulullah saw sebenarnya telah meninggalkan kaedah-kaedah untuk kita dalam menggapai kebahagiaan tersebut? InsyaAllah kali ini saya ingin berkongsi sedikit tips-tips untuk mencari kebahagiaan menurut al-Quran dan Sunnah.
Kaedah-Kaedah Mencari Bahagia Menurut Al-Quran Dan Sunnah
1. Beriman dan beramal soleh.
"Sesiapa yang beramal soleh baik lelaki ataupun perempuan dalam keadaan mereka beriman, maka Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan apa yang mereka amalkan." (An-Nahl : 97)
- Ibnu Abbas ra meriwayatkan bahawa segolongan ulama' mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik (dalam ayat ini) ialah rezeki halal dan baik (halalan toyyiban).
- Saidina Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qanaah (berasa cukup)
- Ali bin Abi Thalhah dari Ibn 'Abbas meriwayatkan kehidupan yang baik itu adalah kebahagiaan.
2. Sentiasa mengingati Allah.
- Dengan berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekaligus bebas dari rasa gelisah dan gundah gulana.
Firman Allah : "Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu." (Al-Ra'd : 28)
3. Bersandar kepada Allah.
- Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa.
Allah berfirman yang bermaksud : "Siapa yang bertawakal kepada Allah maka Allah akan mencukupinya." (Al-Talaq :3)
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik.
- Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan iklas dan mengharapkan pahala daripada Allah akan memberi ketenangan hati.
Firman-Nya, bermaksud : "Tidak ada kebaikan dalam kebanyakkan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu kerana mengharapkan keredhaan Allah, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar." (An-Nisa' : 114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam.
- Fikir tetapi jangan khuatir. Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula.
Rasulullah saw bersabda maksudnya : "Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan jangan lemah. Apabila menimpa akan kamu sesuatu (daripada perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata : 'Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu', akan tetapi katakanlah : 'Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan', kerana sesungguhnya kalimat 'seandainya' itu membuka kepada amalan syaitan".
(Hadis Riwayat Muslim)
6. Melihat "kelebihan" bukan kekurangan diri.
- Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki kerana dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah swt kepada kita.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : "Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu."
(Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)
7. Jangan mengharap ucapan terima kasih manusia.
- Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada Allah.
- Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih.
- Malah ada hukama' berkata, "Sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa."
Firman Allah swt : "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana Allah semata-mata, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih." (Surah Al-Insan : 9)
Jadi setelah kita mengetahui akan kaedah-kaedah menggapai kebahagiaan melalui Al-Quran dan Sunnah, marilah sama-sama kita amalkan dalam kehidupan seharian. Moga-moga kebahagiaan itu milik kita di dunia dan di akhirat. Hakikatnya kebahagiaan itu datangnya daripada Allah. Oleh itu gantungkanlah harapan kita dalam mencapai kebahagiaan itu kepada Allah swt. Ingatlah kebahagiaan yang hakiki adalah bila kita mendapat keredhaan Allah dan berjaya membeli syurga Allah swt di akhirat kelak.
Wallahu'alam...
Assalamu'alaikum. Erm. Jazakallah. Entri yang sungguh bermanfaat. Nak mintak izin nak guna point-point yang ada dalam entri ni ya.
ReplyDeleteWa'alaikumussalam... Tafadhol... Ambillah kalau ianya bermanfaat buat semua.. Dan tegurlah kalau ada sebarang kesilapan atau kelemahan...^_^
ReplyDelete